Ku Li gesa URA tak pinggirkan Melayu bandar

VETERAN Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang mesra dipanggil Ku Li menggesa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan, dipinda supaya tidak mengusir orang-orang Melayu yang beragama Islam dari arus kemajuan bandar.

Tegasnya, cadangan Kerajaan Persekutuan berhubung idea mewujudkan URA itu ketika ini masih meruangkan risiko orang Melayu dan umat Islam diusir keluar dari kawasan bandar.

Ini kerana katanya pelaksanaan URA akan meningkatkan kos yang mana sekali gus memaksa orang Melayu dan golongan miskin terpaksa berhijrah keluar dari tempat asal mereka bermastautin di bandar.

"Cukai bandar akan naik, cukai taksiran akan naik dan orang yang berpendapatan tak banyak sudah tentu tak dapat nak melayan ataupun memenuhi tuntutan masyarakat bandar.

"Jadi, mungkin terpaksa pindah ataupun jual rumahnya ataupun berhenti menyewa agar dapat berpindah kepada tempat yang murah, yang lebih padan dengan pendapatan.

”Akhirnya mereka akan keluar dari bandar. 

"...Jadi saya tak fikir orang Melayu mampu. Dengan sendirinya, perbuatan ini (URA) akan mengusir orang Melayu dari tempat mereka tinggal," katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, beliau berpendapat pindaan perlu dilakukan berkaitan beberapa aspek sebelum dia bersetuju dengannya.

"Umpamanya, tidak akan berlaku perubahan kepada penilaian kawasan-kawasan yang dimajukan oleh pemaju ataupun kerajaan," katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Meng yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyanggah dakwaan pelbagai pihak konon-konon URA akan menindas Melayu bandar.

Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dalam kenyataan berasingan antara lain dilaporkan berdalih mereka yang menentang URA ada agenda untuk memastikan Melayu bandar terus miskin.

Pada 20 Februari lepas, Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad turut menganggap URA akan usir orang susah dari bandar sebagai sangkaan berasas.


SEHINGGA kini Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekeras-kerasnya menafikan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan digubal akan mengusir golongan susah yang tinggal di bandar.

Akta itu akan membolehkan kadar ambang persetujuan 100% penduduk, akan diturunkan sehingga 51%.

Kalau pemerintah Singapura boleh berjaya melaksanakan agenda pembaharuan semula bandar dengan akta berkaitan ini, takkan Malaysia tak boleh?

Menyorot sejarah, pemerintah Singapura sejak merdeka pada tahun 1965 lagi menyedari negara itu menghadapi isu bank tanah yang terhad.

Pada tahun 1966, Akta Pengambilan Tanah telahpun digubal, yang mana membolehkan pemerintah secara agresif mengambil alih tanah untuk tujuan kepentingan awam seperti perumahan, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

Hasilnya kini, kira-kira 90% tanah Singapura adalah milik pemerintah.

Selain 90% pegangan tanah, sejak 1960-an lagi sektor perumahan negara juga boleh dianggap dimonopoli oleh agensi pemerintah iaitu Housing Development Board (HDB).

HDP merupakan pihak tunggal yang diberi mandat dalam proses merancang, membina, mengagih dan menyelenggara rumah mampu milik selesa.

Seseorang yang telah mempunyai rumah selesa, wajib menyerahkan kembali unit kediaman tersebut kepada HDB sahaja, sebelum berpindah ke rumah baharu.

Transaksi unit kediaman kepada HDB, tanpa bergantung pada pergerakan pasaran bebas sebegini, memang dapat mencegah gelembung hartanah (property bubble).

Macam manusia yang ada hayat hidup (life time), unit kediaman pun ada nilai guna (use value).

Bertempoh 30 tahun, satu-satu unit kediaman berstrata kalau masih ada nilai guna pun, mesti akan ketinggalan dari aspek rekabentuk seni bina.

Jadi, menerusi Selective En-bloc Redevelopment Scheme (SERS), HDB Singapura akan memilih blok perumahan lama untuk dibangunkan semula; menawarkan pampasan kepada pemilik dan menyediakan perumahan gantian dengan fasiliti moden.

Berbekalkan pelan induk seperti Kawasan Pembangunan Semula dan Akta Pembaharuan Semula Bandar, memang memudahkan pemerintah melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) membangunkan semua kawasan-kawasan sedia ada.

Contohnya, projek pembangunan bercampur yang dilaksanakan di kawasan strategik seperti Marina Bay, Punggol, dan Kampong Bugis.

Berbalik pada cadangan KPKT nak mengubal Akta Pembaharuan Semula Bandar, negara kita tidak sama seperti Singapura.

90 peratus tanah di Malaysia bukan milik Kerajaan pun, baik pada peringkat persekutuan mahupun negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Begitu juga dalam sektor perumahan negara, menyaksikan Malaysia tiada agensi tunggal yang diberi mandat membekalkan rumah selesa kepada rakyat.

Dalam konteks Pulau Pinang, sektor perumahan negeri lebih didominasi oleh syarikat-syarikat pemaju swasta, berbanding agensi negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atau Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) sendiri.

Dalam projek pembaharuan semula bandar yang melibatkan penduduk asal Kampung Manis dan dua kampung lain umpamanya, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku tuan tanah lebih sanggup menyerahkan tanahnya kepada pemaju swasta iaitu Tetuan Rivanis Ventures Sdn. Bhd..

Kenapa tidak PDC atau LPNPP sendiri yang melaksanakan projek roboh bina baharu unit kediaman rakyat; macam HDB dan URA buat untuk rakyat Singapura?

Jawapannya, sebab Kerajaan tak memonopoli dan mendominasi sektor tanah dan hartanah negara, macam pemerintah Singapura.

Ketidakmampuan agensi kerajaan dalam mendominasi sektor tanah dan hartanah jenis kediaman negara, hanya akan memberi kelebihan kepada pemaju swasta untuk ‘menangguk di air keruh’, jika Akta Pembaharuan Semula Bandar digubal dan dikuatkuasakan kelak.

Kesimpulannya, Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan digubal akan mengusir golongan susah yang tinggal di bandar adalah suatu sangkaan berasas, selagi KPKT tidak terlebih dahulu menubuhkan HDB dan URA ala pemerintah Singapura untuk mendominasi sektor tanah dan perumahan negara.

DATUK MOHD NOOR BIN AHMAD

Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang

Comments