Penempatan pegawai perubatan dibatalkan belum selesai, Menteri gigih promosi insurans kesihatan swasta pula

KETIKA Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kian dipertikai berhubung isu pembatalan penempatan lebih 2,000 pegawai perubatan sebelum ini, Menterinya Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pula dalam dilihat gigih mahu mewujudkan skim insurans kesihatan asas konon-konon untuk menangani isu lambakan pesakit yang menekan di kebanyakan hospital dan klinik kerajaan.

Dzukefly yang memperoleh 900 undi - memperoleh undian tertinggi Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2023 hingga 2026 pada 24 Disember tahun lepas, hari ini dilaporkan gigih mempromosi insurans kesihatan asas swasta baharu.

Memetik laporan informasi CodeBlue, Dzulkefly bagi pihak Kerajaan Persekutuan Malaysia sendiri berhasrat untuk mewujudkan insurans kesihatan asas swasta yang berasaskan pada produk takaful demi mengekang inflasi kesihatan.

“Akhirnya, ini boleh menjadi pilihan bagi rakyat Malaysia yang mencari penjagaan kesihatan swasta. Ia terbuka kepada semua tetapi disasarkan kepada pekerja sektor swasta (termasuk syarikat berkaitan kerajaan serta perusahaan kecil dan sederhana) dan keluarga mereka, dengan elemen utama berikut,” tulis Dzulkefly dalam laporan asal akhbar perniagaan The Edge.

Dalam laras bahasa ‘jargon’, Dzulkefly dilihat gigih menjelaskan secara panjang lebar mengenai rancangan terbaru Kerajaan Persekutuan konon-konon untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan rakyat baik di hospital kerajaan mahupun pusat perubatan swasta.

“Perlindungan sepanjang hayat untuk melindungi anda sepanjang kitaran hidup dengan menggalakkan pendaftaran awal semasa masih muda dan sihat, dengan komitmen terhadap strategi kesinambungan merentasi majikan, keadaan pekerjaan, serta selepas bersara, serta laluan yang dikira secara aktuari bagi memasukkan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

“Penjagaan kesihatan berasaskan nilai akan menjadi paradigma utama, yang dinyatakan melalui pakej manfaat dan formula berasaskan bukti yang mengutamakan teknologi kesihatan yang kos efektif bagi memastikan kemampuan dan kelestarian, serta sistem pembayaran moden yang melibatkan peralihan berperingkat daripada bayaran inflasi fee-for-service (FFS) kepada diagnosis-related groups (DRGs) yang meningkatkan kecekapan dan kualiti.

“Langkah berhati-hati akan diambil untuk memastikan pendekatan yang seimbang dan berasaskan bukti terhadap penggunaan ubat generik, ubat inovatif, ubat onkologi berharga tinggi, serta pembedahan robotik.”

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Selangor, turut berdalih bahawa produk insurans kesihatan asas swasta baharu tersebut akan menggunakan ‘rangkaian penyedia yang meluas’, termasuk hospital swasta berskala sederhana dan hospital bukan berasaskan keuntungan, serta perkhidmatan ‘premium ekonomi’ Rakan KKM yang bakal dilancarkan oleh KKM.

Memetik laporan berita The Edge, Dzulkefly turut menyatakan bahawa pembiayaan tambahan sedang diteroka bersama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengoptimumkan insentif cukai bagi majikan dan pekerja, dengan memanfaatkan platform i-Lindung KWSP yang berpotensi membuka sumber pembiayaan swasta tambahan tanpa membebankan pembayar cukai dan majikan, atau mengurangkan pendapatan bersih pekerja.

Melalui i-Lindung, beliau berdalih, pencarum KWSP boleh membeli produk insurans/takaful daripada pengendali insurans dan takaful (ITO) yang diluluskan oleh KWSP untuk diri mereka dan ahli keluarga.

“Oleh kerana produk insurans/takaful kesihatan swasta asas ini masih belum diberi nama, saya mengalu-alukan cadangan. Sila gunakan akaun Twitter saya @DrDzul,” ciap Dzulkefly menerusi media sosial X.

Tanpa memberi butiran lanjut berkaitan model perniagaan yang akan dilaksanakan, Dzulkefly menjelaskan bahawa Rakan KKM adalah program insurans kesihatan asas swasta tersebut dalam fasa pra-operasi dan dijangka menerima pesakit pertama tahun ini.

Difahamkan, Rakan KKM adalah sebuah usaha sama awam-swasta dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs), menerima peruntukan sebanyak RM25 juta dalam Belanjawan 2025.

MOF dalam satu kenyataan akhbar Ogos lalu berkata bahawa di bawah program GEAR-uP, KWSP akan melabur dalam penyelesaian penjagaan kesihatan lestari yang boleh dipasarkan secara komersial melalui kerjasama dengan kerajaan, termasuk pembinaan sayap swasta dalam hospital awam.

Ini, merujuk kepada Rakan KKM, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, dalam satu temu bual baru-baru ini dengan The Star.

Menulis lanjut, Dzulkefly berkata perubahan relatif dalam penggunaan hospital kini cenderung ke arah hospital swasta, dengan peningkatan sebanyak 42 peratus dalam kemasukan ke hospital swasta dari tahun 2022 ke 2023.

“Inisiatif sektor swasta yang digariskan di atas berfungsi seiring dengan usaha berterusan kita dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam, termasuk pendigitalan menyeluruh dan pengoptimuman tenaga kerja.

“Model inovatif seperti Rakan KKM, yang tidak bergantung pada bajet kerajaan, juga membebaskan sumber kewangan di hospital awam untuk pesakit yang masih bergantung kepada sistem ini, sekali gus memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama di seluruh sistem kesihatan,” dalih beliau.

Pada 11 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Kerajaan Persekutuan hari ini melalui Bank Negara (BNM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan KWSP akan membangunkan produk asas insurans kesihatan dan takaful yang menekankan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai, lapor Berita Harian.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan perkara itu seusai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2025 di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ahmad Zahid berdalih langkah Kerajaan Persekutuan mewujudkan produk asas insurans kesihatan dan takaful itu merupakan antara beberapa usaha yang dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).

Dalihnya lagi, inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha pembaharuan sektor kesihatan negara yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan akses kepada rawatan perubatan lebih mampan

"Peningkatan inflasi kos perubatan menyebabkan peningkatan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful.

“Bagi menangani perkara ini, beberapa langkah telah dikenalpasti bagi mengekang kenaikan premium MHIT iaitu pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium, pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif.

"Dalam masa yang sama, inisiatif pembaharuan sektor kesihatan negara juga perlu disegerakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2024 hingga 2026," dalihnya yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Perak merangkap Presiden Umno Malaysia.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan khususnya Dzulkefly sendiri menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak selepas pengumuman menangguhkan proses eplacement bagi jawatan kekal melibatkan lebih 2,000 doktor.

Ledakan isu tersebut terjadi kira-kira dua bulan selepas menteri terpaksa membatalkan sistem waktu kerja syif ekoran bantahan.

Menurut salah seorang pegawai yang terkesan, kebanyakan mereka berjaya dalam permohonan mendapat negeri yang diinginkan. 

"Dan kami menyangka ia penyelesaian yang baik untuk kami semua. Tapi di sinilah permainan KKM bermula," tulis pengguna Instagram dengan akaun @tya_roslan, yang turut mengakui kritikan terbuka olehnya melanggari peraturan sebagai penjawat awam.

Katanya, ramai mendapat tahu mengenai pembatalan penempatan menerusi media pada 27 Februari. 

"Tiada kenyataan rasmi daripada KKM, tiada sidang media, tiada penjelasan tiada apa-apa pun."

Dia kemudian mengambil langkah untuk berbincang dengan kementerian.

"Kami hubungi orang yang berkenaan, namun tiada apa-apa hasil yang kelihatan. Katanya perlu tangguh kerana 'system down' semasa eplacement 27 Februari menyebabkan 'maldistribution'.

"Awalnya kami melawan, tetapi akhirnya kami redha dengan ketentuan untuk isi kembali eplacement pada tarikh baharu iaitu 17 Mac," tambahnya.

Malangnya, Tya berkata para pegawai dimaklumkan tentang emel penangguhan eplacement sekali lagi, kali ini dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Tya mempersoalkan etika dan profesionalisme KKM selepas penangguhan kali kedua itu.

Beberapa komen media sosial meluahkan kekecewaan dengan kecekapan KKM.

"Kesian doktor dekat negara ini. Ramai yang hendak berkhidmat dalam kerajaan tapi sebab pentadbiran cacamarba, habis terkesan. Tiap kali tukar kerajaan sama sahaja," tulis @syafiqachemat.

Beberapa pengguna turut menyasarkan kepimpinan Dzulkefly.

"Tak pernah dalam sejarah menteri kesihatan gagal dua kali. Memang teruk menteri kesihatan ini, dua kali pegang menteri kesihatan, dua kali gagal. Masa Covid-19 lemah, sekarang krisis sumber manusia pun lemah. Dua krisis luar dan dalam dia tak boleh handle," tulis Aidil Idham merujuk Dzulkefly yang memegang jawatan menteri kesihatan ketika pandemik Covid-19 di peringkat awal sebelum kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan pada awal 2020.

"Baik letak jawatan sahaja," tambahnya.

Sementara itu, kumpulan yang dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang menganjurkan mogok pada 2021, menyenaraikan isu yang gagal diselesaikan kerajaan, termasuk isu Waktu Bekerja Berlainan (WBB) dan pelaksanaan waktu 45 jam tempoh bekerja berbanding 42 jam untuk jururawat. 

Kedua-dua polisi tersebut telah dibatal dan ditangguhkan selepas menerima bantahan.

"Ada yang cakap ini menunjukkan krisis kepimpinan yang paling teruk dalam Kementerian ini semenjak pandemik Covid 19.

"Mungkin ada betulnya," kata kumpulan itu.

Baca berita berkaitan;

Hospital kian sesak dengan pesakit tapi program penempatan pegawai perubatan dibatalkan

Comments