Wanita Umno puji usaha wujudkan Tabika KEMAS khas untuk kanak-kanak austisme

WANITA Umno Bahagian Batu Kawan menyambut baik hasrat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menubuhkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) khas bagi kanak-kanak autisme di seluruh negara mulai tahun depan, selepas kejayaaan pelaksanaan projek perintis itu di negeri Melaka sebelum ini.

Ketuanya, Noraina Safura binti Hj. Mohamed (gambar) berkata usaha yang dilakukan pihak Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid yang juga Menteri bagi KKDW itu sebenarnya boleh dianggap sebagai usaha daripada pemimpin Umno bagi membantu rakyat mendepani kos sara hidup yang kian meningkat.

“Kos perkhidmatan penjagaan kanak-kanak sama ada taska atau tadika sebenarnya merupakan perkara pendidikan yang menyumbang pada data indeks harga pengguna (IHP) dari semasa ke semasa dan inflasi.

“Apabila KKDW melalui KEMAS ada hasrat mewujudkan tadika khas untuk kanak-kanak austisme di 14 negeri, ertinya polisi fiskal sebegini akan memberi opsyen kepada ibu bapa untuk tidak lagi terpaksa membayar yuran yang lebih tinggi dengan menghantar ‘anak istimewa’ mereka ke pusat-pusat jagaan khas swasta.

“Polisi penambahbaikan tadika KEMAS khusus untuk kanak-kanak austisme ini, bagi saya boleh dikatakan sebagai satu lagi usaha pemimpin Umno dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia bagi merosotkan inflasi semasa,” jelasnya yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Wanita Umno Negeri Pulau Pinang.

Menyorot sejarah, KEMAS ditubuhkan oleh Perdana Menteri Ke-2 Malaysia iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga mantan Presiden Umno.

KEMAS, sejak tahun 1961, dijadikan sebagai jentera kerajaan bagi kawasan luar bandar termasuk meningkatkan literasi pendidikan awal kanak-kanak terutama Melayu.

Tadika KEMAS pada era tahun 1980-an kian berkembang lebih 11,000 buah termasuk di negeri Pulau Pinang.

Semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Ke-6 Malaysia, peruntukan pembangunan dan pengurusan tadika KEMAS senantiasa diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan di Parlimen.

Contohnya, dalam Bajet 2015, Najib yang juga Presiden Umno Malaysia pada waktu itu mengumumkan sejumlah RM711 juta peruntukan KEMAS termasuk untuk memenuhi keperluan tadika dan taska di bawah jabatan berkenaan.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan Umno dan BN buat kali pertama gagal mendapatkan mandat rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Di bawah rejim Pakatan Harapan, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP waktu itu dalam Bajet 2019 antara lain mengumumkan peruntukan kepada KEMAS lebih rendah iaitu RM544 juta.

PRU15 pada November 2022 menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti politik mendapat majoriti mudah berjumlah 112 Parlimen bagi menubuhkan Kerajaan.

Susulan itu, Umno mengambil langkah dengan membuat penjajaran politik parti dan atas titah Agong menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Ahmad Zahid atas kedudukanya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional ditaklifkan sebagai Timbalan Pendana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah baru-baru ini menyatakan hasrat untuk mengembangkan lagi potensi serta peranan KEMAS termasuk dengan mewujudkan Tabika khas untuk kanak-kanak autisme di tiap-tiap negeri temasuk Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Noraina Safura berkata usaha Presiden Umno tersebut dibuat pada waktu yang tepat memandangkan indeks kelahiran kanak-kanak austisme saban tahun kian meningkat.

“Pada tahun 2010, hanya 99 kanak-kanak bawah 18 tahun didiagnosis ASD (gangguan spektrum austisme); namun menjelang 2021 menyaksikan bilangan itu meningkat kepada 589 kanak-kanak — dengan peningkatan hampir enam kali ganda.

“Bagi tempoh tahun 2013 hingga 2023, statisti dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah kanak-kanak ASD yang berdaftar meningkat daripada 6,991 orang (2013) kepada 53,313 orang (2023).

“Data terkini menurut laporan New Straits Times, sehingga akhir 2024 terdapat 58,708 kanak-kanak ASD berdaftar — menunjukkan peningkatan berterusan sejak pendaftaran (dengan) JKM.

“Peningkatan angka ini bukan sahaja mencerminkan tahap kesedaran ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak austisme mereka kian meningkat, tetapi untuk Umno juga sebagai parti pemerintah untuk menambah baik sistem sokongan buat keluarga yang ada anak-anak austisme.

“Bagi saya, hasrat mewujudkan Tabika KEMAS khas untuk anak-anak austisme ini boleh merelevankan perjuangan Umno dengan citarasa rakyat teramai pada PRU16 akan datang, kalau konsisten dan benar-benar dirasai oleh mereka terutama ibu muda bekerja yang mempunyai anak-anak istimewa,” jelasnya lagi.

Comments