PERGOLAKAN dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tak berkesudahan hatta mengakibatkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) seolah-olah kian menjarakkan diri.
Lalu, Bersatu cuba merelevenkan kedudukannya dalam landskap politik negara dengan mendekati ‘kawan lama’ iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan hasrat untuk menjalinkan semula kerjasama politik dengan Umno, seperti sebelum ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berkata tiada sebab bagi UMNO dan Bersatu untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Pujuknya lagi, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja.
"Saya tak nampak pun pertembungan yang menyebabkan UMNO dengan Bersatu tidak boleh duduk semeja.
“Justeru, pemimpin juga perlu membuang ego dan mengukuhkan prinsip berterus terang demi kepentingan negara," katanya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika menjadi tetamu siri audio siar Keluar Sekejap dihoskan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO,Shahril Sufian Hamdan pada Jumaat.
Comments
Post a Comment