Skip to main content

Yuran penyelenggaraan dikecualikan GST disambut empat pertubuhan, kata Exco Perumahan

 JAGDEEP Singh Deo menyampaikan ucapan perasmian seminar anjuran RISM di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Utara digesa memanjangkan permohonan Kerajaan Negeri supaya yuran penyelenggaraan yang membabitkan 235,000 rumah flat di negeri ini dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian pada satu seminar RISM di sini baru-baru ini.

"Secara prinsipnya, yuran penyelenggaraan dikutip daripada penduduk untuk menyelenggarakan kawasan rumah flat, bukan untuk tujuan keuntungan atau membabitkan pembelian komersial untuk dikenakan GST.

"Justeru, kita (Kerajaan Negeri) merayu sekali lagi supaya RISM membawa pendirian kita ini kepada Kerajaan Pusat, agar GST tidak akan dikenakan ke atas yuran penyelenggaraan rumah flat, bukan sahaja di negeri ini, malah di Malaysia," tegas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan.

Selain RISM, katanya, tiga pertubuhan nasional iaitu Persatuan Penilai dan Perundingan Harta Swasta Malaysia (PEPS), Institut Pengurus Harta Profesional Malaysia (MIPPM), Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) masing-masing turut bersetuju untuk memanjangkan petisyen yang senada dengan Kerajaan Negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Keempat-empat pertubuhan ini telahpun bersetuju untuk menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri supaya kesemua rumah kos rendah dan sederhana rendah serta pangsapuri mampu milik berstrata dikecualikan GST atas yuran penyelenggaraan mereka.

"Saya sendiri masih menunggu dan tidak pasti, apakah reaksi terbaru Kerajaan Pusat berhubung memorandum yang akan dipanjangkan oleh RISM melalui seminar tersebut," jelas Jagdeep lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, GST dikenakan terhadap syarikat pengurusan flat atas dalih perkhidmatan dan keuntungan yang diperolehi mereka.

"Bayaran yuran penyelenggaraan daripada penduduk dikenakan bagi tujuan perkhidmatan penyelenggaraan kondominium dan mereka mempunyai keuntungan daripada yuran berkenaan," jelas beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan berkata, pengumuman Khazali itu dijangka akan memberi impak berantai pada 16 peratus populasi rakyat Malaysia di Pulau Pinang, khususnya penghuni rumah flat.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan.

"Jika GST dikenakan ke atas 100 unit umpamanya, tetapi yang berjaya dikutip (yuran penyelenggaraan) meliputi 60 hingga 70 penghuni flat sahaja, maka, penghuni bukan sahaja membayar pada kadar enam peratus (GST), malah, terpaksa membayar lebih daripada itu semata-mata untuk membiayai (GST atas keseluruhan 100 unit rumah pangsa tersebut," ujarnya lagi.

Tambah beliau, pengecualian GST ke atas yuran penyelenggaraan penghuni adalah wajar memandangkan penempatan mereka bukanlah membabitkan jual beli barangan atau perkhidmatan.

Pelaksanaan GST pada kadar 6 peratus dijadualkan bermula pada 1 April depan.