25 June 2018

RM290,000 naik taraf sistem saliran Jalan Makloom


(Depan, dari kanan) JAGDEEP Singh Deo, Zairil Khir Johari dan R.S.N. Rayer meninjau projek penarafan sistem saliran di Jalan Makloom pada 12 Jun lepas.



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 


DATUK KERAMAT - Projek penarafan sistem saliran sepanjang 100 meter (m), dengan dilengkapi rumah pam dekat Jalan Makloom di sini menelan belanja kira-kira RM290,000.


Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu, spesifikasi dalam projek penarafan tersebut antaranya adalah pelebaran parit berukuran 1 m kepada 1.8 m, dengan kedalaman 1.05 m.


“Projek (yang menelan belanja RM290,874.60) ini bermula pada bulan April dan akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.


“Sebenarnya di Dato’ Keramat ini terdapat beberapa lagi projek mengurangkan risiko banjir akan dilaksanakan,” jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Datuk Keramat) kepada pemberita pada 12 Jun lalu. 


Sebelum itu, Jagdeep bersama-sama Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari serta Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer melawat sendiri projek penarafan sistem saliran di Jalan Makloom di sini.


Jagdeep menjelaskan Datuk Keramat termasuk Jalan Makloom merupakan antara kawasan rendah yang seringkali dilanda banjir, apabila terjadinya pertembungan hujan lebat dan limpahan air dari Sungai Pinang.


“Sungai Jelutong merupakan salah satu daripada lembangan Sungai Pinang di mana (Sungai Pinang) adalah punca utama (berlakunya limpahan air ke) beberapa tempat sekitar (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Dato’ Keramat,” jelas Jagdeel yang juga ADUN Datuk Keramat. 


Menurut Jagdeep, sekitar Jalan Perak seperti Jalan Kampung Masjid Hashim Yahya dan Kampung Dodol merupakan antara kawasan rendah yang seringkali dilanda bencana banjir.


“Masalah banjir di Kampung Masjid Yahya adalah Sungai Jelutong, sehingga tahun 2010, Kerajaan Negeri telahpun melebarkan dan memperdalam Sungai Jelutong sebagai sebahagian daripada projek tebatan banjir hingga risiko banjir berjaya dikurangkan dengan begitu ketara.


“Kini, di Jalan Makloom, sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung lambakan air kerana saiznya yang kecil...maka, saya merayu kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memperluas dan memperdalam longkang itu. 


“Saya begitu gembira apabila diumumkan bahawa rayuan saya telah diluluskan, saiz longkang akan diperbesarkan dan akan dilengkapi pam air,” jelas Jagdeep.


Dalam perkembangan berkaitan, Zairil memberitahu pemberita kira-kira RM150 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan lapan projek tebatan banjir terutama di bahagian Seberang Perai serta di Daerah Barat Daya.


“Projek tebatan banjir di Mak Mandin yang bernilai RM40 juta adalah projek terbesar setakat ini, selain projek-projek tebatan banjir berskala kecil dan sederhana di negeri ini,” jelas Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga. 


Beliau memberitahu sumber perbelanjaan bagi projek-projek tebatan banjir di negeri ini adalah daripada Tabung Caruman Perparitan yang disumbangkan oleh pemaju-pemaju swasta. 


Tambahnya, Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, yang merupakan salah satu projek tebatan banjir berskala besar di Pulau Pinang. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus