Malaysia perlu badan penguatkuasa baharu khusus tangani najis dadah

GAMBAR kenang-kenangan penulis sedang menulis berita semasa berlangsungnya Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 pada 26 November 2024 di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.   


BELAKANGAN ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dilaporkan agresif dalam membanteras isu dadah di Kelantan.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau sendiri akan memberi sokongan kuat kepada Bukit Aman khususnya JSJN, susulan kejayaan pasukan berkenaan dalam melumpuhkan beberapa sindiket dadah di negeri itu baru-baru ini.

Tidak ada sekelumit pun kenyataan berbaur politik dibuat oleh Saifuddin dengan memperkecil Pihak Berkuasa Negeri Kelantan ataupun parti pemerintah negeri dalam usaha amar ma’ruf nahi mungkar di negeri jolokan ‘Serambi Makkah’ itu.

Di MedSos, ramai memuji iltizam politik Saifuddin sampai ada yang menganggap bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah menteri paling menonjol, dalam menyemarak agenda reformasi sebagaimana digagaskan oleh Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim.

Bagi saya memang padan pun Saifuddin dipuji. Kalau Perlembagaan dirujuk, perkara berkaitan keselamatan adalah di bawah Senarai Persekutuan.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), memang ada banyak lagi agensi penguatkuasaan berkaitan di bawah KDN dan beberapa kementerian pusat.

Apabila Saifuddin dilihat agresif dalam menangani isu dadah di negeri Kelantan, tindak-tanduk sedemikian memperlihat dirinya relevan sebagai menteri kerana tahu apa tanggungjawab Pusat bagi isu dadah yang terjadi di negeri itu.

Kata seorang kawan di Pejabat SUK Kelantan menerusi telefon sebentar tadi, sepatutnya pemimpin Umno Kelantan wajar menampilkan ‘politik matang’ macam dilihat pada susuk Saifuddin ketika ini.

“Bagus lah PDRM mengambil langkah proaktif membanteras pesta gay di Kelantan, yang tak molek ada pemimpin Umno negeri menuding jari ke Kerajaan Negeri seolah-olah pemimpin PAS (Parti Islam Se-Malaysia) tidak komited melakukan amar ma’ruf nahi mungkar yang dituntut dalam Al-Quran dan Hadith,” jelasnya dalam nada sederhana.

Walaupun tidak disebut nama pemimpin berkenaan, saya agak mungkin merujuk kepada laporan berita ‘Memalukan ada pesta gay di negeri Serambi Makkah.

“Letak apa sahaja slogan berbunyi Islamik pun kalau kerajaan negeri masih ada mentaliti jumud ‘orang semua salah, aku sahaja betul’ maknanya negeri Kelantan akan kekal di takuk lama dengan berlaku ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan spiritual rakyatnya,” kata Ketua Umno Bahagian Pasir Mas Noor Hariri Mohamed Noor.

Pemimpin muda pembangkang Kelantan berkenan berkata demikian dengan merujuk pada laporan Bernama hari ini yang mana polis sendiri mengesahkan serbuan terhadap program gay melibatkan lebih 20 lelaki di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lepas.

Seperkara yang saya setuju adalah syor Noor Hariri supaya sekalian wakil rakyat Kelantan mengambil langkah proaktif dengan memberi sokongan pada usaha PDRM Kelantan dalam jihad memerangi najis dadah dan tabiat hubungan songsang.

Pun begitu, jauh dalam diri saya memberitahu bahawa kerja hakiki sekalian wakil rakyat terutamanya Ahli Parlimen adalah mengadakan polisi fiskal yang relevan bagi menangani isu malar segar tersebut.

Ahli politik parti termasuk pembangkang pun mungkin boleh mempertimbang cadangan yang pernah saya contohi di Facebook peribadi pada tanggal 21 Mei 2025 lepas.

Saya rasa posting lama itu masih relevan untuk dikongsi di sini.

Selain ceramah ‘tin kosong’, ada macam-macam cara lagi untuk ejen parti politik pemerintah boleh buat untuk merelevenkan perjuangan parti dengan citarasa rakyat teramai.

Antara yang boleh diadakan adalah mewujudkan sebuah padan penguatkuasaan khusus untuk memerangi anasir penyalahgunaan dadah sehingga ke peringkat akar umbi.

Dah ada institusi kepolisan dalam negara, di Amerika Syarikat juga ada badan penguatkuasaan khusus Drug Enforcement Administration (DEA); di Republik Rakyat Indonesia ada Badan Narkotika Nasional (BNN); di Republik Rakyat Singapura ada Central Narcotics Bureau (CNB).

Setelah ada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, bayangkan kalau dalam konteks Malaysia ada institusi penguatkuasaan khusus yang bersifat selari (paraller) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia ada.

Setelah ada PDRM, kemudian ditubuh badan penguatkuasaan lain secara ‘paraller’ seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Apa faedahnya penubuhan institusi penguatkuasaan khusus untuk menangani gejala penyalahgunaan dadah?

• Sistem penguatkuasaan lebih bersepadu, meluas dan objektif

• Mengurangkan skop kerja anggota PDRM dll yang telah sedia menekan sehingga terpaksa ‘merekrut’ anggota RELA dll

• Secara ekonomi, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan skim gaji menarik dalam sektor perkhidmatan awam

• Permintaan tenaga buruh berkualiti yang kian menekan dalam sektor awam akan menarik atau menyebabkan pemindahan sumber tenaga manusia dari sektor kerjaya kurang berkualiti (contoh, graduan universiti sebagai penunggang grabfood boleh jadi pegawai forensik dalam institusi baharu yang Kerajaan Pusat tubuh).

• Menyerap tenaga buruh berkemahiran ke sektor lebih produktif

• Perbelanjaan lebih (defisit spending) Kerajaan Pusat - dengan menyediakan infrastruktur dan penggajian penjawat awam bagi sektor baharu ini - bagi sektor awam akan meningkatkan jumlah simpanan duit bersih (net savings) yang sangat diperlukan oleh sektor swasta. “Perbelanjaan A adalah Pendapatan B”

Ini contoh.


PRU16 ini, saya memang nak tengok Umno kembali mendominasi lanskap politik di peringkat Persekutuan.

Salah satu cara untuk merelevankan perjuangan parti konservatif Melayu ini dengan citarasa rakyat teramai - termasuk Cina, India, Sikh, Siam dll - adalah dengan mengadakan polisi fiskal bagi menangani isu najis dadah hingga ke peringkat akar umbi.

Atas tajuk mendesak Kerajaan Pusat mengetepikan 'dasar ekonomi ikat perut' (austerity policy) dengan menubuhkan satu badan penguatkuasa baharu khusus bagi tangani najis dadah, mungkin membolehkan Umno mengajak sekalian pemimpin Melayu dari parti politik pelbagai untuk duduk semeja dan saling bekerjasama.

Kalau bermanfaat, elok dikongsi dan dibincangkan segera bagi membanteras najis dadah hingga peringkat akar umbi.

Comments