27 July 2012

Wibawa Afnan jadi Ahli Majlis Agama dipersoal tapi Salleh Man elak

Mansor menunjuk surat perkenanan Agong melantik Mohd. Salleh (kanan)
dan Ahli-ahli Majlis MAINPP yang lain sambil diperhati Abdul Malik (kiri).
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd. Saleh Man yang baru dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini mengelak dari mengulas mengenai kontroversi pelantikan Afnan Hamimi Taib Azamudden ke kerusi ahli majlisnya menggamit pelbagai tanda tanya.

Mohd Salleh
Mohd. Salleh lebih mengetahui sebab-musabab di sebalik langkah Afnan yang dilihat seringkali senada dengan pembangkang Pulau Pinang dan Mohd. Hafiz Nordin (bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang) menyerang kepentingan negeri, termasuk mendesak Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua MAINPP pada April lepas.

Yang nyata, langkah Afnan ini seakan mempercepat lorongan Mohd. Salleh ke kerusi Yang Dipertua MAINPP sungguhpun dilihat menghakis semangat setiakawan PAS bersama DAP dan PKR atas wadah Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

"Tak ada apa-apa komen, pelantikannya (Afnan) telahpun diterima," dalih Mohd. Saleh pagi tadi semasa ditanya wartawan di Komtar, George Town.

Sebelum pada itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Haji Othman mengumumkan senarai Ahli Majlis MAINPP sesi 2012/2013 seperti yang diperkenan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong.

DARI KIRI: Sazali, Malik, Mansor, Mohd Salleh & Maktar.
Abdul Malik selaku Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap bekas Yang Dipertua MANINPP, Sazali Husssein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, JHEANPP) dan Malik, Maktar Haji Shapee (ADUN Sungai Bakap) turut hadir dalam sidang media di Komtar, George Town.

Mansor pamer Surat Agong.
"Perlantikan ini dikuakuasa serta merta bermula pada 1 Januari (lepas) hingga 31 Disember 2013, iaitu satu sesi penuh," ujar Mansor sambil menunjukkan surat perkenanan Agong.

Perlantikan Afnan yang juga Setiausaha Pemuda PAS Pulau Pinang  ke kerusi Ahli Majlis MAINPP menjadi perhatian kerana beliau pada 23 April lepas mendesak Abdul Malik melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua MAINPP sungguhpun diketahui umum bahawa Kerajaan Negeri melalui Mansor serta Mohd. Salleh sedang berusaha mendapatkan perkenan mengadap DYMM YD Agong di Istana bagi mengemukakan nama YDP MAINPP yang baru dari kalangan tokoh PAS sebelum ini.

"Dewan Pemuda Pas negeri sudah mengemukakan pandangan terbaik dan menyatakan bahawa mereka tidak setuju Abdul Malik memegang jawatan YDP  MAINPP dan mahu melepaskannya, saya akur dengan tuntutan itu serta  menghormatinya," kata Afnan dipetik dari Sinar Harian online 23 April lepas.

ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua bagi membantu Mohd. Salleh.

Afnan Hamimi
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus, Faiza Zulkifli (Penasihat Undang-Undang Negeri), Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad (Mufti Kerajaan Negeri) adalah empat dari lima Ex-Officio yang menganggotai majlis tersebut.

Mansor berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu nama seorang lagi ex-officio bagi menggantikan bekas Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Ayob Yaacob yang berpindah tugas ke Bukit Aman baru-baru ini.

Tujuh dari lapan Ahli Majlis lain adalah Abdul Azizi @ Aziz Che Yaacob, Rosidi Hussain, Zainuddin Haniff, Dr. Wan Salim Mohd. Noor, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Noor Hayati Jaafar dan Dr. Danial Zainal Abidin.

Seorang lagi Ahli Majlis akan diumumkan kemudian bagi mengisi kekosongan bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Yusof Musa yang berpindah tugas ke Kuala Lumpur. -END

Artikel berkaitan:
Apakah kelayakan Afnan Hamimi dilantik sebagai Ahli Majlis Agama sungguhpun lawan Exco Kerajaan Negeri P.Pinang?

No comments:

Post a Comment