27 October 2014

Wujudkan hab niaga atas tanah wakaf boleh dipertimbang – Timb. YDP MAINPP

ABDUL Halim Hussein (enam dari kiri) menyampaikan geran pinjaman mikro kredit KPATSBB kepada salah seorang penerima (tiga dari kiri), sambil disaksikan oleh Zolkifly Md. Lazim (tujuh dari kiri) dan Nasoruddin Shah Mat (lima dari kiri) serta pemimpin koperasi lain di sini, Jumaat lepas. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWOTH - Permohonan untuk memajukan tanah wakaf sebagai hab perniagaan sementara umat Islam boleh dipertimbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan syarat tanah yang dimohon itu dikenal pasti terbiar atau tiada perancangan pembangunan rasmi.

Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Datuk Abdul Halim Hussein berkata demikian sebagai reaksi pada hasrat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) untuk menggandakan bilangan peniaga kecil berdaftar di negeri ini dengan menghidupkan tanah-tanah wakaf terbiar di negeri ini.

"Beritahu lokasi tanah wakaf dan ciri-ciri perniagaan yang mahu dimajukan, kalau tiada perancangan pembangunan, in sha Allah saya akan bawa ke mesyuarat majlis (MAINPP) untuk dipertimbangkan," kata Abdul Halim semasa menyampaian ucapan perasmian pada Majlis Penyampaian Pinjaman Mikro Kredit di sini, Jumaat lepas.

Wakil penganjur merangkap Penaung KPATSBB, Zolkifly Md. Lazim dan Nasoruddin Shah Mat (Pengerusi KPATSBB) turut berucap pada majlis rasmi koperasi, yang diadakan di Ropewalk Bagan tersebut.

Sebelum itu, Zolkifly memberitahu, MAINPP dialu-alukan berkongsi impian dengan KPATSBB, iaitu menambah bilangan peniaga Islam berdaftar sekali ganda menjadi 3,500 orang di negeri ini dalam tempoh setahun.

"KPATSBB boleh sewa Ropewalk Bagan daripada MPSP dengan kadar tertinggi (iaitu) RM36,000 setahun, saya yakin mereka mempunyai pengalaman dan kemampuan jika dipertimbang untuk urus tanah-tanah wakaf terbiar di negeri ini.

"Penganjuran Karnival Riang Ria adalah satu lagi pasukan yang boleh membantu menghidupkan tanah-tanah wakaf terbiar ini, kerana mereka sejak 13 tahun dahulu hingga hari ini terbukti berjaya dalam menganjurkan karnival-karnival niaga di sekitar Utara Semenanjung Malaysia," ujar Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, Zolkifly berkata pihaknya berhasrat untuk memajukan sebidang tanah wakaf dekat tapak komersial Wakaf Seetee Aishah, Seberang Jaya dan sebidang lagi tanah wakaf berhampiran Taman Pekaka dan Universiti Sains Malaysia (USM), Batu Uban.

Manakala, Nasoruddin pula berkongsi pengalaman mengenai kejayaan KPATSBB dalam menguruskan pinjaman mikro kredit hingga diiktiraf sebagai satu-satunya koperasi yang sifar hutang tak berbayar (NPL) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK).

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus