23 June 2014

Jahat jika Tabung Perumahan Bumiputera PP nafi hak Melayu, respons Guan Eng

KETUA Menteri (tiga dari kiri) yang disertai Jagdeep Singh Deo (lima dari kiri), P. Kasthuriraani (dua dari kiri) dan Rosli Jaafar (empat dari kiri) pada sidang media di Galeri Jualan PDC, Bandar Cassia di sini, semalam.

Oleh: ZAiNULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pelaksanaan Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang terus dipertikai gara-gara  membatalkan kelulusan pinjaman Siti Nur Shazreen Mohd. Jilani atas alasan wanita Melayu berkenaan bekerja dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP bagi kawasan Padang Lalang, Chong Eng.

Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, kes tersebut nyata bertentangan dengan prinsip demokrasi perumahan yang sepatutnya menjadi hak khusus Melayu dan Bumiputera, tanpa sentimen politik kepartian.

“Ini jahat jika beliau ditolak atas alasan politik, tetapi jika ditolak atas alasan keperluan tidak mengapa lah.

“Kalau ini benar-benar dilakukan, memang jahatlah kerana bertentangan dengan prinsip demokrasi perumahan,” ujar Guan Eng kepada wartawan semalam, selepas majlis perasmian pembukaan Galeri Jualan 520 unit rumah mampu milik berkualiti di Taman Cassia di sini.

Manakala, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dalam reaksi spontan menyatakan komitmen untuk berbincang dengan Bahagian Perumahan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya peruntukan RM500 juta yang diperuntukan di bawah skim pinjaman itu turut memberi manfaat terbanyak kepada Melayu serta Bumiputera di negeri ini.

“Alasan yang diberikan kepadanya memang langsung tidak dapat diterima. Jika dia layak, sepatutnya pinjaman itu tidak ditarik balik kepadanya.

“Saya minta beliau (Siti Nur Shazreen) segera menemui saya, dan membantu saya supaya saya dapat menulis surat kepada ICU JPM mengenai kes ini sesegera mungkin, agar mereka yang layak mohon dapat pinjaman ini,” ujar Jagdeep, sambil meminta penama berkenaan bertemunya di pejabat.

Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi), Micheal Tan Cheong Eng (Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) turut menyertai sidang media tersebut.


SITI Nur Shazreen Mohd. Jilani (kiri) bersama-sama Chong Eng (kanan) menunjukkan surat kelulusan pinjaman perumahan yang dikeluarkan oleh ICU JPM pada sidang media di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

Terdahulu, Siti Nur Shazreen dalam pendedahannya kepada wartawan memberitahu, punca kelulusan pinjaman tersebut ditarik balik adalah kerana beliau bekerja dengan Chong Eng.

Semasa dihubungi oleh pihak Bank Persatuan, Siti Nur Shazreen memberitahu rumah rumah kos rendah bernilai RM42,000 dekat Sanctuary Court yang beliau mahu miliki itu adalah di bawah Kerajaan Negeri.

Sedangkan, katanya lagi, skim pinjaman Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang hanya boleh pada rumah kos rendah serta kos sederhana rendah yang dibina oleh agensi Kerajaan Pusat sahaja, iaitu JKP (Jawatankuasa Penyertaan Bumiputa Pulau Pinang), PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) dan UDA (Lembaga Kemajuan Bandar).

“Kalau macam itu, tak perlulah ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) meletakkan pinjaman ini sebagai Tabung Pinjaman Bumiputera Pulau Pinang,” kata Siti Nur Shazreen pada satu sidang media bersama-sama Chong Eng.

Chong Eng dalam reaksi spontan berkata, hak Siti Nur Shazreen sepatutnya tidak dinafikan oleh Kerajaan Pusat memandangkan wanita berkenaan adalah berbangsa Melayu serta berstatus Bumiputera.

“Walaupun beliau (Siti Nur Shazreen) bekerja dengan ADUN DAP sekalipun, beliau tetap Bumiputera,” tegas Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang merangkap ADUN Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Sasar Perumahan dan Hartanah Bumiputera Pulau Pinang bagi skim pinjaman yang dipertikai tersebut.


INILAH surat kelulusan pinjaman Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang yang diterima oleh Siri Nur Shazreen Mohd. Jilani, sebelum menerima panggilan penarikan balik kelulusan tersebut baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus