Skip to main content

Takkan laksana Cukai Pelancongan sebab Kementerian "tiada wang"?

 

Oleh: Zainulfaqar Yaacob*

Wacana Ekonomi | Berdasarkan kajian oleh Nielsen Malaysia pada Di­sember 2016, pasaran rokok haram telah menguasai pasaran negara sebanyak 57.1 peratus.

Bayangkan jika Kerajaan Pusat menghapuskan 100 peratus rokok dalam pasaran tanah air, peratus rokok haram dalam negara mungkin akan meningkat kelak.

Tujuan cukai untuk mengurus cabaran sosial seperti mengurangkan bilangan perokok serta mendorong rakyat ke arah gaya hidup yang lebih sihat akan gagal sepenuhnya.

Kerana menghapuskan rokok secara total tidaklah realistik, maka, Kerajaan Pusat menaikkan cukai atas rokok. 

Harga rokok 20 batang dahulu RM17 umpamanya melambung naik RM21.50 dan mungkin lebih daripada kadaran itu.

Perokok menjadi sulit, sama ada membeli rokok yang lebih murah (termasuk 'rokok haram') atau mengambil langkah yang lebih sihat dengan berhenti merokok.

Gambarannya, tujuan hakiki Kerajaan Pusat menaikkan cukai rokok itu bukanlah untuk menjana lebih pendapatan untuk negara semata-mata.

Tetapi, langkah Kerajaaan melaksanakan cukai itu adalah untuk menangani cabaran sosial - mengubah komuniti perokok kepada gaya hidup yang sihat.

Ertinya, tujuan cukai bukan untuk menjana hasil pendapatan semata-mata, malah untuk mengurus cabaran sosial membabitkan kepentingan rakyat terbanyak di tanah air ini.

Satu lagi contoh adalah kenaan cukai pendapatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat, dahulu.

Tujuannya, adalah mengurangkan jurang sosial antara 10 peratus orang kaya dan 90 peratus orang kebanyakan (termasuk golongan miskin) di tanah air ini.

Apabila pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menjana hasil baharu sejumlah RM39 bilion melalui kenaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) kepada semua lapisan masyarakat, ia ternyata bertentangan dengan tujuan hakiki kenaan cukai oleh sebuah Kerajaan Persekutuan.

GST mengakibatkan 90 peratus rakyat kebanyakan turut dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kesan berantainya adalah jurang kemiskinan antara 90 peratus rakyat kebanyakan dengan 10 peratus golongan kaya-raya semakin melebar.

Sepatutnya Kerajaan Pusat meningkatkan lagi cukai korporat ke atas 10 peratus golongan kaya raya, seperti "Raja Gula" Robert Kuok, Quek Leng Chan, Ananda Krishnan, Teh Hong Piow, Lee Shin Cheng, Lim Kok Thay, Yeoh Teong Lay, Lau Cho Kun, Tiong Hiew King dan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Raja Gula umpamanya tentu akan mendesak Kerajaan Pusat untuk tidak menaikkan cukai korporat. 

Mungkin juga dia akan mengugut Kerajaan Pusat untuk meninggalkan tanah air ini sebagai tanda protes.

Tapi, percaya lah bahawa dia tidak akan berbuat demikian sekiranya Kerajaan Pusat tetap menaikkan cukai korporat, demi mengurangkan jurang sosial antara 90 peratus rakyat kebanyakan dan 10 peratus golongan kaya-raya di tanah air ini.

Ini kerana, tanah dan hartanah dalam bentuk ladang, kilang serta pasaran gula domestik dll masih berada di Malaysia.

Tidak dapat tidak, dia terpaksa juga melunaskan beberapa birokrasi undang-undang serta kewangan, seperti membayar cukai korporat yang dinaikkan oleh Kerajaan Persekutuan dll, demi memastikan keuntungan berganda melalui monopoli industri gula terus berjaya.

Jika difahami tujuan hakiki yang sebenar Kerajaan Pusat melaksanakan cukai korporat ini adalah untuk merapatkan jurang sosial antara golong miskin 90 peratus ini dan 10 peratus golongan kaya-raya, kita akan memprotes hasrat Kerajaan Pusat melaksanakan cukai pelancongan.

Kesan berantai pelaksanaan Cukai Pelancongan adalah sama seperti GST, akan membebankan semua pihak termasuk 90 peratus rakyat kebanyakan daripada penjawat awam, peneroka Felda, nelayan, orang kampung, mahasiswa dll.

Cuma, Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengakui cukai pelancongan perlu dilaksanakan kerana Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sudah “tiada wang”, lapor Free Malaysia Today pada 12 Jun lalu.

Untuk penjana lebihan pendapatan, sebenarnya Kerajaan Pusat perlu terlebih dahulu berbelanja lebih.

Kalau Kerajaan Pusat mahu menambah hasil cukai korporat sejumlah RM50 bilion, sukar dicapai jika Kerajaan Pusat sanggup meluluskan Peruntukan Pembangunan dan Peruntukan Pengurusan sekecil RM1 bilion sahaja.

Tapi, jika Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan Pembangunan sejumlah RM50 bilion, mungkin lebih RM50 bilion boleh dipungut kerana kesan berganda (multiplier effect) lebih daripada nilai itu.

