P. Ramasamy bersama pasukannya di pintu gerbang masuk Pasar Perai, yang terukir pembinaannya pada tahun 1938. | Foto: arkib Buletin Mutiara |
(Dari kiri) P. Ramasamy, P. David Marshel, P. Kasthuriraani dan Pamela Vijayrani sedang meneliti keunikan jalaran pokok di bahagian pintu utama gerbang masuk ke Pasar Perai. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PERAI - Pasar Perai yang dibina pada awal kurun ke-19 akan dipertahankan sebagai bangunan warisan, sungguhpun saman pemula daripada tuan tanah Wellwish Concept Sdn. Bhd. mula didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Julai depan.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy dalam kenyataannya pagi tadi berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan berusaha mengambil langkah secara pentadbiran demi mempertahankan bangunan yang berusia lebih 80 tahun tersebut.
Langkah itu, katanya, adalah mendekati tuntutan Akta Warisan Kebangsaan, 2005, yang melarang bangunan berusia melebihi 100 tahun dari dirobohkan, untuk dipulihara sebagai warisan negara.
“Depo KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) yang ada nilai warisan sejarah dari India tidak dapat diselamatkan sebelum ini kerana projek itu diluluskan sebelum kita (Pakatan Rakyat) mengambil alih Kerajaan Negeri (8 Mac 2008).
“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pemaju datang untuk roboh bangunan ini (Pasar Perai), mana ada lagi warisan di Perai kalau semua mahu dirobohkan,” tegas Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai di sini.
Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, serta dua Ahli Majlis bagi MPSP, P. David Marshel dan M. Satees turut menyertai sidang media itu.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Inderawasih, Ng Hooi Lai.
Ramasamy memberitahu, Pamela Vijayrani dari firma guaman Noraishah Ismail, Pamela Vijayrani & Co. dilantik mewakili pihak pembelaan bagi menghadapi Wellwish Concept.
“Ia (Pasar Perai) boleh diselamatkan secara pentadbiran (oleh) Kerajaan Negeri, tetapi, kes ini bergantung pada budi bicara Hakim di Mahkamah,” respons Pamela pada sidang media yang sama.
Nada sama turut ditegaskan oleh Kasthuriraani.
“Walaupun pasar ini nampak seperti kurang diselenggarakan, tetapi, Kerajaan Negeri sejak 2008 banyak mempertahankan kawasan warisan seperti ini.
“Khazanah seperti ini tidak wajar dirobohkan kerana mempunyai nilai sejarah seperti George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO,” ujar Kasthuriraani.
Tinjauan setempat mendapati, MPSP atau pihak berwajib lain sejak tahun 2008 didakwa langsung tidak melakukan kerja-kerja pembersihan di Pasar Perai di sini.
Pun begitu, David Marshel memberitahu bahawa Pasar Perai telahpun disenaraikan kepada Bahagian Bangunan MPSP untuk dipertimbangkan sebagai bangunan warisan, yang wajar dipulihara dan dipelihara kelak.
“Bangunan papan di dalam ini boleh dianggap antara pasar moden pertama di Malaysia kerana dibina pada awal kurun ke-19, manakala, binaan (tembok) baru di luar ini (dibina) pada 1938.
“Bangunan ini memang sudah dalam direktori MPSP...selagi kita (MPSP) tidak mendapat pandangan daripada (Jabatan) Warisan (Negara), pasar ini tidak akan dirobohkan,” tegas David Marshel.
Difahamkan, Pasar Perai ini dibina atas tanah milik dua penama, iaitu KTMB dan Wellwish Concept.
Sebelum tanah tersebut berpindah tangan kepada Wellwish Concept, tanah tersebut asalnya dipunyai Khoo Keat Eanh, iaitu seorang hartawan British yang bermastautin di Great Britain (kini dikenali sebagai United Kingdom)
“Semasa pasar awam ini dibina dulu (awal kurun ke-19), mungkin ini tanah kerajaan juga, sebelum bertukar tangan beberapa kali, kita tidak tahu hal ini kerana kita (Pakatan Rakyat) baru menjadi Kerajaan Negeri pada (tahun) 2008.
“Dimaklumkan, tanah ini telah dibeli dengan harga (lebih kurang) RM800,000, kita (Kerajaan Negeri) pun tidak tahu apakah cadangan pemajuan oleh tuan tanah yang baru, walaupun ada disebut mereka mahu membina gudang besar di sini," jelas Ramasamy.
Justeri, jelas Ramasamy lagi, kesemua tujuh pemilik rumah setinggan dan sembilan pemilik gerai niaga di sini tidak perlu gusar dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam mempertahan bangunan yang mempunyai warisan tersebut, walaupun mereka terbabit telahpun menerima notis pengosongan premis masing-masing daripada tuan tanah yang baru.
Sementara itu, wanita yang mahu dikenali sebagai “Chan” (gambar kiri), iaitu generasi ketiga membuka warung minum di sini memberitahu bahawa pihaknya lebih berminat dengan syor untuk membaik pulih Pasar Perai.
“Kalau bagi pampasan duit, duit boleh habis, kalau boleh buat duit (berniaga di sini) lagi elok, boleh dapat duit juga.
Kalau mahu saya pindah dari sini, mesti bagi tempat (niaga) yang lebih baik kerana sudah tiga generasi kami cari makan di sini,” ujar wanita berusia sekitar 50-an tersebut kepada wartawan.
Nada yang sama turut diluahkan oleh P. Loganathan, 31, pemilik kedai runcit.
“Saya adalah generasi ketiga di sini, waris daripada datuk. Saya tak mahu pampasan kerana saya pun percaya tempat ini boleh niaga jika dibaik pulih serta kekal (digezetkan sebagai) bangunan warisan nanti,” ujar Loganathan kepada watawan.
R. Penusatharmen, 39, juga pemilik kedai runcit generasi ketiga keluarganya di sini.
“Kunjungan orang tempatan memang bagus sebab mereka tahu sentimental yang ada di Pasar Perai ini.
"Orang luar tidak datang, mungkin kerana tidak tahu (nilai sentimental sejarah) atau lihat (Pasar Perai) langsung tiada diselenggara di sini,” respons Penusatharmen.
T. Ramesh (gambar kanan), 30-an, pemilik kedai gunting rambut serta penjual akhbar turut memberi reaksi pada cadangan pampasan daripada tuan tanah.
“Orang yang tak kenal, memang takut (berkunjung ke sini). Mereka lihat bangunan ini cukup usang, takut suatu hari nanti akan runtuh.
"Tapi, kalau dibaiki, semua tanggapan negatif ini boleh (dipadamkan),” ujar Ramesh sambil memberitahu bahawa beliau adalah generasi ketiga berniaga di sini.
Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan kepimpinan Kerajaan Negeri cakna dengan pendapat penduduk di Pasar Perai tersebut.
No comments:
Post a Comment