Kilang dan hotel ‘haram’ boleh ‘diputihkan’, takkan RIBI tidak?

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akhirnya bersuara bahawa kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang, perlu dipindahkan atau dirobohkan kerana tidak mengikut perundangan.

Tegasnya sebelum ini pun ada masjid dan surau dirobohkan kerana didirikan tidak mengikut undang-undang.

Sementara menunggu bermula majlis berbuka puasa semalam di Masjid Al-Muhsin Simpang Tiga Tasek Gelugor semalam (24 Mac 2025), dua wartawan bukan beragama Islam bertanya saya mengenai isu berbangkit tersebut.

Fikir saya, kedua-dua sahabat saya berkenaan telah sedia maklum apa konsekuensi apabila satu-satu struktur dibina tanpa mendapat kebenaran tuan tanah dan kelulusan pelan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dari segi lain, kita patut tengok kewujudan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) yang telah sedia wujud dalam jendela yang berbeza dengan unit hartanah persendirian.

Rumah bertanah adalah contoh hartanah persendirian, dan kalau dibina atas tanah orang lain, memang patut pun dianggap menceroboh ketuanpunyaan tanah.

RIBI, bukan milik mana-mana individu secara persendirian. Dan, kalau dipertikaikan kewujudannya atas tanah milik kerajaan atau tanah milik orang lain pun, harus ada langkah-langkah mitigasi yang lebih wajar.

Dalam konteks Pulau Pinang, sejak tahun 2017, Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melaksanakan macam-macam langkah pemutihan ke atas hotel dan kilang-kilang ‘haram’.

Pihak berkuasa tempatan mendapat faedah dalam bentuk bayaran denda, sementara premis-premis komersial tersebut diubah suai supaya sejajar dengan undang-undang berwajib dan ‘selamat’ untuk didiami.

“Kalau sebuah Kerajaan Negeri yang progresif boleh melakukan langkah pemutihan kilang-kilang dan hotel ‘haram’, takkan lah Kerajaan Persekutuan yang mahu lebih progresif di mata semua rakyat baik Melayu dan bukan Melayu tidak boleh melakukan lebih daripada opsyen meroboh sebuah kuil untuk membina Masjid Madani di atas ‘tanah emas’ tersebut.

”Di Kuala Lumpur bukan tidak ada langsung bank tanah lain, bahkan ada banyak tanah-tanah gred AAA yang tak produktif sebab di atasnya ada banyak projek pembinaan terbengkalai - kenapa tak rampas sahaja daripada syarikat pemaju spekulatif swasta untuk tujuan kepentingan awam?”

”Kalau tak mahu pakai Akta Pengambilan Tanah, 1960; bagi syarikat pemaju spekulatif swasta yang tidak membayar cukai tanah, Pejabat Tanah dan Daerah atau PTD sebenarnya boleh menggunakan Seksyen 100 Kanun Tanah Negara Notis 8A untuk rampas balik tanah tersebut demi kepentingan awam - sama ada untuk tujuan pemindaan kuil tersebut mahupun tapak alternatif Masjid Madani,” jelas saya lagi sambil menegaskan bahawa Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif, bukan sebaliknya.

Selepas ini, dalam semua permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dikemukakan kepada PBT, mesti disyaratkan tanah rizab secara khusus untuk masjid, RIBI, sekolah kerajaan dll, tidak boleh dilepaskan kepada pemaju swasta asalkan boleh membayar duit pampasan ganti.

Di samping itu, dari sudut pandang agama pun, bukan progresif sangat pun ketegasan merobohkan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dikatakan telah lama wujud, atas dalih negara ini ada hukum dll.

Di negara yang ada hukum ini, telah banyak hotel ‘haram’ dan kilang ‘haram’ yang mendapat bantahan penduduk setempat sebab menjejas alam semula jadi dan kepentingan awam, kini diputihkan.

Sesungguhnya petunjuk Al-Quran sangat melarang kerja-kerja merobohkan rumah ibadat bukan Islam (RIBI).

Dalil;

“Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, rumah ibadah Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Dan sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

[Surah Al-Hajj : 40]

Istibdal;

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf kewujudan rumah ibadat agama lain dan melarang pemusnahan tempat-tempat ibadat mereka.

Sebagai kesimpulan, seperkara saya tertanya-tanya dalam diri ini.

Demi nak menjaga kepentingan kaum pemodal, kalau hotel atau kilang ‘haram’ boleh diputihkan; memadai dirobohkan kuil atas dalih negara ini ada hukum dan ada cadangan nak membina Masjid Madani?

Persoalan ini, tak tergamak saya tanya balik kepada dua pengamal media ‘non-Muslim’ di meja makan malam untuk menggoncang pemikiran mereka, semalam.

Comments