GAMBAR kenang-kenangan penulis di pintu masuk utama Masjid Raya Baiturrahman, Acheh, Republik Rakyat Indonesia menjelang tengah hari ini (12 Julai 2025).
MASJID Raya Baiturrahman yang berdiri gagah menjadi mercu tanda kebudayaan beragama Islam dalam kalangan Melayu peranakan Acheh di bandar raya jolokan Serambi Makkah itu.
Subuh seawal 5.04 pagi. Seusai menunaikan kewajiban sebagai mukallaf, sementara menunggu kawan datang menjemput di lobi Hotel Amel, saya membelek lembaran surat cinta daripada Tuhan.
Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan Whatsaap daripada Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor bin Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang.
Seperkara saya suka dengan beliau adalah semangatnya untuk memahami naratif ekonomi yang meliputi polisi fiskal dan monetari negara, selain menghambat macam-macam isu politik kepartian.
Pada pagi tadi, saya ditanya mengenai laporan terbaru di portal Malaysiakini - Rafizi: Malaysia negara miskin, perlu duit asing.
Mantan Menteri Ekonomi yang tewas jawatan Timbalan Presiden PKR dalam Pemilihan 2025 baru-baru ini antara lain dilaporkan berkata:
"Ini cerita-cerita pasaran, kalau orang luar tanya apa pasaran-pasaran... Sibuk sangat pasal pasaran, eh Malaysia ni negara miskinlah tak ada duit.
"Kita perlukan duit asing, duit asing itulah yang masuk ke dalam pasaran kita ada dibeli bon, itu membolehkan syarikat-syarikat kita berhutang pada kadar yang rendah, ataupun dia beli ekuiti.
"Maksudnya dia beli saham semua ni kan, daripada duit yang datang itu lah dia menjadi suntikan modal kepada syarikat kita untuk berkembang dan masuk sektor ekonomi yang baru lah," katanya.
OPERASI JUAL BELI BON KERAJAAN, BON KORPORAT SWASTA TAK SAMA
Bon korporat biasanya memang diterbitkan oleh syarikat-syarikat swasta melalui penawaran awam permulaan (IPO) bagi mengumpulkan dana pelaburan.
Zainulfaqar Consortium umpamanya, syarikat swasta itu akan menjual saham syarikatnya buat kali pertama untuk mengumpulkan dana pelaburan, yang mana kalau pelabur asing membeli saham berkaitan pun mesti dalam dedominasi Ringgit kerana rangka kerja operasi Bank Pusat memang melaksana dasar kawalan modal agak ketat.
Tidak sama seperti bon korporat, bon kerajaan diterbitkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) menerusi Bahagian Perbendaharaan Malaysia (Treasury).
Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) adalah antara ‘tabung kerajaan sendiri’ atau depositor guaranteed yang membeli bon kerajaan.
Ada dua lagi depositor guaranteed lain sebenarnya, iaitu Pemodalan Nasional Berhad termasuk ASB dan ASN sebagai sebagai penyokong instrumen pulangan pendapatan tetap dengan jaminan kerajaan segara tak langsung; dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang diberi mandat melalui pasaran kedua bagi kawal selia kadar faedah antara bank berdasarkan kadar dasar semalaman (OPR).
Iya! Kerajaan Persekutuan melalui BNM memang merupakan pihak yang membeli bon Kerajaan baik dalam pasaran utama ataupun sekunder.
Syeksyen 28(1)(a) Akta Bank Negara Malaysia 2009 menyatakan bahawa BNM adalah pembeli dan pemegang sekuriti Kerajaan;
“membeli, menjual atau memegang, di pasaran wang atau modal, sekuriti Kerajaan atau mana-mana sekuriti yang diluluskan oleh Bank.”
Tidak seperti ‘ditemberang’ dalam podcast terbaru Yang Berhenti Menteri - Rafizi, Seksyen 75 & 76 Akta Bank Negara Malaysia 2009, serta beberapa bahagian lain membenarkan BNM untuk bertindak sebagai ejen kepada Kerajaan Persekutuan bagi:
• Mengurus penjualan dan pembayaran balik bon kerajaan
• Mengurus bidaan bon kerajaan (contoh: tender untuk MGS – Malaysian Government Securities)
Oleh kerana, GLC/GLIC ada juga menerbitkan ‘bon korporat’ atau Islamik bon (sukuk) dengan jaminan kerajaan, lalu dibeli oleh depositor guaranteed, maka disebut lah liability contingency bagi Kerajaan Pusat juga.
Contohnya, pasca deflasi 2009, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri Ke-6 Malaysia) melalui GLC DanaInfra Nasional Berhad menerbitkan ‘bon korporat’ RM8 bilion untuk pembinaan projek MRT1, kaedah pembayaran secara off-balance sheet financing itu direkodkan sebagai liability contingency sebab hampir dijamin oleh Kerajaan Persekutuan juga.
JENIS BON KERAJAAN
Ya! MSG merupakan salah satu jenis bon yang kerajaan terbit.
Umumnya, bon kerajaan ini ada dua jenis sahaja. Pertama, terbitan sekuriti kerajaan Malaysia iaitu merujuk pada MGS dan MGS II.
MGS iaitu Malaysian Governmeny Securities adalah bon konvensional yang mana Treasury akan bayar faedah secara tetap kepada depositor guaranteed apabila satu-satu bon telah matang.
MSG II atau Malaysian Government Investment Issue pula adalah sukuk patuh syariah atau disebut juga sebagai bon Islamik yang mana pulangan untung berdasarkan struktur ijarah atau murabahah.
Jenis bon kerajaan yang kedua adalah Bon Runcit. Contoh, Bon Simpanan Malaysia-i (BSM-i) iaitu bon patuh syariah untuk orang awam (runcit) yang kebiasaannya bertempoh matang tiga tahun. Satu lagi contoh, Bon Simpanan Nasional yang mana Kerajaan Persekutuan kadang-kadang sahaja terbitkan untuk menggalakkan rakyat menyimpan duit.
Dari segi tempoh matang bon kerajaan pun berbeza. Tempoh matang MSG ada untuk jangka masa pendek adalah selama tiga tahun, jangka masa sederhana (5 tahun atau 7 tahun) dan jangka masa panjang (10 tahun, 15 tahun hingga 30 tahun).
Berapa tahun pun tempoh matang MSG ini, paling penting bon kerajaan diterbitkan oleh Treasury dan dijamin oleh Kerajaan Persekutan dengan pembayaran kupon (faedah) setiap enam bulan dan tiada risiko gagal baya balik (default) kerana dijamin Kerajaan.
Dalam buku teks ekonomi arus perdana hanya menjelaskan bon secara umum, sampai segelintir kita mengandaikan bon kerajaan dan swasta sama sahaja dari sudut penerbitan yang konon-konon sangat bergantung pada pelabur asing.
APA AKAN BERLAKU APABILA BON KERAJAAN MATANG?
• Lambakan rizab yang terjadi akan mengakibatkan kadar faedah jatuh ke lantai sifar, jika tiada campur tangan BNM untuk melaksanakan polisi monetari seperti interest rate targetting.
• Ini kerana, bank pusat ada mandat untuk mengawal inflasi, menstabilkan teras ekonomi negara dan mengurus kecairan dalam institusi kewangan negara iaitu (bank-bank perdagangan).
• Langkah penerbitan bon kerajaan oleh Treasury dari semasa ke semasa, membolehkan bank pusat merosotkan lambakan rizab yang terjadi apabila bon capai tempoh matang.
• Justeru, apabila satu-satu bon menemukan tempoh matang, Treasury membuat bayaran kupon faedah sahaja kepada semua pemegang bon kerajaan (iaitu depositor guaranteed).
• Treasury tak pernah membayar pun jumlah asal pinjaman (nominal) kepada pemegang bon, seperti dinaratifkan oleh ekonomis arus perdana dan rejim parti pemerintah hari ini.
• Bon kerajaan matang membawa pada hutang lama akan diganti dengan hutang yang baru (debt bollover); Kerajaan Pusat tak payah bayar hutang atau pinjaman pokok (prinsipal) seperti dinaratifkan oleh ekonomis arus perdana dan rejim parti pemerintah hari ini.
• Faham bagaimana Treasury dan BNM melaksanakan operasi debt bollover, akan kita faham bahawa selama ini naratif berkaitan hutang negara mencecah lebih RM1 trilion adalah ‘merapu’, temberang serta menentang realiti ekonomi dan operasi monetari yang berdasarkan Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Baca rencana berkaitan:
Ruang fiskal berdasarkan realiti ekonomi, bukan lagi angka kewangan
CONTOH TAHYUL EKONOMI ARUS PERDANA BERKAITAN DI MALAYSIA HARI INI
Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Ke-10 (PMx) Malaysia sejak 24 November 2022, dan mengangkat sumpah sumpah sebagai Menteri Kewangan pada 3 Disember 2022.
Pada 30 Mac 2023, di portal rasmi Kementerian Kewangan (MOF) antara lain disiarkan laporan berita Hutang kerajaan persekutuan dijangka selesai sepenuhnya pada 2053 – MOF.
Menurut sumber, Kerajaan Persekutuan dijangka dapat menyelesaikan hutangnya pada tahun 2053 dengan mengambil kira tiada sebarang pinjaman baharu dibuat bagi tujuan pembiayaan defisit dan membiayai semula hutang yang matang mulai 2024, kata MOF kepada Bernama.
Menurut kementerian itu, hutang kerajaan Persekutuan sehingga akhir 2022, adalah berjumlah RM1,079.6 bilion atau 60.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Daripada jumlah itu, hutang dalam negeri adalah sebanyak RM1,050.1 bilion, manakala pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.5 bilion.
Sekiranya mengambil kira pendedahan kerajaan kepada liabiliti lain, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2022 adalah sebanyak RM1.45 trilion atau 80.9 peratus daripada KDNK.
Jumlah tersebut meliputi hutang kerajaan Persekutuan (RM1,079.6 bilion), komitmen jaminan (RM205.9 bilion), 1MDB (RM18.2 bilion) dan liabiliti lain (RM142.2 bilion).
Berbalik pada naratif terbaru rejim ekonomi neoliberal yang berjudul Rafizi: Malaysia negara miskin, perlu duit asing, biarlah dia dan Anwar saling membakar diri sampai rentung.
Ahli politik yang tidak sedar diri dan tak pernah sedar macam mana operasi monetari dan perbelanjaan fiskal berlaku di Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, memang tidak ada ‘ubat’.
Paling kurang, panas terbakar dan rentung dalam naratif baharu ekonomi rakyat (seperti yang telah saya jelaskan), moga-moga dapat dijadikan ketul arang bara untuk kebangkitan rakyat teramai menolak mereka pada PRU16 akan datang.
Itu doa saya sambil beriktikaf di Masjid Raya Baiturrahman, Acheh Indonesia di sini tadi.
Amin. Ya Allah, Ya Qawiyy, Ya Razzaq!
Comments
Post a Comment