MAT Jamil Saad (berdiri, empat dari kiri) dan Zolkifly Md. Lazim melihat operasi mencucuk daging sate oleh pekerja tempatan di Kilang Satay Ibrahim di sini baru-baru ini. |
Cerdik tak membuang kawan, gemuk tak
membuang lemak.
Itu pedoman yang dikongsi oleh personaliti kali ini, Mat Jamil Saad, 47, semasa diwawancara
mengenai kejayaan menubuhkan Kilang Satay Ibrahim dekat Teluk Kumbar baru-baru
ini.
Menurut Mat Jamil, kilang memproses sate
itu adalah simbol persahabatan beliau dengan empat rakan kongsi lain.
Mereka adalah dua anak ‘Pak Ibrahim’,
seorang cucu kepada pengasas resepi enak itu, dan seorang lagi adalah kenalan berniaga
di pasar malam.
“Susah berkawan dalam berniaga ini
sebenarnya lebih senang kerana masing-masing saling nak berkawan dan nak
berniaga,” ujat Mat Jamil kepada fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.
MAT Jamil Saad (kiri) semasa diwawancara oleh Wartawan Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob (kanan) di sini baru-baru ini. |
Dorongan
Menurut Mat Jamil, Dewan Perniaga Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) pada dua tahun lepas ada menyatakan
hasrat mewujudkan perniagaan contoh untuk dijadikan aras tanda kepada kaum
peniaga kecil di negeri ini.
Mat Jamil dan lapan rakan lain melalui
Pertubuhan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Pulau Pinang (PPPMPP) pada dua
tahun lepas dipelawa untuk mengikuti kursus intensif perniagaan komersial
selama tiga hari dua malam di Serdang, Selangor di bawah kendalian Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Selepas balik dari kursus itu, akhirnya,
kami (PPPMPP) setuju buat perniagaan sate pada awal tahun lepas kerana itu
makanan popular orang Melayu, Cina dan India, semua makan sate.
“Saya pelawa dua anak arwah Pak Ibrahim
dan cucunya serta seorang lagi kawan saya untuk bersama-sama menubuhkan Kilang
Satay Ibrahim ini atas semangat berniaga dan berkawan,” ujar beliau.
Mat Jamil berkata, lima mereka
masing-masing bersetuju mengeluarkan modal pemulaan sebanyak RM5,000 semasa menubuhkan
Kilang Satay Ibrahim.
“Lebih
kurang 10,000 sate dihasilkan ikut permintaan tiap-tiap hari, kadang-kadang
permintaan harian mencecah lebih 15,000 batang cucuk.
“Dengan modal permulaan itu serta
bantuan banyak pihak, kilang Satay Ibrahim kini lengkap dengan mesin
sofistikated untuk menghasilkan sate secara komersial, selain, disokong oleh 10
pekerja dari kalangan orang tempatan di sini,” ujar Mat Jamil.
MAT Jamil Saad (kiri) menjelaskan kepada Zolkifly Md. Lazim (kanan) mengenai kemampuan produktivti mesin mencucuk sate secara semi-automatik di sini baru-baru ini. |
Pun begitu, katanya, masih banyak lagi
perlu dilakukan untuk mengkomersialkan produk tersebut di luar negari ini,
walaupun Satay Ibrahim ini sudah mempunyai peminat tersendiri sejak lebih 30
tahun dulu di negeri ini.
Bagi Mat Jamil sendiri, menguruskan Kilang Satay Ibrahim bagaikan kerjaya sepenuh masanya, walaupun beliau sebenarnya adalah berniaga bihun sup di Pasar Malam Pondok Upeh dekat Balik Pulau dan Pasar Malam Permatang Damar Laut dekat Batu Maung.
Peniaga
Melayu terpinggir
Mat Jamil secara tegas menolak dakwaan
sesetengah kononnya peniaga Melayu ‘susah nak cari makan’ di Pulau Pinang,
ekoran penguatkuasaan undang-undang berwajib oleh Majlis Perbandaran Pulau
Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
“Kalau benar terpinggir, saya sendiri
tak boleh membuka Kilang Satay Ibrahim kerana saya pun Melayu,” seloroh Mat
Jamil.
Mat Jamil yang juga Timbalan Pengerusi
PPPMPP berkata, kedudukan penjaja pada era ‘Kerajaan Hari Ini’ sebenarnya jauh
lebih baik berbanding sebelumnya.
“Cina atau India pun banyak seperti
Melayu, berdepan tindakan penguatkuasaan kerana berniaga di tempat yang salah...ini
isu penguatkuasaan, bukan peminggiran mana-mana kaum.
“Kalau dulu (sebelum Mac 2008), penjaja
tidak mempunyai hak untuk menguruskan sendiri pasar malam kerana atas alasan di
kawasan perumahan dan atas jalan...amalan biasa memberi hak (mengurus pasar
malam kepada) JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti), persatuan
penduduk dan KRT (Kelab Rukun Tetangga).
“Tetapi, kita (PPMPMPP) menganjurkan (pasar malam) di Tapak Pesta dan Jalan Tull pada era Kerajaan Negeri hari ini,” jelas Mat
Jamil.
MAT Jamil Saad menjelaskan kepada Zolkifly Md. Lazim mengenai sumbangan PPMPMPP yang mendapat liputan media serta perhatian Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini. |
Aras
Tanda
Mat Jamil berpendapat Kerajaan Negeri
melalui agensi berwajib dengan kerjasama PPMPMPP sepatutnya menggariskan aras
tanda (banchmark).
“Pulau Pinang ini adalah negeri
pelancongan, ertinya, imej penjajaan pun penting untuk dilihat.
“Contoh seperti di Padang Kota,
penjajaan di kawasan larangan sejak era dahulu Kerajaan Negeri (sebelum tahun
2008) lagi. Dulu pun MPPP buat penguatkuasaan, sekarang pun sama.
“Garis panduan aktiviti penjajaan memang
ada, cuma tinggal macam mana nak diamalkan oleh peniaga.
“Ada pendapat mengatakan kawasaan
penjaaan tak cukup, itu pun penting untuk dilihat. Tetapi, yang lebih penting,
bagaimana nak meningkatkan mutu pelanggan di kawasan penjajaan yang sedia ada.
“Sebagai contoh, wujudkan banchmark dari segi kebersihan dan mutu
pelanggan yang berkualiti, hanya penjaja yang memenuhi spesifikasi banchmark ini layak untuk berniag, tak
kiralah di kawasan jaja berbumbung atau seperti di pasar malam.
“Ini secara langsung akan memberi
peluang kepada penjaja-penjaja yang benar-benar komited untuk berniaga ikut banchmark negeri untuk memajukan
perniagaan sendiri dan negeri,” ujar beliau.
Harapan
Mat Jamil memberitahu, bahawa kilangnya
sudah menyediakan kiosk lengkap dengan peralatan membakar sate kepada mereka
yang berminat untuk menjadi rakan niaga.
MAT Jamil Saad (kiri) dan Zolkifly Md. Lazim menunjukkan kiosk Satay Ibrahim untuk rakan niaga yang berminat dengan modal awalan serendah RM1,500. |
“Bayar RM1,500 sahaja boeh dapat semua
ini. Harga borong secucuk sate ayam 35 sen dan boleh dijual dengan harga 50
sen. (Harga borong secucuk) sate daging 45 sen dan boleh dijual 50 sen. (Harga
borong secucuk) sate perut 60 sen dan boleh dijual dengan harga RM1.
“Dari awal kilang ini dibuka lagi, kita
tak buat pinjaman bank kerana kita nak memajukan secara berperingkat.
“Kalau di Selangor terkenal dengan Sate
Samuri Kajang, di Pulau Pinang biarlah Satay Ibrahim menjadi satu lagi identiti
makanan enak negeri di negara ini...kalau boleh di luar negara,” ujar Mat
Jamil.
Tambah Mat Jamil, beliau sendiri baru
berbincang dengan Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat, Zolkifly Md.
Lazim mengenai pengalaman koperasi itu mewujudkan pinjaman mikrokredit tanpa
riba, sebagaimana dilaporkan oleh Buletin Mutiara sebelum ini, untuk
dilaksanakan dalam PPMPMPP.
Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri
melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan Dalam Negeri berwajib mungkin
boleh kolaborasi dengan Kilang Satay Ibrahim demi mengangkat jenama Pulau
Pinang ke luar negeri.
Mat Jamil boleh dihubungi meneri nombor
telefon 0195475227 atau matjamilsaad@gmail.com. Kilang Satay Ibrahim di alamat No.28, Tingkat Bawah, Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar, 11,920 Bayan Lepas, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment