02 September 2014

Guan Eng gesa Putrajaya gandakan kempen P.Pinang selamat, bukan politikkan status PPS

LIM Guan Eng menyampai ucapan pada majlis jamuan malam amal anjuran Tokong Hang dekat Jalan Raja Uda di sini, malam tadi. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng menggesa Putrajaya supaya segera memberi jaminan keselamatan dengan menjejaki dalang serangan bom buatan sendiri jenis molotov cocktail di kediaman peribadi beliau  pada pagi selepas ambang Hari Kemerdekaan Ke-57 baru-baru ini, bukannya asyik tunduk pada permainan ahli politik tertentu negara dengan mempertikai aktiviti kesukarelawan Pasukan Peronda Keselamatan (PPS) di negeri berkenaan.

"Dulu, ada pihak sekadar cuba memburuk-burukkan nama baik saya sekeluarga, tetapi, sudah ada unsur nak bunuh saya pula sekarang.

"(Justeru,) polis perlu gandakan rondaan supaya Pulau Pinang selamat, serta keluarga saya pun kekal selamat daripada serangan berunsur pembunuhan ini," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada majlis jamuan amal dekat Jalan Raja Uda di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut hadir dalam majlis anjuran Tokong Hang, yang disertai lebih 3,000 tetamu.

Menurut Guan Eng, aktiviti kesukarelawan PPS akan di'rehat'kan serta-merta, sehinggalah mahkamah berbuat deklarasi mengenai kesahihan pertubuhan yang diwujudkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri berkenaan. 

"Walaupun mereka (Kerajaan Pusat) mempunyai kuasa besar, tetapi, kita (Kerajaan Negeri) tetap akan mempertahankan bidang kuasa yang kita ada habis-habisan," tegas Guan Eng, sambil menasihatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya tidak tunduk pada pemain politik Umno BN dari Putrajaya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Lanjutan itu,seramai 156 anggota PPS termasuk ketuanya merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh ditahan reman di IPD Polis Daerah Timur Laut sejurus selesai upacara perarakan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri pada 31 Ogos lepas, sebelum dibebaskan secara berperingkat pada hari berikutnya.

Guan Eng dalam reaksi spontan mengulangi ketegasan pendirian Kerajaan Negeri bahawa dakwaan Khalid itu adalah tidak logik memandangkan PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebagaimana penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini dan seluruh negara.

“Seperti JKKK, ia (PPS) ditubuhkan oleh di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

"Kalau PPS yang ditubuhkan di bawah kuasa Kerajaan Negeri dianggap tidak sah, maka JKKK di seluruh negara pun boleh dianggap tidak sah kerana ia (JKKK) ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan,” ujar Guan Eng pada satu sidang media berasingan baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian selepas menghadiri dwi perbicaraan kes ‘Umno Celaka’ di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. di sini. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus