Skip to main content

PAS arah Azizan Razak hadir mesyuarat khas malam ini?

Mesyuarat Khas PAS pada 8.30 malam ini di Pejabat Agung dekat Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur antara lain dikhabarkan untuk mencari jalan penyelesaian mengenai pergolakan dalaman parti berkenaan di Kedah.

Mesyuarat itu asalnya pada sebelah petang hari yang sama tapi dipindah pada saat akhir.

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan hari pada mesyuarat penting itu tetapi presidennya Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta ketua penerangannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mungkin tidak hadir kerana masih di luar negara.

Menteri Besar Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta membantu menyelesaikan insiden protes oleh beberapa pemimpin kanan parti di peringkat negeri berkenaan yang didedah masih enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Azizan yang juga ahli Majlis Syura Ulama (MSU) khabarnya turut diminta menjelaskan sendiri mengenai isu KUiN 5 dan dakwaan memberi projek kerajaan negeri bernilai jutaan ringgit kepada kroni Umno sebelum ini.

"Kali ini, Ustaz Azizan diminta datang sendiri ke mesyuarat khas itu, dia tak boleh lagi sekadar hantar Sanusi (setiausaha politik bagi Menteri Besar Kedah) seperti sebelum ini," ujar sumber.

Dijangka mesyuarat khas PAS ini menerima perhatian luar biasa dari kaum wartawan dan blogger.

Berita lanjut menyusul kemudian.