Culas bayar balik PTPTN disekat ke luar negara, seeloknya kaji pendirian pemuda Umno

SEUSAI bersahur dan solat Subuh di rumah, saya langsung ke pejabat.

Awal. Kurang 4 minit sebelum jam 7.00 pagi telah sampai di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dekat Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Hanya melakukan kerja rutin. Kemas kini sistem rekod masuk keluar pejabat, iAttand, di samping menyaring berita menarik dan perdana pada hari ini.

Menerusi telefon, seorang kenalan lama bertanya lanjut mengenai kenyataan terbaru Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

YB Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata pihaknya menyokong cadangan laksana semula sekatan perjalanan terhadap peminjam PTPTN gagal bayar.

Baginya, peminjam perlu bertanggungjawab dalam pembayaran hutang kepada PTPTN demi generasi akan datang.

Bagi saya, syor Dr Muhamad Akmal itu adalah tidak memadai.

Perlu ada polisi penambah baikan yang lain.

Antaranya, cadangan pemotongan 1/3 atau 2/3 daripada caruman pekerja yang dibuat secara mandatori kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bolehlah saling kolaborasi dengan KWSP untuk memastikan pembayaran balik pinjaman pendidikan kepada PTPTN secara efektif.

Secara efektif ertinya ada pergerakan pembayaran balik bagi pihak peminjam kepada PTPTN, sama ada secara sukarela ataupun ‘paksa rela’ melalui akaun tiga KWSP umpamanya.

Kalau perlu meminda undang-undang berwajib untuk membolehkan operasi ini dilaksanakan, ia adalah wajar.

Idea asal cadangan pemotongan KWSP supaya pembayaran balik pinjaman secara efektif, saya baca dari hantaran Facebook seorang Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Syauqi Ibni Hajar.

ISU BERKAITAN

…pembayaran balik hutang PTPTN untuk generasi akan datang…

Mantara sebegini sering kali kita dengar, sampai telah menjadi kepercayaan hakiki dalam naratif ekonomi arus perdana.

Selain telahan daripada Dr. Muhamad Akmal, sebelum ini saya sendiri sedar ada beberapa pemimpin lain selalu bercakap dalam nada hampir sama.

Naratif ahli politik dan ekonomis arus perdana acap kali menyebut, “beban hutang Kerajaan Persekutuan yang kian tinggi akan diwariskan kepada generasi akan datang.”

Hutang negara Malaysia yang dijana pada Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Ke-3 Malaysia dahulu, tak pernah diwariskan kepada generasi hari ini seperti saya pun.

Saya hanya bayar hutang peribadi saya dengan bank sahaja, sama ada berkaitan pinjamkan perumahan ataupun sewa beli kereta sahaja. Ini, hakikatnya.

Segala hutang pinjaman pendidikan dengan PTPTN pun, telah lama saya langsaikan.

Seandainya saya adalah antara kelompok yang culas bayar hutang dengan PTPTN pun, kemudian saya meninggal dunia, secara automatik hutang saya itu tidak pernah diwariskan kepada mana-mana anggota keluarga saya yang lain.

Secara perundangan, liabiliti hutang dengan PTPTN adalah selagi mana saya hidup dan apabila telah mati; kerana, tiap-tiap peminjam PTPTN dilindungi oleh Skim Pelindinhan Kelompok.

Jadi, sebab apa naratif seperti di atas terus dikitar oleh ejen politik parti pemerintah?

Jawapan paling mudah, adalah untuk mengelirukan rakyat konon-kononnya Kerajaan Persekutuan pun mempunyai kekangan berbelanja sama seperti sektor isi rumah iaitu rakyat.

Rakyat, seperti saya, memang ada kekangan berbelanja.

Kalau nak berbelanja lebih, sama ada perlu menggunakan duit simpanan dalam bank peribadi saya ataupun meminjam daripada mak ayah atau kawan-kawan atau syarikat atau bank perdagangan (contoh: Maybank) yang mana semua ini adalah antara entiti dalam sektor isu rumah rakyat.

Kerajaan Persekutuan, secara perundangan memang tidak ada kekangan pun untuk berbelanja lebih (defisit spending) mengikut keperluan sebenar rakyat, selagi mana perbelanjaan itu dalam didominasi Ringgit.

Ini kerana, Kerajaan Persekutuan merupakan pihak tunggal yang mengeluarkan dan memonopoli pengeluaran Ringgit.

Fahamnya di sini, perbelanjaan fiskal wujud berdaaarkan program fiskal apa yang Kerajaan Persekutuan nak buat.

Melalui Treasury, bon kerajaan diterbitkan, lalu dibeli oleh depositor guaranteed seperti KWSP dll, perbelanjaan fiskal dalam Ringgit itu wujud.

Katakanlah Kerajaan Persekutuan melalui MRT Corp. nak membina LRT Laluan Mutiara dengan peruntukan awalan sejumlah RM10 bilion, tidak perlu tunggu ada sejumlah RM10 bilion dalam Kumpulan Wang Disatukan (Treasury Account) terlebih dahulu, baru perbelanjaan fiskal boleh dibuat ke akaun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) persekutuan.

Dan, risiko terbesar di sebalik perbelanjaan defisit adalah inflasi sahaja, tidak akan membawa negara dan kerajaan bankrap pun.

Perbelanjaan fiskal adalah salah satu cara membawa masuk duit ke dalam ekonomi.

Untuk menarik keluar duit dalam sektor-sektor spekulatif dalam ekonomi negara, bukan Kerajaan Persekutuan tidak boleh buat dengan mengenakan cukai-cukai tertentu kepada sektor-sektor bukan kerajaan (orang perseorangan, firma korporat dan syarikat bank perdagangan).

Jadi, kalau Kerajaan Persekutuan hampir tiada kekangan langsung untuk berbelanja lebih (dalam dedominasi Ringgit) bagi memenuhi keperluan sebenar rakyat, kenapa tidak nyah hutang PTPTN sahaja.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bank pusat telah diberi mandat untuk mengawal pengoperasi pasaran kewangan negara serta teras ekonomi negara tidak mungkin akan berbuat demikian.

Ini kerana, akan mewujudkan ketidakstabilan secara politik dan ekonomi apabila ada protes daripada pihak yang telahpun melangsaikan hutang, jika Kerajaan Persekutuan melaksanakan nyah hutang lapuk PTPTN.

Justeru, syor pemotongan 1/3 atau 2/3 caruman pekerja kepada KWSP untuk memastikan pembayaran balik tunggakan hutang kepada KWSP agar efektif adalah wajar.

Kalau sekat mereka yang culas bayar tunggakan hutang PTPTN sahaja diambil, secara politik, mungkin tidak menjana sokongan rakyat terutama pihak yang asa kepentingan dalam isu berbangkit ini.

Paling penting, ‘jangan menanam tebu tepi bibir’ macam ejen politik parti Pembangkang sebelum PRU14 (2018) yang bercakap keperluan nyah hutang lapuk PTPTN serta ‘ke arah pendidikan percuma’.

Dah mendapat mandat kuasa serta menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan hari ini, mereka bak peribahasa, ‘paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu’ yang bermaksud bercakap besar tetapi bukti kerja tidak ada.

Sekian.

Comments