Skip to main content

Pertemuan sulit dengan Hafiz Nordin kejut Yusni, pemuda pusat?


Hafiz Nordin sepentas dengan Hasan Ali JATI
SiRi-SiRi pertemuan sulit beberapa pemimpin pemuda PAS Pulau Pinang dengan Mohd. Hafiz Mohd. Nordin yang ditanya dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat pagi tadi telah mengejutkan ahli dewan yang hadir.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dilaporkan turut tergejut serta terkesima semasa diminta memberi penjelasan mengenai kewajaran pasukannya bertemu dengan Mohd. Hafiz yang belakangan ini nyata menyerang pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Mohd Yusni kemudiannya cuba dihubungi menjelang jam 2 petang tadi bagi mendapatkan maklum balas lanjut, namun gagal.

Sumber-sumber dalaman Dewan Pemuda PAS Pusat yang diteroka bagaimanapun memberitahu, pertemuan sulit terbaru membabitkan Yusni serta beberapa pemimpin utama PAS negeri dengan Mohd. Hafiz pada Ahad lepas di Madrasah an-Nahdhoh, Kubang Semang.

"Kebetulan waktu itu mesyuarat PASTi. Ustaz Hafiz sah-sah ajak pemimpin PAS lawan Pakatan Rakyat, lawan Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dalam ceramah-ceramah agamanya.

"Mana-mana ceramah, Ustaz Hafiz kata Pakatan Rakyat tak jaga Islam dan mainkan isu mayat mualaf dibiarkan (selama) enam jam di rumah mayat Cina (Leong San Tong) tanpa pembelaan untuk naikkan sentimen benci pada Kerajaan Negeri.

"Sebab itu, mereka dilihat mencurigakan apabila sembunyi-sembunyi buat usrah dengan Ustaz Hafiz...sebab itu kot mungkin Yusni terkejut pagi tadi," ujar sumber semasa dihubungi wartawan.

Sumber berkata, pertemuan sulit terbaru itu turut disertai oleh Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang, Mohd. Noor Harun, Afnan Hamimi Taib Azamudden (Setiausaha Pemuda PAS Pulau Pinang) serta beberapa pemimpin pro Hassan yang lain.

Mohd. Hafiz dipertikai oleh akar umbi parti kerana bekas ketua pemuda PAS Pulau Pinang itu menyokong kuat Datuk Dr Hassan Mohd Ali, bekas pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat oleh parti.

Menurut sumber, Mohd. Hafiz didakwa senada dengan Hassan Mohd Ali menjayakan agenda JATi mempertikai kepemimpinan Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan menyerang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sejak tiga bulan lepas.

Sumber Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPP NPP) yang dihubungi selepas itu turut mempersoal kejujuran pemimpin sayap pemuda di negeri berkenaan yang didedah mengadakan pertemuan sulit dengan Mohd. Hafiz. 

"Patutlah Ustaz Yusni kata: 'kita (pemuda) sudah buat laporan dan terpulang kepada (PAS) pusat untuk ambil tindakan atau tidak kepada Ustaz Hafiz' ketika ditanya dalam mesyuarat Dewan Pemuda PAS Negeri (Pulau Pinang)'," ujar sumber.

Sehingga jam 2.30 petang tadi, difahamkan masih belum ada laporan rasmi dari mana-mana kawasan dikemukakan ke Lembaga Tatatertib PAS.

Dijangka isu ini bakal meledak dalam mesyuarat Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang (Pemuda Penang) kelak yang turut disertai oleh Afnan Hamimi. -END

Klik gambar