22 July 2014

Kasthuri Patto bawa isu gender ke antarabangsa

P. KASTHURIRAANI (berbaju merah) bergambar kenang-kenangan bersama bekas Presiden Iceland, Mary Robinson(depan, berbaju kot hitam) serta Ahli-Ahli Parlimen Wanita Sedunia di negara berkenaan baru-baru ini. Mary merupakan pemimpin wanita pertama dipilih menjadi presiden negara dan pernah diiktiraf antara pemimpin yang berintegriti selama tempoh lebih enam tahun memerintah Iceland.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Itu, cakap-cakap khalayak apabila P. Kasthuriraani, 35, dipilih mewakili Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Fasih bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan bahasa Tamil. Pidatonya, saling tak tumpah seperti ayahnya, P. Patto, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Ipoh.

P. Patto dua kali diheret di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), iaitu selepas mendedahkan skandal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membeli tornado SPICA-M dari Sweden berharga RM9 bilion pada tahun 1978, dan Operasi Lalang 1987.

Dalam wawancara bersama-sama fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini, Kasthuriraani mengakui bahawa semangat ayah serta rakan seperjuangan bersama-sama kaum pekerja terdahulu adalah sumbu inspirasi dalam menunaikan tanggungjawab kepada komuniti Batu Kawan.

“Pengalaman manis di Batu Kawan banyak. Saya diberi peluang untuk merasai semangat persahabatn dan kekeluargaan di antara semua etniksiti di sini, semasa kempen (PRU13) dan sekarang.

“Tugas kami, pasukan Batu Kawan di sini adalah berkhidmat untuk masyarakat, jadi tiada yang lebih menggembirakan lagi selain daripada membantu mereka dengan masalah mereka

“Mendiang ayah (P. Patto), Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah) dan kawan-kawan ayah adalah inspirasi saya apabila saya pilih jalan ini (sebagai wakil rakyat),” jelas Kasthuriraani semasa ditemui di pejabatnya di Taman Kasawari di sini baru-baru ini.

P. KASTHURIRAANI (kanan) semasa diwawancara oleh Zainulfaqar Yaacob (kiri) di pejabatnya Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Batu Kawan di sini baru-baru ini

Hobi
Gadis itu memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Microbiologi) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau hanya mempunyai seorang adik perempuan, dan tinggal bersama ibu.

Kehidupanya yang dikejar pelbagai tanggungjawab khususnya di Dewan Rakyat serta di kawasan Parlimen Batu Kawan membuatkan Kasthuriraani tersenyum apabila ditanya mengenai hobi pada masa lapang.

“Setakat ini, hobi saya telah mendapat tempat kedua dalam kehidupan saya kerana tugas Ahli Parlimen mengambil sepenuh masa saya.

“Sebelum ini, hobi saya membaca dan melukis, dan sekiranya ada sedikit masa, saya minat dengan kraftangan menjahit dan macam-macam lagi,” jelas beliau, tersenyum. 

Berjuang isu Gender
Tahu tidak tahu, di Parlimen, Kasthuriraani dikenali sebagai seorang yang konsistan membangkitkan isu-isu berkaitan kepentingan gender, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Maka, tak hairanlah beliau merupakan salah seorang individu penting, yang turut diruangkan berperanan dalam Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Briged Wanita Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, perjuangan kesaksamaan gender dapat dilihat melalui inisiatif PWDC. kerajaan negeri juga telah memperkenalkan konsep Gender Responsive Budgeting, yang kini dalam 'pipeline' untuk diadaptasikan oleh Kementerian Kewangan.

“Akan tetapi, ada banyak juga yang perlu dilakukan, dari peringkat akar umbi dan dari golongan sosioekonomi yang rendah, di mana konsep melihat wanita dianggap dan diberi peluang yang sama seperti lelaki perlu sedikit asahan.

“Untuk kanak-kanak pula, banyak juga yang perlu dilakukan sekiranya (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang mahu dilihat sebagai negeri yang memberi keutamaan bukan sahaja dari aspek kebajikan kanak-kanak, malah, hak-hak mereka sekali.

“Pulau Pinang mempunyai dua Yang di-Pertua (bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai) wanita serta DO (Pegawai Daerah) wanita, dan satu-satunya negeri yg mempunyai PWDC untuk menyelaras dan membantu dengan isu-isu wanita,” jelas Kasthuriraani lagi.

