Skip to main content

Tubuh 'Bank Pembangunan Negeri' hanya idea, TKM1 harap peranan PTSR mirip institusi bank

MOHD. Rashid Hasnon (tengah) diiringi pemimpin Kerajaan Negeri yang lain merakamkan gambar kenang-kenangan dengan lapan usahawan berjaya PTSR terpilih di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Rancangan penubuhan bank pembangunan seperti di Jepun serta di beberapa negara maju menggunakan rizab tunai sedia negeri semasa ada yang melebihi RM1 bilion kini pernah dibincangkan di Pulau Pinang, tetapi, Kerajaan Negeri hari ini secara realitinya mengakui bahawa idea tersebut sukar mendapat sokongan bersepadu daripada Putrajaya dan Bank Negara Malaysia.

Ura-ura perbincangan berwajib membabitkan perunding syarikat perbadanan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), syarikat pelaburan tempatan Limbra Capital Bhd. dan syarikat pelaburan antarabangsa MAS ClearSight dari Dubai sejak bulan April lepas dalam merealisasikan idea penubuhan 'bank pembangunan negeri' di Pulau Pinang pun sekaligus mungkin tertangguh jua.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon bagaimanapun berkata, pihaknya berharap pelaksanaan Program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sejak lebih empat tahun lepas mampu berperanan seperti institusi bank kewangan tersendiri pada masa depan, terutama dalam menguruskan skim pinjaman mikrokredit di negeri ini.

"Setakat ini ada juga idea seperti itu, tetapi, dalam bentuk menimba pengalaman sahaja.

"Saya ada rancangan yang lebih besar lagi, kalau boleh, dapat ia (PTSR) ini akan menjadi macam institusi perbankan, yang boleh buat pinjaman (mikrokredit) sahaja," ujar Mohd. Rashid di Hotel Royale Bintang di sini baru-baru ini.

Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat berkata demikian kepada wartawan, selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Berjaya PTSR 2014.

Difahamkan, cakap-cakap idea penubuhan Bank Pembangunan Negeri di Pulau Pinang ini lanjutan pada pengalaman lampau di negara Jepun dalam membangunkan semula sektor perindustrian pada era pasca peperangan dengan memanfaatkan kemampuan sistem perbankan, hingga berjaya merubah sistem ekonomi pada tahun 1980-an.

Mohd. Rashid berkata, peningkatan hutang isi rumah negara yang kini mencecah lebih RM854 bilion atau 86.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) sehingga menarik perhatian Bank Dunia, sudah pasti sukar mendorong BNM dan Putrajaya agar progresif berhubung idea penubuhan bank pembangunan negeri di Pulau Pinang dalam tempoh waspada ini.

"Dalam keadaan tempoh pinjaman peribadi diperketatkan pada 10 tahun untuk tangani isu hutang isi rumah ini, tak mungkin sesuatu 'yang lebih' dapat dilakukan oleh Putrajaya kini," ujar Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Sebelum itu, Mohd. Rashid memberitahu, Kerajaan Negeri sejak bulan Oktober 2009 hingga kini memperuntukan sebanyak RM9 juta untuk pelaksanaan PTSR.

Dari jumlah itu, katanya lagi, sebanyak RM8,524,630.40 telahpun diagihkan kepada 2,016 peminjam meliputi kelima-lima daerah di negeri ini.

1,691 Melayu dipilih menyertai sistem pinjaman mikrokredit ini, manakala, Cina dan India masing-masing seramai 159 orang dan 169 orang.

"Peminjam PTSR kali keempat pun telah ada diluluskan (PDC)...PTSR ini bukan geran sebagaimana diamalkan oleh pihak tertentu, tetapi, pinjaman mikrokredit yang kali pertama sahaja sifar faedah.

"88 peratus (jumlah pinjaman mikrokredit PSTR) berjaya dikutip balik, manakala pinjaman tidak berbayar (NPL) 12 peratus sahaja," ujar Mohd. Rashid lagi.

Mohd. Rashid yang diiringi ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang) serta Timbalan Pengurus Besar PDC, Datuk Abdul Rahim Isahak turut menyempurnakan penyampaian insentif berupa wang tunai RM1,500 beserta sijil penyertaan kepada lapan usahawan berjaya PTSR terpilih pada majlis tersebut.


Artikel Berkaitan:
"Melayu nak 'senang', berniaga..." nasihat Wan Ibrahim Megat Zainol