Skip to main content

NGO urus rumah perlindungan wajar terima lebih dana Putrajaya, TKM1 puji inisiatif REHDA

SUASANA majlis keraian dan jamuan tengah hari bersama-sama warga terpilih di House of Hope di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KEBUN BUNGA - Badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan rumah perlindungan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan serta warga emas yang kurang bernasib baik di negara ini sewajarnya mendapat dana sokongan yang lebih secara langsung daripada Putrajaya, sebagaimana di negara-negara maju.

Demikian kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon semasa menyampaikan sumbangan kepada golongan terpilih di rumah pelindungan House of Hope dekat Jalan Masjid Negeri di sini, anjuran bersama Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Pulau Pinang.

“Semua kita mengetahui kira-kira 81 permohonan DLAP (Lesen Pemajuan & Permit Iklan) projek pemajuan ke negeri ini masih dilengah-lengahkan oleh Kementerian (Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) hingga menyusahkan para pemaju di Pulau Pinang.

“Tetapi, saya memuji insiatif pemaju-pemaju yang diketuai oleh Datuk Jerry Chan sebagai Pengerusi REHDA Pulau Pinang kerana boleh menganjurkan program CSR (tanggungjawab sosial korporat) bersama-sama pertubuhan House of Hope, walaupun dihambat pelbagai cabaran-cabaran ini.

“Saya harap Putrajaya sendiri boleh mengambil sikap terbuka dengan komitmen REHDA dan pemaju ke negeri ini, serta pertimbang cadangan menyalurkan dana sokongan kepada pertubuhan kebajikan seumpama House of Hope, seperti di negara-negara maju,” jelas Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

JERRY Chan (empat dari kiri) mengendali majlis penyampaian barang makan keperluan kepada warga House of Hope terpilih, yang disempurnakan oleh Mohd. Rashid Hasnon (lima dari kiri) di sini baru-baru ini.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berupa barang makanan asasi kepada golongan terpilih berkenaan.

Sebelum itu, Jerry dalam ucapannya memberitahu REHDA senantiasa komited dalam pembangunan masyarakat khususnya golongan terpilih, sungguhpun urusan utama mereka dalam urusan pemajuan perumahan dan hartanah.

“Kita (REHDA) ke sini (House of Hope) kerana kita adalah bersaudara.

“Ini sebahagian komitmen yang tidak pernah dilupakan oleh kami (REHDA), iaitu menyalurkan sumbangan kepada golongan terpilih seperti ini,” kata beliau sambil merakamkan penghargaan kepada wakil House of Hope.

MOHD. Rashid Hasnon (belakang, empat dari kiri) diiringi Jerry Chan (lima dari kiri) serta sukarelawan House of Hope lain merakamkan gambar kenang-kenangan dengan sebahagian kanak-kanak yang terpilih menerima beg 'goodie' sumbangan REHDA di sini, sebelum dibawa berjalan-jalan ke Bukit Bendera baru-baru ini.

Difahamkan, selain menyediakan jamuan untuk semua golongan terpilih terbabit, REHDA turut membawa kira-kira 40 kanak-kanak dari House of Hope keluar berjalan-jalan ke Bukit Bendera.

Pengarah House of Hope, Khoo Cheng See dan David Fong (pengurus penganjur) turut menyertai majlis amal bertemakan “Joy in Caring with Love” itu.