18 August 2017

Permohonan Kebenaran Untuk Semakan Kehakiman Kerajaan P.Pinang terhadap SPR tangguh 21 Sept.

LEONG Cheok Keng (kanan) dan Yusof Mohamed Salleh pada sidang media di luar kamar Mahkamah Tinggi II di sini, pagi tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNSesi pendengaran permohonan kebenaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung usul persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri, ditangguhkan ke 21 September ini.


Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, YA Dato' Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu di Mahkamah Tinggi II di sini pagi tadi.


Peguam pemohon, Leong Cheok Keng selepas itu memberitahu pemberita bahawa penanggguhan tersebut dipersetujui kerana pihaknya ada meminda beberapa perkara pada permohonan semakan kehakiman yang asal, semalam.


"Mahkamah membenarkan penangguhan ini kerana pihak kami semalam (17 Ogos 2017) meminda permohonan dengan memasukkan dua pihak lain (iaitu) Perdana Menteri dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai responden-responden tambahan (selain pihak SPR sendiri)."


"Mereka (Jabatan Peguam Negara) tidak bersetuju dengan pindaan pada permohonan (semakan kehakiman) ini," ujar Cheok Keng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Perak.


Cheok Keng turut disertai oleh pembantunya, Yusof Mohamed Salleh dalam sidang media tersebut.


Cheok Keng memberitahu, mulanya beliau hanya memohon penangguhan sesi pendengaran sahaja, kerana mahu menunggu alasan-alasan daripada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan semakan kehakiman hampir sama oleh pihak lain, di negeri Melaka.


"Mereka juga memohon semakan kehakiman, merujuk kes di Melaka, mahkamah tidak membenarkan (semakan kehakiman) atas alasan ini lah (iaitu Mahkamah Rayuan pada 18 Julai 2017 membenarkan SPR mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tujuh pengundi di Melaka mencabar persempadanan semula)," jelasnya.


Peguam responden adalah peguam persekutuan, Shamsul Bolhassan serta dua peguam bagi SPR iaitu Azizan Md. Arfhad dan Nik Azrin Zairin.


Terdahulu, Cheok Keng ketika memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah pada 6 Jun lepas antara lain menyatakan terdapat 18 relif yang dituntut ke atas SPR selaku responden.


Ketika itu, Guan Eng memberitahu pemberita bahawa Kerajaan Negeri antara lain menuntut suatu deklarasi bahawa usul persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2017 adalah tidak berperlembagaan kerana tidak selaras dengan Perkara 113(2) dan Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal.


Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan menegaskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Pulau Pinang yang dikemukakan oleh SPR seakan tidak mencerminkan prinsip sebenar 'Satu Orang, Satu Undi, Satu Nilai'.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus