10 April 2014

Demontrasi bantah usir Melayu Kg. Pmtg. Tok Subuh 4.30 petang esok!

WAKIL PSM serta JERIT turun membantu memberikan konsultansi kepada 26 keluarga sebagai persiapan menempuhi proses mitigasi mahkamah pada 18 April depan dalam satu majlis dipengerusikan bersama oleh Pak Jab Samat dan Hamidah Che Embi di Kampung Permatang Tok Subuh di sini, semalam.  

BUKIT MERTAJAM - Kesemua 26 penduduk asal Kampung Permatang Tok Subuh di sini akan dipanggil oleh Hakim Mahkamah Seksyen Butterworth, Puan Nabisha Ibrahim pada pagi 18 April depan dalam proses mitigasi demi menyelesaikan penghakiman terus (summary judgment) seperti dituntut oleh oleh tuan tanah, Distinct Class.

Penasihat Badan Bertindak Selamatkan Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh merangkap Ketua PKR Cabang Bukit Mertajam, Pak Jab Samat memberitahu, pihaknya akan melancarkan demontrasi aman di jalan utama masuk ke kampung terbabit pada Jumaat, 11 April 2014 bermula jam 4.30 petang.

"Isu ini tidak boleh lagi sekadar berlegar dalam kampung ini sahaja, jadi kita bawa keluar kampung untuk memberitahu rakyat Pulau Pinang bahawa ada penduduk asal di sini sedang dibuli oleh satu pihak yang mengaku sebagai tuan tanah," tegas Pak Jab selepas majlis konsultansi bersama penduduk, malam tadi.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh, Hamidah Che Embi, Zainulfaqar Yaacob (wakil Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah, RAGAS), R. Karthiges (sukarelawan Jaringan Rakyat Tertindas, JERIT) dan Julius Choo Chon Kai (pemimpin Parti Sosialis Malaysia, PSM) turut hadir pada majlis yang disertai oleh lebih 50 penduduk setempat.

Sebelum itu, Chon Kai dan Karthiges masing-masing memberikan konsultansi kepada penduduk sebagai persiapan untuk menghadapi mitigasi di kamar Hakim nanti.

Dalam perkembangan lain, Hamidah memberitahu, beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk) mengenai cadangan semula penduduk bertemu dengan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sebelum proses akhir penghakiman ingkar dilangsungkan minggu depan.

Terdahulu, proses mitigasi di kamar hakim menemukan jalan buntu apabila wakil pendakwaan dari Firma guaman Fadzil, Chua & Song enggan menimbang tuntutan sebulat suara kes pertama membabitkan enam penduduk asal, iaitu 'rumah ganti rumah selesa'. 

Puan Nabisha akhirnya memutuskan untuk membuat mitigasi lanjut bersekali dengan kes kedua yang membabitkan 20 lagi penduduk asal.

Penduduk pada 5 Mac lepas melancarkan 'perang mulut' di depan firma guaman kerana tuan tanah langsung tidak berani bersemuka untuk membincangkan status sebenar tanah serta tindakan pengusiran mereka.


BERITA BERKAITAN:
Melayu Kg. Pmtg. Tok Subuh tunggu masa diusir

No comments:

Post a Comment