Bantuan bencana banjir ke Johor diselaraskan, kata Presiden Umno Malaysia

HUJAN lebat yang berterusan sejak tiga hari lepas telah mengakibatkan air sungai di beberapa daerah dekat negeri Johor kini berada pada paras berbahaya serta dipantau rapi oleh pihak berwajib.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno Malaysia menyeru semua pihak agar lebih berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

“Saya telah menerima laporan mengenai situasi banjir yang melanda beberapa daerah di Johor, khususnya Johor Bahru, Kulai, dan Pontian, yang mengakibatkan hampir 900 penduduk terpaksa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Kata Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah itu lagi, usaha bantuan bersama agensi berkaitan terus diselaraskan bagi memastikan setiap keperluan mangsa banjir dipenuhi dengan segera.

“Kerajaan komited untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan mengambil segala langkah perlu bagi menangani situasi ini dengan sebaiknya.

“Saya mendoakan agar semua yang terjejas diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan segera pulih dan urusan bantuan dipermudahkan,” katanya dipetik sumber UMNO Online.

Comments