Skip to main content

Gulai itik Bt. 23 Yan sodaaappp!

Gulai itik Batu 23 Yan ini Abg Pa-ei yang pesan...sodap rasanya!

Anak menakan arwah Ustaz Azizan Razak, Nasoruddin Shah Mat marah kepada saya dan rakan-rakan kerana menjenguk Pulau Bunting tanpa pengetahuannya sebagai anak tempatan.

Memang patut pun Nasoruddin yang lebih mesra dengan panggilan "Tok Din" komen sebegitu pada entri sebelum ini.
  
"lawatan yg tidak menghormati otai kg situ.........ahahahah," kata Tok Din.

Saya selalu berfikir tentang diri saya dalam berkawan. Kerana itu jua, saya selalu berfikir tentang kawan-kawan yang saya kawan.

Dalam senarai terkini kawan-kawan saya, ada lima kawan yang susah saya nak dengaq mereka "mengata belakang" atau "tikam belakang".

Tok Din jenis bangsa mengata berdepan. Kalau beliau mengata berdepan saya di Facebook pun, saya suka.

Saya suka sebab dia tak pakai fake account yang lengkap dengan wajah ulamak tertentu PAS untuk buat benda-benda tak elok.   

Empat kawan lain yang susah nak dengaq depa mengata belakang kawan-kawan depa adalah Abg. Hazmi Master, Abg. Rahim Panjang, Abg. Khairul Ishak dan Abg. Zolkifly Md. Lazim.

Bab ini, saya kalah.

[Dari Kiri] Abg Hazmi Master, Abg. Rahim Panjang, Tok Din, Zainulfaqar Yaacob (penulis), blogger Abu Nawas & anaknya serta Abg Khairunnisa' bergambar kenang-kenangan di Rumah Terbuka Aidilfitri D'BM Hospital dekat Permatang Pauh anjuran keluarga Zolkifly Md. Lazim, tidak lama dahulu.

Karektor Orang Utara
Selepas menyertai pasukan Lim Kit Siang berkempen memenangkan calon PAS, Azam Abdul Samat di PRK Sungai Limau baru-baru ini, saya bersama kawan-kawan lain bergegas ke Pulau Bunting.

"Kalau jambatan (Pulau Bunting) cantik ada, takkan sepinggan nasi sedap tak jual di sana," kata Abg. Khairul yang juga Pegawai Khas bagi Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kami lawan 'bergaduh' dalam kereta kerana tak jumpa jalan masuk ke pulau itu.

Hampir semua warung di situ tiada makanan.

INI bukan warung di Pulau Bunting. Ini Kedai Makan Gulai Itik Batu 23 Yan lah. "Kekuatan kedai ini adalah pada resepi gulai itiknya yang sangat sedap, bukan pada banyaknya bilangan jenis makanan yang disediakan untuk pelanggan seperti di kedai-kedai makan yang lain," kata Zolkifly (berbaju petak merah).

Abg. Zolkiflly Md. Lazim yang juga Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) berkata, "cuci lincin makanan laku di sini (kawasan daratan menuju ke Pulau Bunting)..."

Saya balas, "kalau pelanggan banyak di sini, tak nampak pun sesak kereta parkir di sini..."

Abg. Zolkifly Md Lazim adalah ahli perniagaan. Beliau juga ahli politik PAS yang telah sedia kena kerat dalam PAS sejak era 1990-an lagi oleh grup Hj. Nordin (ayah Hafiz Nordin a.k.a. bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang).

Abg. Zolkifly suka cakap terbalik. Tok Din pun suka cakap terbalik. Dua pemimpin PAS Malaysia,, iaitu Tuan Hj. Mohd Sabu dan Datuk Mahfuz Omar pun suka cakap terbalik.

"Kalau tengok dalam filem 'Mami Jarum' dan seangkatannya dengannya, Orang Utara memang suka cakap terbalik kot? Sebab itu, Abg Mat (Mohamad Sabu) dan Datuk Mahfuz suka cakap terbalik..." kata Pengasas Sekolah Pemikir Asy-Syatibi, Ustaz Wan Ji Wan Hussin At-Ta'addudi semasa menjenguk saya di George Town, tidak lama dahulu.

