TUNDUK Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Haji Mohamad Sabu memberi penghormatan terakhir kepada mendiang 'Tiger of Jelutong' Karpal Singh digambarkan sebagai bertentangan dengan akidah Islamiah.
Avatar pro pembangkang Pulau Pinang menggambarkan ia bertentangan dengan akidah Islamiah berdasarkan nas al-Quran yang menyebut:
“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang yang beriman meminta ampun bagi orang musyrik, walaupun orang musyrik itu adalah kaum kerabat sendiri..."
[Surah at-Taubah: 113]
Tunduk memberi penghormatan adalah nyata tidak sama dengan berdoa keampunan kepada si mati yang bukan beragama Islam, sebagaimana dilarang dalam nas syarak di atas.
Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad meriwayatkan, Sesungguhnya Nabi SAW dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: Tidakkah ia satu jiwa?
[Riwayat Bukhari: No.1,250, & Muslim: 961]
Berdasarkan nas di atas, ulamak berpendapat bahawa hukum menghormati jenazah, baik Islam atau bukan Islam adalah harus.
Selain itu, berdoa untuk kehidupan mereka yang belum Islam pun sebenarnya adalah salah satu sunnah Rasulullah S.A.W.
Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:
“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”.
[Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi]
Maka, tidak hairanlah jika Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dalam kenyataannya kepada wartawan, turut berdoa untuk keselamatan ahli keluarga mendiang Karpal Singh yang masih hidup.
Islam adalah agama yang adil. Sebab itu, Islam menuntut penganutnya melakukan kebaikan semasa manusia, termasuk kepada mereka yang belum Islam lagi.
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
[Surah al-Mumtahanah ayat 7-8]
NOTA KECIL
George Town
George Town
No comments:
Post a Comment