![]() |
GAMBAR lama penulis di Dongdaemun Design Plaza, Seoul, Korea Selatan pada 20 Januari 2025 lepas. |
PERTENGAHAN bulan Januari lepas, telah saya terbang ke negara Korea Selatan. Pada bulan Februari lepas, saya sempat seharian melancong ke Republik Rakyat Singapura. Pada penghujung bulan April lepas, saya menunggang motosikal merentasi beberapa wilayah di Selatan Thailand, paling jauh sampai ke Trang dengan kapcai sahaja. Dan terdekat, pada 11 hingga 15 Mei ini, jika tiada aral melintang akan saya terbang ke Acheh, Republik Rakyat Indonesia.
Sepanjang tahun 2025 ini, saya memang menyasar untuk melancong sekurang-kurangnya ke lima negara, termasuk ke ‘negara jauh’ yang mana belum pernah saya menjejak kaki. Jika umur panjang dan murah rezeki, hujung tahun ini akan terbang ke negara jolokan ‘matahari terbit’. Iya, Jepun!
Kata seorang kawan lama dalam dunia kewartawanan pada petang ini, nak terbang merata negara memang memerlukan duit yang banyak. Saya iya kan sahaja dengan menyebut, “kalau ada duit banyak, boleh mendapatkan macam-macam pakej pelancongan yang tidak juga murah.”
Saya tidak kaya. Kalau tak kaih pagi makan pagi, kaih petang makan petang pun, dengan kos sara hidup yang kian meningkat, memaksa saya sendiri untuk mengikat perut ataupun menambahkan pendapatan sampingan. “Nak jimat, melanconglah secara D.I.Y,” balas saya kepada kawan tadi.
Macam mana saya menghadapi kekangan kewangan sungguhpun ada banyak perkara saya impi - contohnya sasaran melancong lima negara sepanjang tahun 2025 - kata kawan, Kerajaan Persekutuan hari ini pun sebenarnya ada kekangan kewangan. “Kalau hang ada ruang yang terbatas untuk berbelanja dan meningkatkan pendapatan, pentadbiran Perdana Menteri Y.A.B Datuk Seri Anwar Ibrahim pun ada fiscal space juga.
Kerana saya mengejar waktu dan ada janji temu dengan seorang client di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town pada 12.00 tengah hari tadi, saya memberitahunya, “kalau saya baca buku teks ekonomi arus perdana sahaja, akan saya menerima pendapat kamu itu.”
NARATIF EKONOMI DALAM BUKU TEKS
Pernah diberitahu kepada saya bahawa buku teks ekonomi arus perdana seringkali memberikan naratif sebegini apabila menyentuh soal fiscal space ataupun ruang fiskal.
“Keupayaan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan ataupun mengurangkan cukai tanpa menjejaskan kestabilan fiskal untuk jangka masa panjang….”
Bermuarakan pada naratif sebegini, lahirnya beberapa rantaian pemikiran seperti di bawah;
• Ruang fiskal ini perlu untuk dimanfaatkan semasa krisis ekonomi. Contoh, semasa negara dilanda COVID-19 yang membawa pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Persekutuan boleh berbelanja tinggi untuk rakyat konon-konon kerana ada lebihan pendapatan sungguhpun hasil cukai yang dikutip berkurangan.
• Konon-konon nisbah hutang sebenar (abselute debt) Kerajaan Persekutuan adalah rendah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah memberi lebih ruang fiskal untuk Kerajaan Persekutuan berbelanja lebih (deficit spending)
• Keseimbangan antara perbelanjaan dan kestabilan - menerusi penyediaan perkhidmatan awam yang baik dan program sokongan sosial buat rakyat, akan memperkukuh keyakinan pelabur.
• Defisit fiskal secara berperingkat yang mula dilaksnakan sejak belanjawan tahunan negara 2019 hingga kini dijadikan sebagai petunjuk ekonomi. Sebanyak mana defisit fiskal yang dapat dikurangkan, sebanyak itu lah ruang defisit fiskal yang Kerajaan Persekutuan konon-konon mampu berbelanja dalam ekonomi.
Di bawah rantaian pemikiran di atas ini lah, fiscal space dinaratifkan sebagai;
“Fiscal space is not just about how much a government can borrow, but about how much it can spend responsibly without endangering macroeconomic stability.”
“Ruang fiskal bukan sekadar berapa banyak kerajaan boleh meminjam, tetapi sejauh mana ia boleh berbelanja secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan kestabilan makroekonomi.”
KERAGUAN SAYA
Sejujurnya saya ada beberapa keraguan di sebalik naratif fiscal space atau ruang fiskal yang seringkali ada dalam buku teks arus perdana.
Keraguan pada naratif arus perdana ini bertambah kuat, apabila saya berkesempatan mengikuti siri-siri wacana bersama-sama beberapa pendiri Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat atau singkatannya KADER.
Pertama,
Naratif ekonomi arus perdana menyebut, “ruang fiskal untuk kerajaan adalah meminjam dan hasil cukai sahaja.”
Dalam konteks Malaysia, saya bertanya, bukankah Kerajaan Persekutuan sendiri adalah pihak tunggal yang memonopoli pengeluaran Ringgit?
Jawapannya, Ya!
Rujuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Jadual Kesembilan (Senarai Pertama - Senarai Persekutuan), Butiran 7(a): “pengeluaran mata wang dan penetapan kadar tukaran mata wang.”
Kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) diberi mandat untuk mengeluarkan Ringgit dan mengawal pengeluaran mata wang negara, jika dirujuk pada Akta Bank Negara 2009 dan Akta Mata Wang 2020 (menggantikan Akta Mata Wang 1967).
Gambarannya di sini, kalau Kerajaan Persekutuan Malaysia sendiri mengeluarkan Ringgit yang tidak kehabisan mata wang berdaulat negara ini, maka sepatutnya hampir tidak perlu lah ‘ruang fiskal’ dalam belanjawan tahunannya.
Sesungguhnya perbelanjaan fiskal akan wujud berdasarkan program fiskal apa yang Kerajaan Persekutuan sendiri nak buat.
Katakanlah Anwar nak melihat Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak dan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) akan menjana lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) kepada negara, maka Menteri Kewangan itu sendiri mahu kos projek WCP 2030 bernilai RM2.099 bilion dibiayai oleh Kerajaan Pusat, maka peruntukan tersebut akan wujud.
Perlembagaan Persekuan meletakkan Kewangan di bawah Senarai Persekutuan, tetapi pentadbiran Anwar seakan mengabaikan peranan ini, akhirnya terpaksalah Kerajaan Pulau Pinang sendiri berusaha melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerbitkan sukuk sehingga RM5 bilion termasuk untik membiayai WCP 2030.
Sepatutnya dalam konteks Malaysia, ruang fiskal (fiscal space) bukan isu kewangan, tetapi merujuk kepada isu kapasiti sebenar yang diperlukan pada hari ini dan masa hadapan, sama ada cukup atau dibazirkan.
Contohnya, nak buat WCP 2030, tiga-tiba sumber sebenar ekonomi (real resources) seperti teknologi, jentera, tenaga buruh, tanah tak cukup - maka waktu itu baru boleh dikatakan ‘ruang fiskal’ yang terhad jika tidak dapat ditangani pada waktu ia diperlukan.
Kedua,
Naratif ekonomi arus perdana selalu menyebut, “defisit fiskal yang terlalu tinggi berbahaya, memberi risiko pada Kerajaan Persekutuan untuk bankrap; beban hutang yang dijana hari ini dan generasi terdahulu akan diwariskan kepada generasi akan datang; serta menjejaskan keyakinan pelabur.”
Sebenarnya, deficit spending bukan buruk dalam semua keadaan ekonomi. Malah, Kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih ketika ekonomi negara dalam keadaan terlalu lemah bagi meningkatkan daya hidup ekonomi rakyat serta menjana permintaan dalam ekonomi negara.
Contohnya, Perdana Menteri Ke-8 Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan empat pakej ransangan pasca COVID-19 bernilai RM305 bilion, susulan BNM telah membuat semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada waktu itu.
Dilaporkan, Bank Pusat telah menyemak unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun 2020 kepada -5.5 hingga -3.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelumnya, dengan andaian awal berdasarkan kepada tempoh sekatan pergerakan hanya selama empat minggu dan bukannya tujuh minggu.
Hasil unjuran pertumbuhan KDNK yang disemak semula, Bank Pusat berpendapat ekonomi negara dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021.
Dalam keadaan macam-macam program sokongan kerajaan untuk meningkatkan daya hidup rakyat, masih terdapat banyak kes bunuh diri dan kes kesihatan mental direkodkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bayangkan jika tiada langsung perbelanjaan defisit dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pada waktu itu.
Rujuk Perlembagaan Persekutuan, Akta Bank Negara Malaysia 2009, Seksyen 71 - Pembiayaan Sementara Kepada Kerajaan Persekutuan.
BNM diberi mandat untuk menyalurkan pembiayaan sementara kepada Kerajaan Persekutuan dengan had tidak melebihi 12.5 peratus daripada KDNK tahun sebelumnya.
Gambarannya di sini, perundangan dalam Malaysia sendiri secara nyata menyanggah naratif yang ada dalam buku teks arus perdana, iaitu kerajaan ada ruang fiskal untuk berbelanja lebih dalam Ringgit mengikut keperluan sebenar ekonomi rakyat.
Ketiga,
Naratif ekonomi arus perdana seringkali menggambarkan, “kekangan perbelanjaan sesebuah kerajaan adalah sama dengan kekangan berbelanja rumah tangga rakyat.”
Realitinya, saya yang duduk dalam sektor isi rumah memang ada kekangan berbelanja. Kalau nak berbelanja lebih berbanding gaji yang saya dapat pada satu-satu bulan itu, sama ada saya perlu pecah tabung atau mengeluarkan simpanan tetap di Maybank (baca: contoh bank perdagangan) atau Tabung Haji (baca: institusi kewangan bukan bank, IKBK); ataupun membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank atau ibu ayah saya sendiri.
Macam kekangan berbelajan yang saya jelaskan di atas, syarikat-syarikat bukan kerajaan pun ada kekangan sama ada berbelanja lebih dari simpanan modal syarikat ataupun membuat pinjaman baharu dari mana-mana bank perdagangan.
Tidak seperti rakyat kebanyakan ataupun syarikat swasta yang ada kekangan kewangan, Kerajaan Persekutuan Malaysia sebenarnya tidak mempunyai kekangan fiskal pun asalkan perbelanjaan dalam dedominasi Ringgit.
Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (Local Government) sahaja ada kekangan berbelanja defisit sama seperti saya ataupun syarikat swasta.
PBAPP berhasrat menerbitkan sukuk (Islamic Bond) sebesar RM5 bilion baru-baru ini adalah contoh relevan untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini memang ada kekangan kewangan untuk membiayai pelaburan modal bagi projek WCP 2030 (RM2.099 bilion); tidak sama dengan Kerajaan Pusat yang hampir tidak ada kekangan kewangan pun selagi berbelanja dalam Ringgit.
Dah Kerajaan Persekutuan sendiri adalah pihak tunggal yang memonopoli pengeluaran Ringgit, takkan lah Malaysia boleh bankrap macam Greece atas sebab 97% hutang sebenar Kerajaan dalam didominasi Ringgit? Jawapannya, tidak!
Greece memang berbelanja defisit dalam sekala yang besar sebelum tahun 2008, dan hampir bankrap pada tahun 2010. Tapi, kena tahu Greece bersama-sama semua negara anggota Eurozone tidak memonopoli pengeluaran mata wang berdaulat negara.
Di bawah sistem ‘One Market, One Currency’, semua negara anggota Eurozone telah menyerahkan kuasa monopoli pengeluaran mata wang Euro kepada Bank Pusat Eropah (ECB).
ECB telah menjadi supra-organization iaitu sebuah organisasi yang berada di atas atau mengatasi negara-negara atau organisasi lain dari segi kuasa, struktur, atau fungsi.
Akibatnya, apabila Greece menerbitkan bon Kerajaan, dan Jerman yang selama ini membeli bon itu enggan berbuka demikian, maka meletakkan Greece sebagai negara yang bankrap kerana hasil negaranya tidak mampu membiayai perbelanjaan defisit negara.
Malaysia duduk dalam sistem ‘One Nation, One Currency’ yang mana Kerajaan Persekutuannya memonopoli pengeluaran Ringgit; dan tak sama dengan Greece.
Dari aspek perundangan pula, dah Kerajaan Persekutuan sendiri yang membuat segala akta di Parlimen Malaysia - termasuk Akta Bank Negara Malaysia 2009 - takkan lah digubal atau dipinda undang-undang negara sampai membolehkan membankrapkan negara atas apa jua sebab termasuk hutang sebenar negara melebihi 100% berbanding KDNK?
Bank Dunia pernah melaporkan perbelanjaan nasional kasar (GNE) Malaysia pada angka 108.7% berbanding KDNK 1982, iaitu rekod perbelanjaan tertinggi negara sejak tahun 1960. Angka perbelanjaan yang direkodkan pada tahun itu adalah merangkumi perbelanjaan pengguna, perbelanjaan kerajaan dan pelaburan.
Pada tahun 1991 pun, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri Ke-4 Malaysia pun, GNE negara pernah 103.66% KDNK. Mengapa Malaysia tak pernah bankrap?
Kata kawan saya dalam KADER, Akta Bank Negara Malaysia 2025 digubal sama seperti sebuah kapal selam yang boleh muncul di permukaan laut dan menenggelamkan diri dalam perut laut, maka tidak ada istilah karam atau tenggelam seperti kapal layar biasa yang bocor (dengan merujuk orang perseorangan ataupun firma swasta ataupun bank perdagangan yang boleh bankrap).
SARANAN SAYA
Secara peribadi, telah saya jelaskan naratif ekonomi arus perdana berkaitan tajuk fiscal space atau ruang fiskal.
Naratif arus perdana ini terus menerus seakan dikayuh oleh ejen parti pemerintah ataupun ekonomis arus perdana, mungkin kerana dianggap tidak salah menurut naratif yang ada dalam buku teks ekonomi sejak peringkat sekolah.
Dah jelas naratif lama ini bercanggah dengan realiti perundangan dan dapat dijejak dalam rekod kewangan Kerajaan Malaysia hari ini sendiri, jalan sederhana yang boleh dicadangkan dan dibuat antaranya mengubah fahaman kita mengenai fiscal space.
Memang memerlukan reframing pada naratif ruang fiskal ini, yang mana kalau boleh ingin saya mencadangkan “ruang fiskal ditentukan berdasarkan ekonomi sebenar, bukan angka kewangan.”
Contoh 1:
Di kebanyakan balai polis lama memang ada kuarters yang dah tak berpenghuni atas sebab tiada penyelenggaraan berwajib. Rekabentuk unit kediaman dengan had 2 bilik dan sempit, memang tak sesuai untuk pasangan berkelamin. Selagi tiada program fiskal sepert projek runtuh bina baharu kuarters polis ini, pembaziran sumber sebenar berlaku. Projek Kota Madani - rumah mampu sewa selesa RM300 sebulan kepada anggota polis - bukan sahaja akan menjana pertumbuhan KDNK, malah sekali gus membantu mereka berkenaan menangani peningkatan kos sara hidup. Ruang fiskal yang Kerajaan Pusat lihat berdasarkan ekonomi sebenar (baca: pembaziran aset walhal diperlukan anggota PDRM), bukan lagi angka kewangan.
Contoh 2:
Lambakan pesakit di hospital dan klinik kerajaan kian menekan. Kadar penggunaan katil (BOR) di Hospital Serdang, Selangor pada tahun 2018 pernah mencecah 100%; sementara 125% kapasiti di Wad Psikatri Lelaki, Hospitao Kuala Lumpur.
Pada tahun 2024, direkodkan, penggunaan kebanyakan hospital kerajaan untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) mencecah 84% (1,570 katil).
Pada tahun 2023 menyaksikan nisbah doktor berbanding penduduk Malaysia ialah 1:412. Pada Jun 2024, direkodkan, Klinik Sementara Bandar Tasek Mutiara dekat Pulau Pinang menerima kira-kira 800 orang pesakit dengan 1:92 doktor berbanding pesakit lokal.
Pada 2 Mei 2025, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata menjelang tahun 2030 negara akan berdepan masalah kekurangan jururawat yang diunjurkan kira-kira 60%.
Ruang hospital kerajaan terhad, ditambah dengan isu kekurangan petugas kesihatan awam, menyaksikan hampir enam jam purata tempoh menunggu Bahagian Kecemasan, Hospital Bukit Mertajam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad belakangan ini.
Itu, belum mengambil kira isu mogok doktor kontrak yang melibatkan 10,000 hingga 13,000 orang petugas kesihatan awam.
Luas lantai hospital dan klinik kerajaan yang tak bertambah mengikut peningkatan populasi penduduk lokal semasa; kekurangan doktor, jururawat terlatih dan petugas kesihatan awam lain; lambakan pesaki, katil tak cukup termasuk di ICU dan wad tertentu adalah isu contoh isu sebenar ekonomi (real economy).
Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melihat semua isu malar segar ini sebagai ruang fiskal’ yang perlu ditangani segera, bukan lagi obses melihat pada angka kewangan dan hutang sebenar negara yang 97% dalam dedominasi Ringgit.
Contoh 3:
15 penuntut UPSI maut sementara 33 lain luka dalam kejadian bas mereka naik bertembung dengan MPV Produa Alza di KM53 Jalan Timur-Barat, Grik, Perak pada awal pagi 9 Jun 2025 patut dilihat juga sebagai isu sebenar ekonomi.
Tidak cukup, pihak Kerajaan Pusat memperbaiki infrastruktur jalan. Perlu juga diwujudkan badan penguatkuasa baharu - yang secara selari dengan peranan JPJ, APAD, PDRM dsb - untuk memastikan mod kenderaan awam darat selamat dan selesa untuk rakyat.
Dengan penubuhan badan penguatkuasa baharu berwajib ini sekali gus akan meningkatkan meramaikan potential buyers dalam sektor awam, yang mana sekali gus menyumbang pada kuasa membeli yang diperlukan oleh sektor swasta demestik.
Kerajaan Pusat perlu melihat ruang fiskal berdasarkan real economy seperti di atas, bukan angka kewangan lagi!
Comments
Post a Comment