Apabila Kerajaan Pusat membelanjakan RM50 bilion ini untuk projek pembangunan infrastruktur serta promosi pelancongan ke George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO umpamanya, ia akan meninggalkan kesan berganda (multiplier effect) yang lain, daripada aspek ekonomi dan sosial.

Lebih banyak pekerja untuk merealisasikan projek Pembangunan infrastruktur di George Town, maka lebih banyak lah cukai dibayar kepada Kerajaan Pusat.

Lebih banyak pengunjung tempatan dan pelancong asing ke George Town, maka industri hotel dan aktiviti ekonomi yang lain turut berkembang.

Perkembangan semua industri serta kegiatan ekonomi ini juga akan menyumbang hasil kepada Kerajaan Pusat, seperti cukai korporat dll.

Cukai pelancongan adalah cara Kerajaan Pusat memeras rakyat, termasuk 90 peratus orang kebanyakan.

Walhal, sepatutnya Kerajaan Negeri boleh menjana pendapatan dengan mengutip cukai korporat yang lebih tinggi, dengan terlebih dahulu berbelanja lebih untuk menggalakkan kuasa membeli dan kuasa produktiviti dalam kegiatan ekonomi rakyat.

Tentu akan ada yang bertanya, daripada sumber dana yang mana untuk Kerajaan Pusat mahu berbelanja lebih, jika tidak terlebih dahulu mengutip lebih banyak hasil cukai?

Seorang Zainulfaqar Yaacob yang mempunyai pendapatan bulanan tetap RM3,000 umpamanya memanglah perlu berbelanja kurang daripada jumlah itu.

Kalau mahu berbelanja lebih sekalipun, dia boleh menggunakan 'mekanisme sosial' selain wang tunai, seperti penggunaan kad kredit, pinjaman peribadi daripada bank atau individu lain.

Inilah logik perbelanjaan seorang individu biasa yang tidak mempunyai kuasai perundangan dan kewangan seperti sebuah Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan mempunyai Bank Negara dan kuasa perundangan untuk menyusun semula ekonomi demi kepentingan rakyat dan tanah air.

Bank Negara boleh mencairkan rizabnya, menerbitkan Bon Bebas atau Sukuk untuk dibeli oleh pihak pemodal berkepentingan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan bank-bank konvensional di tanah air ini.

Semua pihak ini sanggup membeli Bon Bebas yang diterbitkan oleh Kerajaan Pusat kerana ia paling rendah risiko selamat. 

Jika Bon Bebas yang diterbitkan Kerajaan Persekutuan ini 'tidak habis' terjual, Bank Negara sendiri akan membelinya.

Birokrasi kewangan sebegini jarang disebut, tetapi sebenarnya sehingga sekarang diamalkan oleh Bank Negara Malaysia kerana tanggungjawabnya kepada Kerajaan Persekutuan sendiri.

Perlukah Kerajaan Persekutuan mengutip hasil daripada Cukai Pelancongan sejumlah RM50 bilion terlebih dahulu, sebelum berbelanja hasil itu untuk promosi industri pelancongan negara serta Pembangunan projek infrastruktur berwajib lain?

Sebenarnya Kerajaan Pusat ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pernah berbelanja lebih 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan sampai ke hari ini Malaysia masih tidak bankrap sungguhpun didakyah oleh beberapa pemimpin tertentu pembangkang.

Untuk rekod, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, hutang negara pernah mencecah sehingga 103.4 peratus pada tahun 1986, 96.4 peratus (1988) dan 75 peratus (1990) berbanding KDNK, ketika itu.

Malaysia bank jika hutang Kerajaan Persekutuan dalam Ringgit Malaysia (RM) melebihi 55 peratus KDNK?

Fahamnya di sini, Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kepentingan dalam Bank Negara membolehkan lebih berbelanja.

Daripada mana Kerajaan Pusat mendapat wang untuk berbelanja lebih? 

Birokrasi kewangan daripada Bank Negara yang membolehkan Kerajaan Persekutuan mampu berbelanja lebih? 

Atau, Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu perlu menjana lebih pendapatan - melalui Cukai Pelancongan umpamanya - jika Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mahu berbelanja lebih?

Takkan laksana Cukai Pelancongan sebab Kementerian Pusat "tiada wang"?

Ketawa sahaja dengan dakyah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Setuju? 

________________
* Zainulfaqar Yaacob adalah anak jati Pulau Pinang, secara kecil-kecilan dan peribadi menganjurkan #DEKPOS atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial. Beliau akan menconteng di facebook.com/zainulfaqary dan instragram @zainulfaqar serta kadangkala berkicau di twitter @zainulfaqar atau blog faqar.blogspot.com, sekiranya mengenangkan pemergian isteri muda cantik jelita Siti Hajjar Hassan pada 9 Januari 2017 akibat Cancer Hodgkin Lymphoma (stage 4). Kini beliaulah ibu dan bapa kepada anak kecil berusia 6 tahun, #InsyirahSolehah, tetapi masih boleh dihubungi atas talian 0194241583. "Politik Parti Tanpa Dasar Ekonomi Manusiawi Sia-Sia Buat Rakyat."