Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Perbicaraan dua kes berkaitan isu 'Umno Celaka' di bawah Akta Hasutan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer di dua kamar berasingan Mahkamah Sesyen George Town pagi ini akhirnya ditetapkan pada 17 Oktober depan, dengan bon jaminan RM3,000 serta seorang penjamin.
Ketetapan itu, selepas pihak pembelaan yang diketuai Gobind Singh Deo mempersoal bon jaminan RM20,000 yang dikenakan ke atas anak guamannya, Rayer.
"Apakah peranan sebenar Mahkamah apabila Yang Arif membuat keputusan supaya anak guaman saya (Rayer) diikat jamin sampai RM20,000.
"Pada tarikh perbicaraan 16 Jun lalu, dia (Rayer) datang, saya pun datang (ke Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang)...hanya kertas tertuduh yang 'tak datang'," ujar Gobind, yang juga Ahli Parlimen Puchong, sambil menjelaskan kewibawaan anak guamannya itu.
Hakim YA Tuan Zulhazmi Abdullah membuat ketetapan itu bagi kes pertama, iaitu merujuk pada ucapan kontroversi Rayer dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang lalu.
Manakala, Hakim YA Zanariah Hussain pula membuat ketetapan bagi kes kedua, iaitu berhubung ceramah politik Rayer mengenai isu sama di Island Glades, Jelutong pada 22 Mei lepas.
Rayer di kedua-kedua kandang tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan secara adil.
Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media selepas itu, melahirkan rasa terkejut dengan tindakan tidak berperlembagaan yang dilakukan oleh pejabat Peguam Negara (AG) ke atas Rayer.
"Sangat terkejut bahawa Peguam Negara meneruskan cadangan asal mendakwa Yang Berhormat Rayer berhubung ucapannya dalam dewan (DUN Pulau Pinang), sungguhpun di bawah undang-undang, dia (Rayer) memiliki kekebalan.
"Saya rasa ini merupakan penghinaan pada demokrasi dan keunggulan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai institusi tertinggi dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia," ujar Guan Eng di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, pagi tadi.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menegaskan bahawa semua wakil rakyat dari DAP konsisten menyokong Rayer kerana parti masa depan itu senantiasa memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) turut hadir untuk memberi sokongan moral kepada Rayer.
Tiga wakil pembelaan lain, Ramkarpal Singh Deo, S. Ravintheran dan V. Parthiben turut hadir di sini.
Pendengaran kes Rayer ini sepatutnya dilangsungkan pada 16 Jun lepas, tetapi, kertas pendakwaan didakwa gagal disediakan secara lengkap oleh pejabat Peguam Negara pada hari tersebut.
Pun begitu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail sehari sebelum itu ada dilaporkan mengesahkan bahawa Rayer akan didakwa di Mahkmah Tinggi George Town.
Ketetapan bersejarah tersebut menggamit pelbagai reaksi di kalangan khalayak, antaranya, sebutan mana-mana wakil rakyat sama ada di dalam DUN atau Parlimen sepatutnya kebal dari pendakwaan di Mahkamah.
Bagaimanapun, Abdul Ghani tidak pula memberikan ulasan yang jelas mengenai status insiden sekumpulan penyokong Umno bertindak menceroboh DUN Pulau Pinang sambil menggambarkan Rayer menyebut 'Melayu Celaka'.
Walhal, Rayer nyata dan jelas menyebut bahawa penyokong serta pemimpin Umno yang menyemerakkan api perkauman di negeri ini sebagai 'Umno Celaka'.
Lantas, satu usul dipersetujui DUN Pulau Pinang pada hari kejadian, yang mengarahkan Polis serta pihak berkuasa berwajib mengambil tindakan tegas kepada pihak penceroboh terbabit.
Keesokan hari ini, satu lagi usul dipersetujui DUN Pulau Pinang, mengarahkan mereka dibicarakan di Mahkamah, serta menerima hukuman yang keras jika didapati bersalah.
Guan Eng dalam kenyataannya semasa ini turut mengsyorkan Pejabat Peguam Negera mengenakan hukuman keras, hatta, penjara seumur hidup.
Ini kerana, katanya, tindakan mereka menceroboh DUN Pulau Pinang boleh dianggap melawan Yang Di-Pertuan Negeri serta mencemar kemuliaan dewan, sebagaimana ditakrifkan daripada Perlembagaan Negeri.
Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negeri akhirnya membuka satu lagi kertas siasatan berhubung ceramah politik Rayer pada 22 Mei, dipercayai sebagai 'Pelan B' jika kes pertama gugur atas hujah ucapan Rayer dilangsungkan dalam DUN Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment