Kelantan rayu Pusat bina tembok keselamatan, cegah jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand

PIHAK Berkuasa Negeri merayu kepada pentadbiran Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim supaya mengkaji syor projek pembinaan tembok keselamatan di beberapa laluan masuk negara Malaysia - Thailand bagi menangani jenayah rentas sempadan.

Syor itu menyentuh soal kewangan dan keselamatan yang berada dalam Senarai Persekutuan, kalau dirujuk dalam Perlembagaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar atas) berkata negeri yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu diiktiraf sebagai negeri kedua paling selamat selepas Sabah, dengan nisbah hanya 96 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk.

“Statistik terkini bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 mencatatkan penurunan ketara sebanyak 14.3 peratus dalam kadar Jenayah Indeks di Kelantan, berkurangan daripada 1,129 kes kepada 967 kes.”

“Penurunan signifikan sebanyak 162 kes ini mencerminkan keberkesanan dasar dan pendekatan bersepadu yang digerakkan oleh pentadbiran negeri serta komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya dipetik dari Facebook peribadi.


Kata Mohamed Fadzli, laporan statistik indeks jenayah terbaru itu sekali gus membuktikan keberkesanan pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran sosial dan jenayah, sekali gus menjadikan Kelantan contoh unggul negeri yang mengutamakan keselamatan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau secara tak langsung seakan turut memberi respons pada isu anasir dadah dan pesta gay yang dilaporkan berlaku di Kelantan baru-baru ini.

“Walau dihimpit oleh arus persepsi negatif yang berulang kali dilempar ke atas negeri ini tanpa pertimbangan yang adil, perkembangan positif seperti ini wajar lebih diketengahkan untuk memberikan gambaran sebenar tentang kemajuan dan usaha berterusan di Kelantan.

“Pencapaian ini adalah bukti kukuh bahawa dasar pentadbiran berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam serta sinergi erat antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa dan masyarakat telah membuahkan hasil yang signifikan,” jelasnya lagi dalam nada sederhana.

Baca :

Malaysia perlu badan penguatkuasa baharu khusus tangani najis dadah

Comments