Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Konvoi darat membawa bantuan kemanusiaan dari Pulau Pinang ke kawasan Parlimen Kuala Krai dekat Kelantan yang dijadualkan pada 1 Januari tahun depan memerlukan sebanyak mungkin kenderaan jenis pacuan empat roda secara sukarela.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, mereka yang berminat menyertai konvoi kedua ini bolehlah Setiausaha Sekretariat Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana Banjir Pulau Pinang Ke Kelantan, Lim Hui Ying di talian 0124053060 atau 0164260694.
"Semua barang keperluan yang dikumpulkan di sini (Wisma DAP Jalan Rangoon) akan kita bawa sebanyak mungkin ke Kuala Krai dalam konvoi yang dijadual bertolak sekitar jam 2.00 pagi.
"Selain mengatur sebuah kontena, kami juga memerlukan pengangkutan pacuan empat roda untuk membantu kami dalam konvoi yang memakan masa hampir 24 jam, melalui jalan yang sukar mungkin dari Bentong (dekat Pahang) ke Kuala Krai," ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada wartawan di sini, petang tadi.
Ahli Parlimen Gelang Payah, Lim Kit Siang dan Lim dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong turut sertai sidang media tersebut.
Sebelum itu, Kit Siang turut mempertikai langkah Putrajaya menangani bencana banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang didakwa seakan tidak mempunyai panduan hasil kerja (SOP) sewajarnya.
"Segala-galanya musnah akibat bencana, barulah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) muncul mengumumkan peruntukkan (menangani bencana)...ini cukup memalukan Malaysia," ujar Kit Siang.
Justeru, beliau mencadangkan Kerajaan Pusat mengemukakan pelan latihan persediaan menghadapi bencana atau "rehearsal" yang lebih sempurna, sebagaimana diamalkan di negara-negara maju.
"Kita patut mengubah SOP...kita perlu belajar daripada (Kerajaan) Korea dan Jepun," ujar Kit Siang lagi.
Terdahulu, konvoi kemanusiaan kali pertama seramai lapan sukarelawan dengan menggunakan kapal terbang yang diketuai Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh selamat menghantar pelbagai barang keperluan berwajib ke kawasan Parlimen Kota Bharu.
Boon Poh semasa itu turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta telahpun dipindahkan ke satu akaun amanah atas arahan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, demi membantu mangsa banjir di Kelantan.
No comments:
Post a Comment