27 June 2018

Kaji kekangan perundangan demi laksana pilihan raya kerajaan tempatan, respons Exco P.Pinang


JAGDEEP Singh Deo


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya akan mengkaji semula kaedah demi merealisasikan hasrat mengadakan pilihan raya bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

“Kita akan kaji apakah langkah seterusnya, kerana telah ada keputusan mahkamah.

“Kita akan melihat daripada aspek (kekangan) perundangan terlebih dahulu,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Auditorium A, Komtar pada tengah hari 27 Jun 2018.

Menurut Jagdeep, Mahkamah Persekutuan  pada Ogos 2014 menolak permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bekas Presiden Aliran P, Ramakrishnan untuk mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu. 

Katanya, kedua-dua pihak memfailkan petisyen bagi memohon untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan yang dimansuhkan pada 1 Mac 1965, susulan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) pada 2012.

Tambah Jagdeep, Mahkamah Persekutuan memutuskan Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dan tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang. 

Difahamkan, Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri. 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memberitahu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga baru-baru ini turut menyatakan hasrat untuk mengadakan semula pilihan raya peringkat PBT yang dijangka pada dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Sebenarnya Pulau Pinang telahpun menyatakan hasrat kepada (Kerajaan Persekutuan di) Putrajaya untuk mengadakan bengkel dalam isu ini,” respons Jagdeep lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sebelum itu, Jagdeep dalam satu majlis ringkas di sini, mengumumkan seranai nama Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang akan dilantik bagi tempoh 18 bulan mulai 1 Julai ini hingga 31 Disember 2019.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus