Skip to main content

Tambah seganda bilangan penjaja Melayu realistik, kata PAS P.Pinang

ZOLKIFLY Md. Lazim (paling kanan) menyantuni "Mohd. Salihin" (tiga dari kiri) dan dua rakan niaganya di Uptown Bayan Lepas, semalam.

Oleh: ZAiNULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS - Jual beli domestik negara di sepanjang bulan Ramadan kali ini dianggarkan RM9 bilion, kata Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang Zolkifly Md. Lazim memetik satu sumber kerajaan.

Justeru, Zolkifly berkata hasrat PAS Pulau Pinang untuk menambah sekali ganda bilangan peniaga kecil Melayu daripada 3,500 orang yang sedia ada berdaftar di negeri ini adalah realistik untuk dicapai dalam tempoh setahun ini.

"Kalau tengok pada jual beli sepanjang bulan Ramadan ini, saya rasa idea tambah sekali ganda penjaja Melayu di Pulau Pinang ini realistik.

"Jom tambah peniaga dan tambah ekonomi umat," kata Zolkifly yang juga Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSB) semasa melawat Uptown Bayan Lepas, malam tadi.

Zolkifly yang juga Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh turut memujui Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan timbalannya Datuk Mohd. Rashid Hasnon kerana menyusun baik aktiviti penjajaan seperti Uptown dan Bazaar Ramadan.

Kali pertama Zolkifly menyuarakan hasrat untuk menambah sekali ganda penjaja Melayu di negeri ini adalah semasa melawat Bazaar Ramadan Batu Kawan.

Beliau meminta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya tidak tunduk pada hasrat TEKUN selaku penganjur Bazaar Ramadan Stadium Batu Kawan mahu menggandakan tekanan kepada penjaja-penjaja Melayu yang berniaga di Bazaar Ramadan Batu Kawan.

Respons itu selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Surau At-Tahalli, Cikgu Mohd. Rashid Abdul Hamid, yang juga penganjur Bazaar Ramadan Batu Kawan.

“Kalau ikut PAS, orang Mekah lebih tahu mengenai orang Mekah, orang Madilah lebih tahu mengenai orang Madinah (amal Ahl Madinah). Biar peniaga putuskan kawasan mana strategik untuk mereka niaga.

“Manakala, PBT (MPSP) perlu memberi fasiliti dan garis panduan, supaya Pulau Pinang ini benar-benar menjadi negeri paling istimewa untuk orang berniaga cari makan,” ujar Zolkifly kepada wartawan.



Berita berkaitan:
Rekod hutang tak berbayar sifar, KPATSBB hasrat jumpa Guan EngGerakan koperasi penjaja mampu banteras 'Along' - Zolkifly Md. Lazim