Skip to main content

Speaker DUN P.Pinang nasihat polis, AG jangan cabuli kuasa eksekutif dewan

GAMBAR Law Choo Kiang (berdiri) dalam satu majlis rasmi di DUN Pulau Pinang, George Town.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Percubaan mendakwa ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer di Mahkamah Tinggi Geogre Town pagi tadi akan menjejaskan prinsip pengasingan kuasa badan kehakiman dan badan eksekutif, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sendiri.

Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata demikian dalam kenyataannya petang tadi, sambil menyifatkan percubaan tersebut sebagai tindakan polis dan Peguam Negara (AG) mencabuli bidang kuasa DUN Pulau Pinang.

"Di bawah prinsip pengasingan kuasa, dewan undangan negeri memiliki status tertinggi kerana tugas badan eksekutif adalah jelas untuk melaksanakan apa saja usul atau dasar yang telah diluluskan di dewan undangan negeri. 

"Manakala, tugas badan kehakiman pula adalah untuk memastikan usul dan dasar yang dijalankan itu tidak mengandungi elemen penyalahgunaan kuasa.

"Justeru, keputusan yang dibuat oleh dewan undangan negeri wajar dan wajib dihormati oleh semua, di mana segmen eksekutif dan kehakiman tidak boleh menceroboh bidang kuasa yang telah termaktub ada pada dewan undangan negeri," ujar beliau dalam kenyataan bertulis pada petang tadi.

Menurut Choo Kiang, Rayer bukan sahaja diberikan amaran Rayer berpandukan pada Peraturan Tetap, malah, ADUN pembangang turut dibenarkan mengemukakan usul untuk merujuk ADUN Seri Delima tersebut ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan dewan.

Namun, kata Choo Kiang lagi, kegagalan UMNO untuk mendapat undi yang mencukupi telah menyebabkan usul ini tidak diteruskan. 

"Saya telah membuat keputusan berlunaskan konteks yang terkandung di dalam Peraturan Tetap, dan dengan itu segala perkara berbangkit mengenai isu ini harus dihentikan segera," tegas Choo Kiang sambil melahirkan rasa kesal.

Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut memberi pendapat mengenai percubaan AG mendakwa Rayer di bawah Akta Hasutan.

"Di bawah peruntukan Artikel 63 atau Artikel 72 di dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun Ahli Parlimen atau ADUN memiliki imuniti, namun dalam keadaan tertentu seperti pelanggaran hak asasi, hak taraf kedudukan, keistimewaan & kedaulatan, bahasa kebangsaan dan status raja-raja, mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948. 

"Walaubagaimanapun, topik ‘UMNO Celaka’ tidak tercatat di dalam mana-mana bahagian di dalam perlembagaan, melainkan ia hanyalah merupakan perkaraan yang tidak baik yang telah diucapkan oleh seorang ADUN semasa perbahasan di dalam dewan undangan negeri," jelas beliau lagi.

Pagi tadi, Rayer yang sepatutnya dibicarakan di bawah Akta Hasutan pada berhubung kenyataannya menyebut “Umno Celaka” dalam persidangan lepas dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tiba-tiba ditangguhkan.

Peguamnya, Gobind Singh Deo dalam reaksi spontan kepada wartawan memberitahu, beliau sendiri tidak tahu punca pengguguran dakwaan tersebut.

“AG (Peguam Negara) minta pendakwaan dimulakan hari ini, sebab itu, saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya berlaku di sini.

“Saya tidak boleh memberitahu hal ini secara terperinci, tetapi, tiada pendakwaan pada hari ini sehingga ada suatu notis lanjut kelak,” ujar Gobind, yang juga Ahli Parlimen Puchong di perkarangan di Mahkamah Tinggi George Town.