5 contoh negara nation yang mendaulatkan tulisan, bahasa bangsanya

GAMBAR kenang-kenangan di puncak Monopark, Gunung Pyeongchang, Korea Selatan pada 19 Januari 2025.

SAMBIL membaca lambakan berita arus perdana menjelang masuk waktu Solat Jumaat ini, saya suka berita di bawah ini;

Al-Sultan Abdullah bertitah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga sudah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak boleh dipinda selain mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

Titah baginda, tulisan jawi pula warisan bangsa yang mengalir dalam naskhah sejarah sejak lebih seribu tahun dengan merakam hikayat keagungan, mentranskrip undang-undang, mengabadikan perjanjian dan menyebarluaskan ilmu.

“Tulisan ini jugalah yang mengajarkan umat akan ayat suci, membentuk adab dan mengukuhkan keilmuan. Maka usaha memartabatkan tulisan jawi bukan sekadar nostalgia silam tetapi amanah yang wajib kita pikul,” titah baginda dipetik dari sumber Utusan Malaysia.

Umno dan BN buat kali pertama gagal membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14, pada 5 Mei 2018.

Dan, saya sertai Umno pada tahun 2019 iaitu semasa parti keramat itu berada dalam blok pembangkang.

Ada banyak sebab saya sertai Umno, dan sebab paling besar adalah kerana saya melihat polisi ekonomi era Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Ke-6 Malaysia adalah jauh lebih progresif serta memihak kepada rakyat teramai; berbanding dasar ekonomi neoliberal selama 22 bulan Kerajaan Persekutuan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH).

Ya, sebelum masuk Umno, saya adalah penyokong tegar Pakatan Harapan (PH).

Sebelum masuk Umno, saya adalah Ketua Penerangan penaja Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Pulau Pinang.

Itu cerita lama. Belajar dari cerita lama dan berubah, lebih baik daripada langsung tidak belajar sesuatu daripada pengalaman diri yang lepas.

Semasa duduk dalam khemah besar PH, saya lihat beberapa kawan-kawan bersungguh-sungguh cuba bercakap dalam bahasa Inggeris (walaupun berterabur tatabahasa percakapan mereka).

Kata seorang kawan, nak jadi ahli politik PH mesti pandai dan lambang kepandaian seseorang ahli politik adalah kepetahan mereka bercakap bahasa Inggeris.

Semasa itu, saya termakan juga dengan hasutan kawan berkenaan, konon-konon punca Melayu payah dapat kerjaya berkualiti dengan gaji yang menarik selepas graduasi adalah disebabkan tak pandai cakap orang putih.

Sampai suatu masa, selepas saya menyertai Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) dan kemudiannya menyertai Umno, seorang ejen politik dalam parti keramat itu telah mengubah terus kepercayaan lama - kononnya kena pandai bahasa Inggeris baru senang dapat kerja dan negara akan maju.

“Di Amerika Syarikat, kadar pengangguran semasa tinggi juga disebabkan kegagalan Rumah Putih mengadakan polisi releven ikut keperluan semasa rakyat; walhal rakyatnya berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Tanya beliau lagi, berpidato rojak - seperti Anwar Ibrahim yang sekejap berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris - adakah melambangkang beliau bijak dalam mengadakan polisi fiskal ikut keperluan sebenar ekonomi rakyat?

Semasa itu, saya memang tidak ada jawapan sebab Anwar Ibrahim masih Ketua Pembangkang yang mengetuai Pakatan Harapan.

Sekarang, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), dan polisi-polisinya yang hmmmmm telah memberi jawapan pada soalan kawan saya beberapa tahun lepas.

Berikut adalah lima negara nation yang maju dengan mendaulatkan tulisan dan bahasa bangsa mereka;

1. Jepun

Negara nation contoh yang sangat menjaga dan memartabatkan bahasa Jepun (Nihongo) serta sistem tulisan mereka (Kanji, Hiragana, dan Katakana). Walaupun mereka menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris, mereka tetap mengutamakan bahasa sendiri dalam urusan pentadbiran, pendidikan, dan teknologi.

2. Korea Selatan

Korea Selatan memperkukuh identiti bangsa melalui Hangul, sistem tulisan yang dicipta khusus untuk rakyat Korea. Walaupun dunia semakin global, negara nation berkenaan tetap menjadikan Hangul sebagai bahasa utama dalam pendidikan, undang-undang, dan budaya.

3. Republik Rakyat China

Negara blok Parti Komunis China (CPC) itu telah jauh meninggalkan Amerika Syarikat sendiri dari segi pertumbuhan ekonomi negara. Namun, Bahasa Mandarin (Putonghua) dan tulisan Hanzi dipertahankan sebagai bahasa utama negara. Dengan populasi besar dan kekuatan ekonomi, negara republik rakyat tersebut memastikan bahasanya digunakan dalam semua sektor, termasuk diplomasi dan teknologi.

4. Perancis

Salah satu contoh negara dalam Eurozone, merujuk kepada kumpulan negara dalam Kesatuan Eropah (EU) yang menggunakan mata wang Euro (€) sebagai mata wang rasmi mereka. Perancis terkenal dengan polisi ketat dalam mempertahankan bahasa Perancis. Akademi Perancis (Académie Française) ditubuhkan untuk memastikan bahasa Perancis tidak dicemari pengaruh asing, termasuk dalam sains dan teknologi.

5. Jerman

Satu lagi contoh negara nation dalam Eurozone. Jerman menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa utama dalam semua sektor termasuk pendidikan tinggi, industri, dan undang-undang. Mereka kurang bergantung kepada bahasa Inggeris walaupun menjadi kuasa ekonomi terbesar di Eropah.

Kesimpulannya, negara-negara nation ini menunjukkan bahawa mendaulatkan bahasa sendiri bukan hanya soal identiti, tetapi juga strategi untuk membina keunggulan ekonomi, teknologi, dan budaya di peringkat global.

Patik menjunjung sembang segala titah Tuanku Al-Sultan Abdullah yang mahu tulisan Jawi dan bahasa Melayu kian dimartabatkan di negara nation bernama Malaysia.

Sekian.

Comments