Menteri gigih promosi insurans swasta, jururawat 'tertekan' sanggup pencen awal



MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sahaja dilihat bersungguh-sungguh mahu mewujudkan skim insurans kesihatan asas swasta konon-konon untuk menangani lambakan pesakit yang kian menekan di hospital dan klinik kesihatan.

Walhal ada pelbagai lagi isu releven perlu ditangani segera ketika ini selain penempatan tetap lebih 2,000 pegawai perubatan yang dibatalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlarutan.

Antaranya, beban tugas berlebihan serta keletihan emosi melampau yang dihadapi oleh jururawat di kebanyakan hospital kerajaan, sampai ada dalam kalangan mereka tidak sangguh menunggu usia 60 tahun untuk bersara wajib dan sanggup melepaskan jawatannya lebih awal dari tempoh itu.

Pensyarah Kanan Program ­Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Rezki Perdani Sawai berkata, berdasarkan kajian diterbitkan Journal of Advanced Nursing dan dalam konteks negara ini, trend jururawat bersara awal meningkat selepas pandemik Covid-19.

“Faktor lain menyumbang kepada isu jururawat berhenti kerja lebih awal adalah disebabkan tempoh masa bekerja yang panjang, kurang kawalan, konflik dengan individu, tekanan psikososial, kurang ganjaran dan masalah dalaman organisasi,” jelasnya kepada Sinar Harian hari ini.



Pesakit semakin ramai, terpaksa bertugas dua syif

Persatuan Jururawat Islam Malaysia (INAM) mengakui sebilangan jururawat negara ini memohon bersara awal selepas lebih 10 tahun berkhidmat dengan KKM.

Pengerusinya, Zamri Shahri berkata, bebanan kerja semakin bertambah antara sebab kakitangan perubatan itu mengambil keputusan tersebut.

“Kita menerima aduan berhubung perkara tersebut termasuk sewaktu mengadakan perjumpaan dengan ahli.

"Kebanyakan mereka mengadu tekanan di tempat kerja akibat bilangan pesakit semakin ramai, sehingga ada yang terpaksa bertugas dua syif atau pada hari cuti,” katanya.

Ujar Zamri, trend bersara awal dalam kalangan jururawat tempatan boleh memberi kesan negatif kepada negara.

Diburukkan lagi apabila nisbah bilangan jururawat dan pesakit di negara ini masih belum mencapai saranan­ Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Bersara awal jejaskan sistem kesihatan Malaysia

Kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini akan merosot sekiranya ramai jururawat mengambil keputusan untuk bersara awal.

Pakar perunding motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, situasi tersebut bukan sahaja merugikan negara, tetapi rakyat secara amnya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan mencari formula terbaik agar negara tidak berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor kesihatan.

Menurutnya, KKM perlu menyediakan sistem sokongan bagi membolehkan jururawat saling mendengar rintihan, meluahkan perasaan, pandangan dan memberi bantuan sesama sendiri.

“KKM dan majikan wajar melakukan kaji selidik secara berkala bagi mengukur tahap kesihatan mental dan tekanan dihadapi petugas kesihatan termasuk jururawat di seluruh negara.

“Sediakan akses mudah kepada kaunselor serta sistem mentor dan menti terutama untuk jururawat yang baru bekerja,” katanya.

Ujar Tengku Asmadi, Malaysia boleh mencontohi negara maju seperti United Kingdom yang menerapkan polisi Safe Staffing Level bagi memastikan nisbah jururawat kepada pesakit mencukupi.

Malah Australia juga mempunyai Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan yang menyediakan kaunseling percuma, latihan kesihatan­ mental dan waktu kerja lebih anjal kepada jururawat.


Negara tanggung kos tinggi untuk latih jururawat baharu

Negara berdepan peningkatan kos bagi melatih tenaga kerja dalam bidang perubatan sekiranya ramai jururawat memilih untuk bersara lebih awal.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pengambilan jururawat dan latihan melibatkan kos tinggi yang perlu ditanggung kerajaan.

“Apabila mereka memilih bersara awal, sudah pasti memberi kesan terutama peningkatan beban kerja disebabkan kekurangan tenaga pekerja.

“Ini meningkatkan kos latihan dan pengambilan kerana terpaksa rekrut pekerja baharu dengan kemahiran lebih intensif dan berteknologi,” katanya.

Abdul Rais mengakui isu gaji sering menjadi inti pati perbualan dalam kalangan kakitangan kesihatan kerana mereka berpendapat ia tidak setimpal dengan beban tugas.

Selain itu, perbandingan gaji dengan negara jiran mendorong kumpulan tersebut memilih berhijrah dan berkhidmat di luar negara.

