Bukan kuil saja, masjid pun pernah dirobohkan kerana tak ikut undang-undang - Anwar Ibrahim

MASJID atau surau yang dibina tanpa mendapat kebenaran tuan tanah serta kelulusan pelan kebenaran merancang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini pernah dirobohkan.

Justeru respons Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang, perlu dipindahkan atau dirobohkan kerana tidak mengikut perundangan.

Kuil itu dikatakan telah dibina pada 1893, beberapa dekad sebelum DBKL dan agensi pendahulunya ditubuhkan.

Selepas Merdeka, DBKL menjadi pemilik tanah tersebut sebelum ia dijual pada 2014 kepada syarikat tekstil Jakel Group.

Jakel baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk membina sebuah masjid di sana, yang akan dinamakan Masjid Madani, dengan Anwar dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah pada Khamis ini.

Pernah Roboh Masjid Sebab Tak Ikut Undang-Undang

Sambil berkata kuil itu perlu dipindahkan, Anwar menegaskan bahawa ia bukan rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.

“Saya seorang Muslim, mahu jadi Muslimin Hakikiyun. Saya tidak pernah diajar oleh agama saya untuk memusuhi dan merosakkan harta benda mereka, tetapi jangan mereka anggap bahawa kita ini lemah.

“Ada masjid di Lahad Datu (Sabah) yang dirobohkan kerana tak ikut aturan. Ada surau di Perak yang dirobohkan... dan majlis agama memutuskan ada masjid di Sentul yang dirobohkan.

“Jadi bagi kita negara ini mesti tegak atas hukum,” tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa berucap sempena sambutan Hari Polis ke-218 pagi tadi.

Comments