Titah adendum terhadap Najib wujud, Umno Pulau Pinang mahu kepercayaan rakyat kepada Mahkamah dipulihkan
BATU KAWAN — Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang menyambut baik pengakuan yang dibuat oleh Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan bahawa titah adendum oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pengampunan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak sememangnya wujud dan telah dititahkan secara sah.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Noor Ahmad, kenyataan rasmi itu bukan sahaja mengesahkan kewujudan titah berkenaan, malah membuktikan bahawa UMNO sejak awal berpandukan fakta dan sentiasa memperjuangkan keadilan berpaksikan Perlembagaan serta prinsip Raja Berperlembagaan.
“Pengakuan ini sekaligus menolak segala usaha menafikan kebenaran yang cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu. UMNO bukan membela individu, tetapi membela prinsip dan kedaulatan undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan,” tegasnya yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Kawan dalam satu kenyataan media semalam.
Selain itu, beliau berkata UMNO Pulau Pinang turut menegaskan beberapa pendirian penting, antaranya berhubung kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan dengan integriti tanpa diselindungi oleh helah teknikal atau manipulasi politik.
“Institusi Raja Berperlembagaan tidak wajar dipertikai, lebih-lebih lagi apabila titah Baginda bersifat muktamad dalam urusan pengampunan. Semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri perlu melaksanakan titah tersebut dengan telus, profesional dan tanpa kelengahan.
”Pepatah Arab yang bermaksud: Kebenaran tidak akan lusuh walau masa berlalu panjang”, jelasnya sambil menegaskan bahawa UMNO negeri mahu keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara dipulihkan sesegera mungkin demi agama, bangsa dan tanah air.
Comments
Post a Comment