Beliau memuji kemitmen pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana giat mengutamakan agenda gender di negeri ini.

Ke Antarabangsa
Tahu tidak tahu, isu-isu gender berbangkit ini turut diketengah ke peringkat antarabangsa apabila Kasthuriraani mempunyai peluang menyertai forum-forum global.

“Saya ada berkongsi mengenai gerakan BERSIH (Pilihan Raya Adil & Bersih) semasa mewakili Malaysia dalam persidangan anjuran Kedutaan Amerika Syarikat ke Hawaii, Korea Selatan dan China pada September hingga Oktober tahun lepas. Di sana, saya turut berkongsi idea mengenai TPPA (Perjanjian Persefahaman Trans-Pasifik).

“Dalam persidangan di Bali (Indonesia) pada Fabruari lepas, mengenai pemimpin wanita di rantau Asia Tenggara terutama negara demokrasi Timor Leste, di mana wanita mewakili 38.5 peratus dari jumlah Ahli Parlmen mereka, (ertinya) wanita kini diberi lebih banyak ruang untuk menjadi sebahagian daripada tonggak pemimpin negara mereka.

“Di Bangkok (Thailand) pada Mac lepas, saya bersama-sama Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang) dan V. Sivakumar (Ahli Parlimen Batu Gajah) sertai satu persidang berhubung genosid, ethnic cleansing (pembersihan ernik) dan ‘crimes against humanity’...perhatian kami pada isu-isu hak asasi manusia di Cambodia di bawah Khmer Rouge, penindasan di Myanmar dan terhadap masyarakat Rohingya serta isu-isu di Filipina, Indonesia dan Sri Lanka,” ujar beliau.

Terbaru, menurut Kasthuriraani lagi, adalah kunjungan ke Iceland, sebuah negara yang dikatakan mempunyai latar belakang sejarah perjuangan yang begitu memartabatkan gender wanita hingga kini.

Semua Ahli Parlimen Wanita Malaysia dijemput ke satu forum antarabangsa di sana, dan Kasthuriraani pergi mewakili Parlimen Malaysia.

“Iceland, sebuah negara modal berhubung hak asasi wanita dan negara terawal dan pertama untuk melantik presiden wanita pertama di dunia.

“Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat telah meluluskan peruntukan untuk saya mengambil bahagian dalam forum tersebut dan saya mewakili malaysia dalam forum tersebut.

“Saya telah banyak belajar mengenai ‘good governance’ di Iceland dan usaha mereka utk tetap menyerap lebih ramai wanita dalam pentadbiran dan pimpinan mereka,” jelas beliau lagi, sambil memuji kesederhanaan pemimpin negara di sana dalam menggunakan wang rakyat untuk keperluan rasmi peribadi.

Ihya Ramadan
Kasthuriraani turut merebut masa mengadakan program amal untuk menghargai umat Islam terpilih, sempena bulan Ramadan dan hari lebaran yang kian kunjung tiba.

“Ramadan kali ini, kita mewujudkan Program Amal Syawal bertemakan ‘Beraya Bergaya Bersama’, di mana kita mengumpulkan pakai raya terpakai bermutu untuk diagihkan kepada umat Islam terpilih sebelum 1 Syawal nanti.

“Ini kan Malaysia. Ini kan kesederhanaan sebenar rakyat Pulau Pinang tanpa sentimen perkauman. Melayu, Cina, India dan semua kaum boleh saling menghargai dan saling kasih sayang,” jelas beliau.

Cabaran
“Di Batu Kawan sendiri, sebenarnya masih banyak perkara perlu dibuat. Setakat ini, isu-isu setempat yang berat dan perlu ditangani antaranya masalah perpindahan pekerja estet, masalah gembala lembu, isu banjir, isu trafik dan isu tanah.

“Semua ini ada cabaran dan rintangan tersendiri bagi saya sebagai wanita muda India. Bukan senang untuk menghadiri mesyuarat untuk mengetengahkan pandangan yang berbeza dalam dunia yang didominasi oleh kaum lelaki, umpamanya.

“Bagaimanapun, sebenarnya, saya lebih suka membincangkan apa yang boleh kita buat,” jelas beliau sambil berharap Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat, komuniti Batu Kawan terus menggalakkan insiatif menghagai gender, khususnya wanita dan kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus