MOHAMAD Sabu (enam dari kiri) diiringi pada Ahli Majlis MPSP tengah hari tadi melancarkan majlis persiapan konvoi bantuan kemanusiaan ke Kelantan di sini. |
MOHAMAD Sabu (tengah) dan para Ahli Majlis MPSP lain saling bergotong-royong memunggah naik barang kelengkapan ke dalam sebuah lori, untuk konvoi penghantaran ke Kelantan pada tengah malam ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA - Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zulkifli Ibrahim berkata, konvoi tujuh kenderaan yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan seberat 15 tan dijadualkan bertolak pada tengah malam ini dan dijangka sampai di kawasan banjir dalam Kawasan Parlimen Bachok, Kuala Krai dan Tumpat dekat Kelantan pada tengah hari esok.
ZULKIFLI Ibrahim |
"Semua sumbangan tunai ada yang disumbangkan oleh surau, gereja, dan rumah-rumah ibadat yang dianggarkan (bernilai) lebih RM100,000 semuanya ditukarkan barang keperluan dalam hampir 500 kotak untuk dihantar ke sana (Kuala Kerai)," ujar Zulkifli selaku koordinator konvoi tersebut, pada sidang media di sini tengah hari tadi.
Hampir semua Ahli Majlis MPSP, wakil (Persatuan Kebajikan Sukan & Sosial MPSP (PESUKA) serta NGO penganjur yang lain menyertai projek bantuan amal tersebut.
Hadir sama, Timbalan Presiden PAS merangkap Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Tuan Haji Mohamad Sabu, sebagai pengantara yang dipertanggungjawab menyambut konvoi di Kelantan nanti.
Menurut Zulkifli, beliau sendiri akan mengetuai konvoi yang turut disertai oleh 15 sukarelawan lain, rata-rata adalah Ahli Majlis Majlis MPSP.
Selain PESUKA, katanya, seramai 60 orang daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perda City Mall, Jentron Black, TH Farmasi dan Gemilang Tiga Puluh Auto menjayakan projek mengumpulkan barangan serta sumbangan kilat selama tiga hari bermula pada 29 Disember lepas.
Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada See Hup Transportation Sdn. Bhd. yang menaja pengangkutan, serta Danpillo Marketing (M) Sdn. Bhd. yang menaja bantal untuk keperluan mangsa bencana.
Dalam perkembangan berasingan, konvoi bantuan kemanusiaan peringkat Pulau Pinang dijadual dari Wisma DAP Pulau Pinang dekat Jalan Rangoon serta dijangka sampai di kawasan Parlimen Kuala Krai pada tengah hari 1 Januari 2015.
No comments:
Post a Comment