Timbalan Presidennya, Azih Muda berdalih, pihaknya menganggap keputusan pembatalan SBPA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai tindakan yang perlu diambil demi masa depan kakitangan awam negara ini.
Menurut laporan PenangInsight.com, dalih itu seolah-olah merujuk pada kenyataan Ketua Pembangkang Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa SBPA dibatalkan ekoran desakan pihak pembangkang.
SBPA yang diumumkan pelaksanaan pada Oktober lalu, sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu tetapi ditangguhkan awal tahun ini ekoran protes kakitangan awam.
Pembatalannya diumumkan pagi semalam.
"Saya tidak mahu cakap mengenai pilihan raya atau politik, tetapi keputusan ini menunjukkan kerajaan mendengar kehendak rakyat, kerajaan harus meningkatkan pendapatan rakyat.
"Yang penting keputusan yang diambil ini adalah keputusan demi masa depan kakitangan awam, ini soal survival, bagaimana kita perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan beban kos hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Anwar dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa pusat tunduk selepas siri-siri demontrasi diadakan di seluruh negara bagi menghentikan skim yang tidak menguntungkan kakitangan bawahan terbanyak.
“Nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa akur dengan kita, yang membantah SBPA untuk rakyat adalah PR bukannya Umno ataupun Perkasa.
“Dia (Najib) terpaksa tangguhkan skim ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, sebab mereka masih yakin belum menang sehingga PRU ini,” katanya.
“Gaji pegawai atasan yang sudah mencecah RM40,000 naik kepada RM40,000 lagi tetapi gaji kerani rendah naik juga, tapi hanya naik RM40 sahaja.
“Kerana itulah kami kempen ke seluruh Malaysia kerana ia tidak adil untuk rakyat,” katanya.
Azih bagaimanapun berdalih, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas petang ini untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan pagi semalam mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.
Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.
Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.
Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.
Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.
Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan. -END
IKLAN
No comments:
Post a Comment