![]() |
| SUASANA perhimpunan tertutup yang dianjurkan sendiri oleh sekalian Ketua Bahagian Umno Malaysia dari seluruh negara di Hotel Raja Chulan, Kuala Lumpur pada malam ini (17 Julai 2025). |
PENTADBIRAN Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar bin Ibrahim didesak untuk melaksanakan Titah Tambahan (Adendum) berkaitan iaitu membenarkan Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah.
Hasil perbincangan tertutup 160 daripada 191 Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara pada malam ini (17 Julai 2025) turut mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025.
“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusya menjunjung titah Raja dan mendokong keadilan, bukan menghalangnya.
“Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya (pelaksanaan Titah Adendum),” kata mereka dalam satu kenyataan bertulis.
Berlangsung di Hotel Raja Chulan, Kuala Lumpur, mereka turut mencadangkan Bahagian UMNO yang belum mengadakan persidangan tahunan 2025 supaya membawa usul khas mengenai isu Titah Addendum terhadap Mohd Najib.
“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua.
”Ini, bukan hanya soal individu, tetapi adalah soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada Institusi Diraja, dan prinsip keadilan yang wajib dipertahankan bersama,” tegas mereka.
Mereka turut memberitahu bahawa perhimpunan dan perbincangan tertutup yang berlangsung pada malam ini adalah inisiatif daripada Ketua-Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara sendiri.
Seorang Ketua Umno Bahagian dari negeri Pulau Pinang yang dihubungi kemudian mengaku bahawa beliau sendiri mengambil keputusan untuk hadir pertemuan tertutup tersebut, susulan kenyataan rasmi Setiausaha Agung parti, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertarikh 11 Julai lepas.
Menurutnya, rakyat Malaysia telah pun maklum bahawa pada 4 Januari 2025, Istana Pahang secara rasmi memperakukan melalui surat bahawa Titah Adendum tersebut benar-benar wujud dan sahih.
Menurutnya lagi, Mahkamah Rayuan Putrajaya yang bersidang pada 6 Januari 2025 turut memutuskan bahawa Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah wujud dan mempunyai asas perundangan.
“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pihak Peguam Negara telah dengan sengaja menyorokkan titah tersebut lebih dari setahun, tindakan yang amat mendukacitakan seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
“Tindakan menyorok ini jelas melanggar prinsip ketelusan (transparency) dan kebertanggungjawaban (accountability) dalam pentadbiran undang-undang negara.
”Tindakan ini mencemar budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 serta Raja-Raja Melayu secara keseluruhan.
“la juga secara langsung telah menafikan keadilan yang sewajarnya diterima oleh Datuk Sri Mohd Najib,” tegasnya lagi.
Daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara (kecuali negeri Sarawak), difahamkan, Umno mempunyai 191 bahagian dengan kira-kira 2.3 juta ahli berdaftar ketika ini.

Alhamdulillah inilah sepatutnya di ambil oleh UMNO dari dulu lagi,tapi ia nya tertangguh kerana beberapa sebab .Terima Kasih Semua KPD Kepimpinan UMNO Malaysia perihatin didalam ini.Semoga usaha murni ini diberkati Allah Swt kerana pelbagai Masalah yg timbul.Alhamdulillah
ReplyDelete