![]() |
GAMBAR kenangan Rafizi Ramli (kiri) bersama-sama Nurul Izzah Anwar (tengah) dan Khairy Jamaluddin (kanan) yang pernah tular di media sosial sebelum ini. |
KHAIRY Jamaluddin digantung keahlian parti pada 27 Januari 2023 kerana calon Presiden Umno Malaysia itu dianggap melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain menjadi juruhebah radio serta mengendali podcast sendiri bersama-sama sekutunya Shahril Hamdan Sufian (bekas Naib Ketua Pemuda Malaysia), pandangan Khairy kalau relevan sekalipun tidak lagi memeriahkan ‘rumah tangga’ Umno.
Kata seorang pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Pulau Pinang yang enggan identitinya diketahui khalayak, ijtihad politik menggantung keanggotaan Khairy itu sepatutnya turut dilakukan ke atas mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Perwakilan Pemilihan PKR 2025 telahpun memberi mandat kepada Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti, sewajarnya Rafizi terus menyumbang pada parti termasuk tidak melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
“Apabila dia (Rafizi) dalam satu kenyataannya semalam (17 Julai 2025) secara angkuh dilaporkan berkata - kalau digantung keahlian sekali pun tidak akan menutup mulut - elok digantung sahaja macam Umno gantung keanggotaan KJ.
“Kalau dia (Rafizi) nak diam atau bising - macam KJ (Khairy Jamaluddin), biarkan sahaja kerana sudah digantung keahlian; buka lah mulut luas-luas di ‘luar rumah’ parti,” jelasnya.
Memetik sumber Malaysiakini semalam, Rafizi dilaporkan berikrar untuk terus bersuara meskipun ada usaha untuk menutup mulutnya dengan saranan agar keanggotaannya dalam PKR digantung selepas menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti isu pelantikan hakim-hakim kanan.
Masih wakil rakyat PKR bagi kawasan Pandan, Rafizi menegaskan penggantungan terhadap dirinya serta lapan ahli parlimen PKR yang lain tidak akan menyelesaikan sebarang isu yang wujud dalam parti.
Sebaliknya, Rafizi berkata tindakan disiplin hanya akan mencemarkan imej PKR, terutamanya kerana parti itu pernah menghadapi kritikan yang jauh lebih keras daripada ahlinya sendiri.
Kenyataan Rafizi hari ini hadir susulan taklimat khas yang diadakan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bersama ahli parlimen PKR pada 14 Julai lalu.
Terdahulu, seramai 19 ketua cabang PKR Johor menuntut agar Rafizi dan lapan lagi yang senada dengannya digantung kerana melanggar disiplin parti apabila mengadakan sidang media untuk mendesak penubuhan RCI.
Sehari kemudian, 11 ketua cabang PKR Kedah turut menyokong gesaan itu.
Mereka mendakwa Rafizi dan lapan ahli parlimen terbabit melanggar kod etika keahlian PKR di bawah perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan parti, khususnya kewajipan memelihara nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak perbuatan sabotaj dalaman.
Comments
Post a Comment