Skip to main content

ADUN seru NGO ikut kempen derma darah HYS

WONG Hon Wai (enam dari kir) bergambar kenang-kenangan bersama ahli jawatankuasa kumpulan Hui Yin Seh (HYS) di sini baru-baru ini.

AHLi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menyeru lebih banyak lagi badan bukan kerajaan (NGO) mempromosi kempen derma darah sebagaimana yang dilakukan oleh Kumpulan Hui Yin Seh (HYS).

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kesihatan Derma Darah di pusat membeli-belah Prangin Mall, George Town baru-baru ini.

”Saya berharap program ini diteruskan agar bekalan darah berterusan (mencukupi) dan berharap agar orang ramai meneruskan amalan murni ini," ujar beliau.

Menurut Hon Wai, HYS saban tahun menganjurkan program derma darah dan aktiviti kali ini bertemakan 'derma darah merupakan cinta yang tidak ternilai'.

Sebelum itu, pengarah penganjur, Zhang Yibin berkata, program kempen derma darah secara besar-besaran itu mensasarkan 500 paket darah untuk mengisi bank darah di tiga hospital di negeri berkenaan, iaitu Hospital Pulau Pinang, Hospital Island dan Hospital Lam Wah Ee.

“Sejak 16 tahun lepas, kumpulan HYS menganjurkan kempen derma darah bulanan secara purata sebanyak 250 paket darah dan dua orang telah menerima anugerah pahlawan kerana telah menderma darah lebih 60 kali,” kata Yibin.

Difahamkan, HYS sejak 16 tahun lepas menganjurkan 211 kempen derma darah.

Dalam 14 bulan kempen derma darah secara besar-besaran, HYS direkodkan mengumpul sebanyak 47,389 beg darah.