Indeks kebahagian rakyat Malaysia jatuh lima anak tangga, ke kedudukan ke-64

[Kapsyen Gambar] RAFIDAH Ibrahim (kiri sekali) dan sekalian orang Melayu yang akan diusir dari rumah mereka dekat Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur menjelang Aidilfitri ini mungkin antara kelompok rakyat yang tidak bahagia dengan polisi Kerajaan Persekutuan kini.

INDEKS kebahagiaan rakyat Malaysia jatuh lima anak tangga ke kedudukan 64 dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2025 yang disediakan Gallup.

Firma penyelidik berkata laporan itu dibuat hasil kerjasama antara pihaknya bersama Oxford Wellbeing Research Centre dan UN Sustainable Development Solutions Network yang menganalisis tempoh antara 2022 hingga 2024 melibatkan kira-kira 1,000 responden dari 147 negara.

Menurutnya, penyelidik mengenal pasti beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk antaranya sokongan sosial, pendapatan, kebebasan kesihatan dan persepsi terhadap rasuah.

“Malaysia menduduki tempat ke-4 dalam kalangan anggota ASEAN, malah menjadi antara empat negara teratas di dunia di mana rakyatnya paling kerap berkongsi makanan bersama.

“Rakyat Malaysia berkongsi kira-kira 11 hidangan seminggu dengan orang lain,” katanya pada Khamis.

Gallup memberitahu, dalam kalangan negara ASEAN, Singapura menduduki tempat pertama iaitu di tangga ke-34, diikuti Vietnam di tempat ke-46 dan Thailand di kedudukan ke-49.

Tambahnya, Indonesia pula berada di tangga ke-83, disusuli Laos (93), Kemboja (124) dan Myanmar (126).

Comments