“Fenomena bersara awal ini berpunca daripada pelbagai faktor. Tidak boleh dinafikan isu pendapatan antara sebab mereka memilih untuk menamatkan perkhidmatan,” katanya.


Ura-ura tambah waktu kerja, jururawat jadi tawar hati


Kurang masa untuk diri sendiri atau bersama keluarga disebabkan sibuk bertugas menjadi antara faktor sebilangan jururawat terutama di hospital kerajaan lebih cenderung bersara awal berbanding berkhidmat sehingga usia 60 tahun.

Jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Munirah berkata, dia sudah berkira-kira untuk berhenti kerja, malah semakin nekad untuk berbuat demikian selepas mendengar khabar bahawa tempoh jam bertugas akan bertambah.

“Selepas ada ura-ura waktu tambahan satu jam akan dilaksanakan, saya terus jadi tawar hati dengan kerja. Banyak perkara perlu saya ambil kira termasuk upah tambahan kepada pengasuh apabila pulang lewat nanti.

“Sekarang pun waktu saya dengan anak-anak yang masih kecil memang kurang. Balik kerja jam 9 malam, sampai rumah 10 malam, anak-anak semua sudah tidur,” katanya.

Munirah yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang berkata, sepanjang berkhidmat sebagai jururawat, perkara paling sukar ialah memohon cuti.

Ujar Munirah, sukar untuk mengambil cuti panjang menyebabkan dia sangat jarang dapat berkumpul bersama ahli keluarga lain di kampung.


'Keputusan sukar dan penuh risiko'

Memilih bersara awal sebagai jururawat di hospital kerajaan pada tahun lalu merupakan satu keputusan sukar dan penuh risiko bagi Suhaida Makhtar, 49.

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak sia-sia apabila perjalanan kerjayanya menjadi lebih baik apabila berpeluang merasai suasana bekerja di hospital luar negara dan hospital swasta selepas itu.

Menurut Suhaida, kerjaya yang diceburi sejak tahun 1999 itu memang pilihannya kerana selain minat, menjadi kebanggaan baginya dapat berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.

Bekas penuntut Kolej ­Kejururawatan­ Klang itu berkata, selepas menamatkan pengajian, dia ditugaskan berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan gaji kira-kira RM1,200 ketika itu.

“Masa mula-mula bertugas cukup gembira. Suasana tempat kerja baik, rakan setugas yang ramah dan rutin tugas juga tidak terlalu membebankan.

“Saya dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya hingga dipilih sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) pada 2008,” katanya.

Ibu kepada tiga anak berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, perjalanan kerjayanya di hospital kerajaan mula tergugat dan terlintas untuk bersara lebih awal.

“Banyak faktor sebenarnya. Salah satunya terdorong bila lihat rakan setugas memilih untuk bersara atas pelbagai alasan termasuk bebanan tugas dan tekanan di tempat kerja.

“Rata-rata yang bersara awal ini memilih untuk bekerja sebagai jururawat di luar negara termasuk Arab Saudi kerana tawaran gaji yang jauh lebih besar dan manfaat lain yang sangat menarik,” katanya.

Suhaida berkata, selepas 16 tahun berkhidmat, dia membuat keputusan berani bersara awal di usia 40 tahun pada 2016 dengan jawatan terakhir sebagai ketua jururawat.


Jadual kerja padat, kekangan tenaga kerja

Lapan tahun berkhidmat di sebuah hospital dengan bebanan tugas akibat kekurangan tenaga kerja menyebabkan seorang jururawat nekad melepaskan jawatannya.

Siti Nor Arbaiah Jusoh, 37, berkata, ia satu keputusan yang sukar namun terpaksa diambil kerana jadual kerja padat dan jumlah pesakit semakin ramai.

“Kadang-kadang saya hanya ditemani tiga hingga empat jururawat secara bergilir-gilir. Dengan bilangan pesakit yang boleh mencapai sehingga 35 orang dalam satu wad dan keadaan ini memberi tekanan sangat tinggi,” ujarnya.

Menurutnya yang memulakan tugas sebagai jururawat pada tahun 2013 dan menamatkan perkhidmatan 2021, ada masa tertentu dia seperti tidak mahu pergi ke tempat kerja akibat tekanan­.

“Saya rasa tertekan dan tidak sanggup lagi melalui keadaan sedemikian rupa. Saya berusaha untuk memohon berpindah ke unit lain, tapi masih sukar dan mungkin mengambil masa bertahun untuk dapat,” katanya.

Dia kini lebih tenang selepas bersara dan gembira kerana dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan lebih terurus.

Pada masa ini, dia membantu suaminya, Sharil Hussein, 43, menguruskan Pusat Jagaan Warga Tua Selangor Relief Agency (SRA) di Kuala Selangor yang beroperasi sejak Januari 2020.


Comments