Hubungi Abg. Rosli Hassan 0125978469 untuk tempahan gulai itik
atau belajar resipi kejayaan berniaga kedai makan.
Gulai Itik Yan
Perut makin memulas. Lapar.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan Sungai Limau.

Abg. Pa-ei atau nama sebenarnya Drs. Ahmad Nazri Abdullah (CEO Tunas Indah Niaga) berkata, di Yan ada gulai itik yang sodap.

Saya tak makan itik, tapi, saya terlalu ingin tahu bagaimana perasaan sedap makan gulai itik.

Oleh kerana kami orang luaq, pemilik Kedai Makan Gulai Itik Batu 23 Yan, Rosli Hassan, 40begitu meramahi kami.

"Gulai ikan temenung nak sedap di Kuala Kedah, (gulai) ikan semilang di Singai Pial (Tanjong Dawai, Kedah), kalau nak makan gulai itik di sini," ujar Abg. Rosli Hassan.

Di warung ini, kita boleh memilih untuk makan di kerusi-meja, atau duduk bersila ala-ala orang Melayu dulu-dulu.

Kawan-kawan semuanya marah saya apabila saya minta pilih makan secara duduk bersila.


Berniaga perlu ada identiti
Sambil-sambil makan, saya berceloteh. 

"Mungkin sebab cara makan duduk bersila kot, orang ramai suka makan di sini," ujar saya.

Menurut Rosli, perniagaan di sini asalnya dibina atas semangat kawan-kawan, tetapi, tidak kekal lama disebabkan ada rakan seperniagaan tidak mempunyai disipin dalam bab duit ringgit.

Selepas itu, beliau bersama-sama isteri mengambil keputusan untuk menyewa demi mengambil alih keseluruhan operasi kedai makan itu daripada tuan puan warung dan tuan punya tanah.

[Dari kiri] Khairul Ishak, Zolkifly Md. Lazim, Zainulfaqar Yaacob (penulis) dan Abg. Pa-Ei makan bersila di sini. Ustaz Izham Hashim (Pengasas NGO bela anak yatim yang dikenali sebagai Mutiara Infak) ke tandas. Rugi tak tangkap gambar sekali. hehehe... 

"Apabila saya kata, kita cuba tengok buat gulai itik. Isteri saya kata, orang Kedah ada ka makan itik. Tapi, kebanyakan yang datang di sini sebab gulai itik. Kalau nak makan bersila, di rumah pun boleh," ujar Rosli.
Menurut Rosli, kalau hari biasa, 30 ekor itik habis digulaikan. Kalau musim PRK Sg. Limau baru-bru ini, 45 ekor diperlukan tiap-tiap hari.
"Sebelum ini, saya ambil itik dari Perak. Lama-lama, saya sendiri minta kawan baik ternak itik untuk saya beli daripada dia," ujar beliau.
Rosli berkata, beliau memulakan kerja-kerja memasak di warung itu sekitar jam 9.00 pagi tiap-tiap hari.

Semua pelanggannnya boleh mula menikmati gulai itik pada waktu tengah hari dan makanan lincin sebelum jam 4.00 petang.


PAS & identiti
"Dia (Rosli) berjaya sebab dia ada disiplin dari segi kuantiti makanan yang patut dijual tiap-tiap hari.

"Disiplinnya di sini, jangan kurangkan (kuantiti) makanan dan jangan terlajak masak. Masak ikut time dan pelanggannya tahu waktu makan setiap hari. Disiplin inilah identiti perniagaan Rosli.

"PAS juga ada disiplinnya, iaitu amanah dengan janji serta (dikenali sebagai) orang yang baik dalam agamanya. Ini identiti yang pernah ada pada PAS pada kaca mata pemimpin tertentu DAP, PKR dan rakyat.

"Kalau pemimpin PAS mula kkhianat janji atau tak hormat perlembagaan parti sebab berbeza pendapat dengan ahli-ahli bawahan tertentu seperti di Pulau Pinang sekarang, identiti baik yang sedia ada mungkin akan pudar," kata Zolkifly kepada saya dan kawan-kawan yang lain di dalam kereta, semasa bergerak pulang ke Permatang Pauh.

“CELUPAN ALLAH, MAKA SIAPAKAH YANG LEBIH BAIK CELUPANNYA SELAIN DARI ALLAH..." (Surah Al-Baqarah: 137)