13 December 2013

Isu Pmtg. Tok Subuh: Kerajaan Negeri mahu runding - Guan Eng

Kerajaan Negeri akan terus berusaha mencari penyelesaian di luar mahkamah dengan tuan tanah Distinct Class yang membabitkan 27 penduduk asal Kampung Permatang Tok Subuh dekat Bukit Mertajam, kata Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

"Walaupun isu ini telah dibawa ke mahkamah oleh tuan tanah dan masih dalam proses sebutan, Kerajaan Negeri masih cuba mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

"Wakil rakyat PR (Pakatan Rakyat) telahpun melantik seorang peguam untuk mewakili penduduk dalam kes mahkamah bagi berdepan dengan peguam pemilik tanah yang memiliki latar belakang BM (Barisan Nasional) yang tebal," ujar Guan Eng semasa sesi penggulungan perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, George Town pada pagi tadi.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kesenian & Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, empat kali perbincangan diadakan di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Seberang Perai Tengah sebelum ini, iaitu pada tarikh 12 Julai, 8 September, 18 Oktober dan 4 Disember lepas.

Tambah beliau, penduduk berkenaan hanya ditawarkan pampasan antara RM7,000 hingga RM35,000 jika bersetuju menandatangani surat perjanjian pampasan yang dicadangkan oleh tuan tanah.

Penjelasan Guan Eng itu sebagai respons pada pertanyaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Terdahulu, Guan Eng semasa melawat mangsa banjir di kampung tersebut pernah menyatakan komitmen bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak akan melakukan sebarang pelan perancangan pembangunan di atas Lot 1258 Mukim 14 Kampung Permatang Tok Subuh sekiranya tidak menguntungkan penduduk asal di situ.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus