Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Mendiang Karpal Singh berjaya mendidik anak-anaknya supaya berprinsip sepertinya, kata ADUN Permatang Pasir Datuk Mohd. Salleh Man sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tiger of Jelutong berkenaan.
"Dia (Karpal Singh) seorang pemimpin yang berpinsip dan berjaya mendidik anak-anak untuk berpegang dengan prinsip ketertinggian perlembagaan sepertinya.
"Dia pernah membela seorang wanita berpurdah yang dipecat dari SUK Perak pun sebab prinsipnya...jasanya terhadap Islam tetap ada walaupun dia melakukan jasa itu atas prinsipnya," ujar Mohd. Salleh yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang petang tadi kepada wartawan menerusi telefon.
Justeru, beliau mendoa kepada Allah semoga seluruh ahli keluarga Karpal Singh dalam kondisi selamat dan dekat dengan idea faham Islam yang cuba dikongsikan oleh parti masa depan itu.
Karpal Singh mendirikan rumah tangga dengan Gurmit Kaur pada 30 Julai 1970, dan dianugerahi lima cahaya mata, iaitu Jagdeep Singh Deo (ADUN Datuk Keramat merangkap Exco Kerajaan Negeri), Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Sangeet dan Mankarpal.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Shah Alam, Khalid Samad dalam satu sidang media berasingan melahirkan rasa kesal kerana mendiang Karpal digambarkan sebagai anti Islam, senada dengan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Manakala, Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaakob pula berdoa kebaikan hidup ahli keluarga Karpal, semasa memberi penghormatan terakhir di rumah mendiang.
Perkembangan terbaru itu, sekaligus menyerlahkan sikap pemimpin PAS dalam menonjolkan kesederhanaan Islam meramahi komuniti bukan Islam di negeri ini.
No comments:
Post a Comment