31 December 2014

"Notis" Abdul Aziz, SPR tak junjung semangat demokrasi - Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

LIM Guan Eng
GEOGRE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyifatkan syor Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mengeluarkan Notis Kajian Semula Persempadan baru-baru ini tanpa terlebih dahulu merujuk kepada tiga wakil yang telahpun dilantik oleh Kerajaan Negeri sebenarnya merupakan amalan yang tidak menjunjung semangat demokrasi berpelembagaan.

Katanya, Abdul Rashid dipertikai kerana mensyorkan SPR mempamerkan cadangan peta persempadanan semula selama sebulan untuk Kerajaan Negeri Kerajaan Tempatan dan sekumpulan pengundi yang tidak kurang daripada 100 orang bagi satu-satu kawasan pilihan raya menyatakan persetujuan atau kritikan, sebelum proses perwartaan dilangsungkan di Dewan Rakyat.

Menurut Guan Eng, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru) dan Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) merupakan tiga wakil yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk berurusan dengan SPR.

"Tan Sri Abdul Aziz bolehlah membetulkan keadaan dan bersetuju untuk berjumpa dengan tiga orang wakil yang dilantik melalui Mesyuarat Exco untuk mewakili Kerajaan Negeri dalam aspek persempadanan kawasan pilihan raya," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) turut menyertai sidang media tersebut.

Terdahulu, Abdul Aziz mencadangkan notis sedemikian dikeluarkan memandangkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya wajar dibuat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lapan tahun.

Bagaimanapun, cadangan Abdul Aziz itu dipertikai banyak pihak kerana didakwa seakan cuba menyembunyikan tarikh sebenar SPR melakukan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, yang sepatutnya dilangsungkan pada hujung tahun ini.

Abdul Aziz dalam reaksi spontan mengumumkan penangguhan proses mewarta Notis Kajian Semula Persempadan tersebut, atas dalih rata-rata pengundi di kawasan kajian semula SPR dilanda bencana banjir hingga kini.

Pun begitu, Abdul Aziz dilaporkan berkata, pada masa ini hanya Notis Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sarawak yang sudah disiapkan dan akan dipamerkan kelak.

“SPR beri keutamaan kepada Sarawak kerana Sarawak telah meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah anggota DUN,” katanya, dipetik daripada satu akhbar arus perdana.

November lepas, dilaporkan, Persidangan DUN Sarawak telahpun meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah anggota DUN daripada 71 ketika ini sekaligus menjadikan keseluruhan 82 kerusi DUN bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ditanya mengenai beberapa pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan pandangan kepada SPR berhubung kajian persempadan semula, Abdul Aziz berkata, SPR melaksanakan proses persempadanan semula mengikut perlembagaan dan tidak berbuat sesuka hati.

“SPR juga tidak boleh mendengar cakap-cakap pihak tertentu,” katanya.

Katanya, kali terakhir Kajian Semula Persempadanan dibuat adalah pada tahun 2003.

Persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing, apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.

Sebelum mewartakan notis berkenaan, SPR perlu memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan, mengikut peraturan yang ditetapkan.

Apabila notis berkenaan diumumkan, maka, bermulalah tempoh persempadanan semula dan notis itu akan dipamer selama sebulan (untuk menerima bantahan dan cadangan) daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan pengundi berdaftar, sekurang-kurangnya 100 orang dalam bahagian pilihan raya terbabit.

Laporan akhir mengenai syor kajian semua persempadanan kawasan pilihan raya itu perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh tidak lebih dua tahun daripada tarikh Notis diumumkan, untuk dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, bagi mendapat kelulusan selaras dengan Seksyen 8, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan yang diluluskan oleh sidang Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agung untuk ditandatangan, sebelum diwartakan dan diguna pakai.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus