Tommy Thomas dan agenda Institutional Reform Jabatan Peguam Negara

SECARA rasmi, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan sendirinya terpecat apabila Agong memperkenan menerima syor Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara (AG) yang baru.

Ramai rakyat ternanti-nanti saat ini, terutama mereka yang tidak berpuas hati terhadap sikap terpilih Mohamad Apandi dahulu, dalam pelbagai skandal membabitkan kepentingan rejim kleptokrasi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi mereka yang mengikuti erat peguam veteran Tommy Thomas, harapan yang besar agar Jabatan Peguam Negara selepas ini tidak lagi tunduk pada mana-mana kepentingan rejim.

Andai selepas ini, ada desakan untuk membuka semula kertas pendakwaan terhadap skandal judi Forex umpamanya, kalau Dr Mahathir ataupun bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mahu campur tangan sekali pun, Tommy Thomas boleh lah memperlihat dirinya terus prinsip profesional.

Sementara menanti Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan amat sempena Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di TheTOP dekat Komtar pada pagi ini, saya di kerusi hadirin sedang mencuri masa untuk memikirkan soal agenda mereformasi institusi (institutional reform) termasuk Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, saya ingat bukan Mohamad Apandi sahaja yang dipertikai kerana dilihat erat dengan rejim kleptokrasi Najib.

Bahkan, waktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku diracuni dalam penjara kira-kira 20 tahun dahulu pun, Allahyarhamuhu Tan Sri Mokhtar Abdullah ketika menjadi AG pun dilihat tidak profesional juga.

Mokhtar dalam reaksi spontan berkata, mungkin bekas timbalan perdana menteri itu diracuni oleh keluarganya sendiri.

Mokhtar dilihat erat dengan kepentingan Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri keempat) yang sedang berseteru dengan Anwar.

Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Abu Talib Othman pun pernah dikritik hebat kerana mempertahankan tindak-tanduk pentadbrian Dr Mahathir pada pertengah era 1980-an kerana melancarkan Operasi Lalang. 

Walhal, menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa AG diberikan kuasa yang begitu luas terutama dalam soal-soal pendakwaan.

Ia merangkumi kuasa-kuasa memulakan, menjalankan dan menghentikan pendakwaan di Mahkamah Sivil. 

Atas sebab itu lah, representasi pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes rasuah melibatkan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini, adalah berperundangan walaupun dipertikai khalayak.

Adakah kuasa seorang AG, menurut Perlembagaan, kalau ya tidak mutlak, namun wajar dilihat seakan mutlak?

Pakar perlembagaan Prof. Abdul Aziz Bari dalam bukunya Politik Perlembagan ada mengulas lanjut mengenai isu ini.

Menurutnya, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar memang menyifatkan AG seakan ada kuasa mutlak.

Manakala, seorang lagi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Eusoff Chin pula pernah dilaporkan menasihat para hakim supaya jangan mempersoal budi bicara seorang AG dalam membuat keputusan dalam pendakwaan.

Saya sependapat dengan Abdul Aziz, bahawa ruang kuasa seorang  AG patut tidak dilihat ‘kuasa mutlak’ dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seperti Malaysia.

Cuma, kalau merujuk pada perlembagaan, memang mahkamah tidak ada kuaaa untuk menyemak tindak tanduk AG yang melaksanakan tugas-tugasnya itu.

Walaupun demikian, ini tidak bermakna Peguam Negara boleh membuat keputusan sesuka hati.

Sama ada AG ini dijawat oleh seorang ahli politik ataupun penjawat awam, Kerajaan sendiri tetap ada tanggungjawab terhadap Parlimen.

Kebertanggungjawaban ini lah yang menyebabkan tidak betul sekiranya AG dianggap berkuasa mutlak ataupun dilihat seakan berkuasa mutlak.

Kalau begitu, bagaimana kedudukan seorang AG dengan prinsip akauntabiliti yang sangat pokok dalam undang-undang perlembagaan itu sendiri.

Realitinya, di mana-mana negara pun kuasa membuat keputusan mengenai pendakwaan adalah  terletak di tangan kerajaan itu sendiri.

Maka, andai Barisan Nasional kekal memerintah pasca PRU14, representasi permohonan kes SPRM menuduh Guan Eng rasuah, mungkin tidak digugurkan oleh Pejabat AG.

Maka, adalah lebih baik sekiranya AG seorang Ahli Politik, sama ada Senator di Dewan Rakyat ataupun Ahli Dewan Negara, dan sekaligus menjadi anggota kabinet.

Ini, pernah diamalkan di Malaysia ketika Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tan Sri Hamzah Abu Samah memegang jawatan AG.

Perkara ini berubah apabila Abu Talib dilantik ke jawatan itu dan ia dikekalkan sehingga beliau bersara.

Kemudian, Mokhtar (ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi) dilantik menggantikan Abu Talib. 

Menurut Abdul Aziz, di United Kingdom Peguam Negara dan Timbalan Peguamcara Negara terdiri daripada ahli politik.

Mungkin selepas ini, dicadangkan Tommy Thomas wajar dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat, lalu dilantik sebagai anggota kabinet Malaysia.

Dengan berbuat demikian, Tommy Thomas turut mempunyai tanggungjawab secara politik dan profesional untuk menjawab isu-isu berbangkit di Parlimen.

Kelak, Tommy Thomas boleh memilih untuk lebih memenuhi kehendak Parlimen atau Dr Mahathir (jika perdana menteri itu masih dengan perangai lamanya dulu yang suka mengawal semua institusi pemerintah).

Kelak, mana-mana Ahli Parlimen dari dalam dewan  tidak lagi perlu menuding jari kepada Tommy Thomas dan AG baru itu di luar dewan tidak pula menuding jari pada undang-undang.

Sebahagian amalan pentadbrian dalam Pejabat AG yang lebih ‘sihat’ wajar dihidupkan semula, kini. 

Dan, cadangan institutional reform oleh Abdul Aziz memang boleh dilaksanakan di Parlimen dan di Pejabat AG.

Ramai Ahli Parlimen Pakatan Harapan sendiri adalah pengamal undang-undang berwibawa untuk ambil bahagian dalam agenda institutional reform ini, jika Tommy Thomas dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat dan anggota baru kabinet jemaah menteri di bawah pentadbrian Dr. Mahathir.

‘Bola’ dalam permainan institutional reform ini ada di kaki Dr Mahathir sendiri.

Setuju?


_____________
Asal contengan Penulis di Facebook peribadi sahaja.

Comments

  1. eToro is the best forex trading platform for newbie and full-time traders.

    ReplyDelete

Post a Comment

Disqus