Skip to main content

Pemandu teksi lebih perlu insentif RM300 - KM

KETUA Menteri (enam dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan insentif bernilai RM97,500 kepada Abd. Malik Darus (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh kepemimpinan Kerajaan Negeri serta pemandu-pemandu teksi bertuah dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

HAMPIR 3,000 pemandu teksi sekitar Pulau Pinang menerima sumbangan insentif tunai keseluruhan berjumlah RM97,500 atau RM300 seorang daripada Kerajaan Negeri menjelang Hari raya Puasa baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, insentif itu adalah salah satu perkara yang dimaktubkan dalam Manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.

Justeru, beliau berharap, pemberian insentif itu dapat menggalakkan para pemandu teksi meningkatkan mutu perkhidmatan kereta sewa masing-masing demi menyemarak lagi industri pelancongan negeri.

"Dalam manifesto tersebut, Kerajaan Negeri berjanji untuk memberi RM600 tiap-tiap tahun kepada semua (pemandu) teksi Pulau Pinang.

"Pemberian RM300 pada hari ini adalah pembayaran insentif permulaan untuk setengah tahun dan baki RM300 lagi akan dibayar kemudian dalam pertengahan tahun berikutnya," ujar beliau di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Kasthuri Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan), Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha MPSP) turut hadir pada Majlis Pemberian Insentif Kepada Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Sumbangan diserah kepada 325 penerima meliputi kedua-dua daerah itu melalui Presiden Gabungan Pertubuhan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang (GABUNGAN), Abd. Malik Darus.

Gabungan terdiri oleh 12 persatuan dan jumlah keseluruhan ahli berdaftar sebanyak lebih 2,000 orang.

Difahamkan, majlis serupa turut dianjurkan di peringkat daerah Seberang perai Utara (SPU), Timur Laut (DTL) dan Barat Daya (DBD).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, insentif Kerajaan Negeri sebenarnya berbeza dengan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang PRU13.

TR1MA, katanya, seakan lebih menguntungkan kroni tertentu yang dilantik oleh Kerajaan Pusat berbanding pemandu-pemandu teksi sendiri.

Ini kerana, katanya lagi, baucer TR1Ma bernilai RM520 yang diterima oleh pemandu hanya boleh diganti dengan empat tayar di syarikat pengedar tertentu sahaja.

"Dengan sumbangan ikhlas ini, diharap semua pemandu teksi dapat menggunakan dengan berhemah untuk membeli keperluan penting dan persediaan menyambut Hari Raya (Puasa) tidak lama lagi," ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan komitmen untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa yang lengkap dengan sistem pengangkutan awam paling efisyen.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini pernah merancang untuk mewujudkan sistem pengangkutan bas awam secara percuma ke seluruh Pulau Pinang, tetapi, hasrat itu terpaksa ditangguhkan ekoran mendapat layanan dingin daripada Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, beliau berkata, peranan yang dimainkan oleh pemandu teksi boleh menampung sedikit banyakkan keperluan mewujudkan sistem pengangkutan awam darat di negeri berkenaan.

Tuntas itu, beliau berkata, pihaknya menaruh harapan yang tinggi agar semua pemandu teksi berwajib boleh menjadi 'duta keci' bagi Kerajaan Negeri.

"Pemandu teksi merupakan 'duta kecil' Kerajaan Negeri yang mencerminkan budaya dan cara hidup orang Pulau Pinang,

"Berikanlah perkhidmatan terbaik dan layanan mesra kepada semua pelangan, tidak kira pengunjung tempatan atau pelancong antarabangsa," ujar beliau.

ABD. Malik Darus
Abdul Malik yang ditemui kemudian mengaku bahawa pemberian insentif secara tunai dan baucer masing-masing mempunyai keleihan dan kekuragan.

Namun, beliau berkata, sumbangan tunai boleh membantu pemandu teksi membuat persiapan raya.

"Bagi kita yang umat Islam, ini adalah sesuatu yang besar untuk menyambut Aidilfitri.

"Pemberian insentif secara tunai memberi peluang kepada pemandu teksi, sama ada untuk menyelenggara teksi mereka atau membuat persiapan raya mengikut keutamaan masing-masing," ujar beliau di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat wajar terus berusaha untuk mennyelami perasaan para pemandu teksi.

"Kalau boleh Kerajaan Negeri banyakkan pelancong ke kawasan pulau kerana pendapatan kita 90 peratus datang daripada pelancong-pelancong ini, lima peratus sahaja (pelanggan) orang tempatan," ujar beliau lagi.

T. Malakanu
Nada yang sama turut diluah oleh T.Malakanu, 76, yang ditemui kemudian.

“Saya sudah bekerja lebih 50 tahun, kerja memang susah dan sangat mencabar. Dengan insentif ini, bagus lah. Terima kasih banyak-banyak untuk Ketua Menteri.

“Pusat memang ada memberi empat tayar. Kalau baik, dapat tayar baik. Kalau tak baik, dapat tayar lama (atau) tiada kualiti. Ini semua nasib lah.

“Kalau bagi duit (seperti insentif RM300 oleh Kerajaan Negeri), lagi senang kerana kadang-kadang duit itu boleh digunakan untuk keperluan lain jika tayar teksi kita baru tukar. Takkan nak tukar tayar baru dengan tayar baru lain, rugi.

“Macam saya, dapat tayar yang sudah dipakai sebab saya tiada pilihan untuk tebus baucer (TR1Ma)...bunga tayar belum habis, tetapi, tayar sudah rosak ertinya itu tayar lama yang tidak berkualiti lagi.

KHOR Sok Boon
Khor Sok Boon, 76, mengaku bahawa kemampuan orang ramai memiliki kenderaan peribadi sedikit banyaknya menjejas mata pencarian beliau di Nibong Tebal berbanding era 1960-an dulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau sangat berterima kasih atas sumbangan insentif RM300 daripada Kerajaan Negeri.

“Macam saya di Nibong Tebal, tidak banyak pelancong menaiki teksi saya kerana George Town lebih menjadi tumpuan pelancongan.

“Jadi, kerja dari pagi hingga petang pun susah mahu cari makan. Mujur anak semua sudah besar dan tanggungan menjadi ringan.

“Bagi tayar pun, kita terima. Bagi duit (insentif RM300) pun, kita terima kerana kerja kita susah di sini.

“RM300 boleh guna untuk keperluan rumah, satu hari tak boleh habis insentif ini kerana jimat cermat,” ujar beliau.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan Kerajaan Negeri terbukti mengotakan janji Manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang PRU13 demi kepentingan rakyat terbanyak di negeri berkenaan.