Skip to main content

Bayangkan RM46 bilion kos Pelan Induk Pengangkutan P.Pinang dalam bentuk 'hutang korporat'

GAMBAR saya pada hari terakhir menjelang perayaan Aidilfitri di pejabat dekat Komtar baru-baru ini, sebelum pulang bersama-sama anak, Insyirah binti Zainulfaqar, 6 tahun ke Muar bagi menziarahi pusara isteri muda cantik jelita Siti Hajjar Hassan.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob*


Wacana Ekonomi | UEM Group adalah syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan (GLC) yang banyak melaksanakan projek infrastruktur negara.

Salah satunya adalah pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang dengan kos kira-kira RK4.5 bilion, dulu.

Oleh kerana ia projek infrastruktur negara, sebahagian besar dana projek UEM Group tersebut secara birokrasi Bank Negara Malaysia (BNM) diperolehi daripada rizab intra-bank di tanah air ini.

Inilah salah satu contoh mudah untuk menjelaskan bentuk hutang korporat (Corporate Debt).

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 mendedahkan 'corporate debt to GDP' adalah kira-kira 107.9 peratus atau berjumlah RM1.3624 trilion, lapor akhbar The Edge pada 27 Mac 2017 lalu.

Bayangkan...hutang korporat negara adalah lebih 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)! Tak bankrap?

Walhal, sumber sama mendedahkan hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM648.475 bilion, menyamai 52.7% KDNK 2016 - iaitu masih berperlembagaan kerana Akta Pembiayaan Kerajaan 1983 dan Akta Pinjaman Tempatan 1959 menetapkan had maksimum hutang Kerajaan sekadar 55% daripada KDNK.

Adakah Malaysia akan bankrap seperti didakyah oleh sesetengah ahli politisi negara kelak, jika hutang Kerajaan Pusat melebihi 55% KDNK?

Gambaran yang paling penting dan jelas di sini adalah hutang korporat bukanlah hutang Kerajaan Pusat secara langsung, sungguhpun projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dibina oleh UEM umpamanya ternyata adalah projek infrastruktur negara.


Pinjaman Luar Negara? 

Pelan Induk Pengangkutan (TMP) yang mahu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dianggarkan berjumlah RM46 bilion.

Walhal, Akta Pinjaman Luar 1963 membenarkan had maksimum hutang luar negara sejumlah RM35 bilion sahaja.

Pun begitu, dengan syor Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 25 Jun lepas "sebulat suara" meluluskan Enakmen Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017.

Enakmen tersebut memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk meminjam modal pelaburan asing dari luar negara.

Kerajaan Negeri boleh mempertimbang untuk menerima tawaran pinjaman daripada Kerajaan China melalui China Exim Bank; atau sebaliknya.

Jika pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersetuju menerima tawaran China tersebut, ertinya pinjaman modal pelaburan asing tersebut (katakan kira-kira RM46 bilion itu) akan menjadi hutang Kerajaan Negeri, bukan lagi hutang korporat.

Dan, hutang Kerajaan Negeri berjumlah RM46 bilion itu sekaligus akan menjadi jaminan hutang oleh Kerajaan Persekutuan - jika Kerajaan Negeri gagal melangsaikannya kelak.

Hutang Kerajaan Negeri yang gagal dilangsaikan tidak dapat tidak adalah liabiliti hutang bagi Kerajaan Pusat kepada China Exim Bank, kelak.

Ertinya, jumlah jaminan hutang oleh Kerajaan Persekutuan akan bertambah berbanding pendedahan The Edge sebelum ini, iaitu Debt Guaranteed by Federal Government sehingga bulan September 2016 adalah berjumlah RM191.085 bilion.

Ini kerana, Guan Eng pernah berkata jaminan hutang oleh Kerajaan Persekutuan wajar dikira bersama-sama hutang Kerajaan Persekutuan (Federal Government Debt).

Laporan The Edge (Malaysia) menunjukkan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Jaminan (hutang oleh Kerajaan Persekutuan) ini bukanlah sesuatu yang tidak akan berlaku, tengok macam PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang), Kerajaan Pusat kena bayar kerana ini adalah jaminan (hutang oleh Kerajaan), maka kena tambah jaminan bersekali (dengan hutang kerajaan pusat).

Kalau ditambah dengan jaminan (hutang oleh Kerajaan Pusat) sekali adalah berjumlah kira-kira RM840 bilion (RM839.56 bilion), yang melebihi 55 peratus KDNK, sebenarnya adalah lebih 60 peratus (berbanding) KDNK lah.

Ternyata semua sekali RM840 bilion adalah melebihi 55 peratus KDNK, ini adalah menyalahi undang-undang,” tegas Guan Eng kepada pemberita di Komtar pada 27 Mac 2017.


Hutang Korporat?

RM46 bilion projek TMP ini boleh untuk tidak menjadi liabiliti hutang Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, jika Bank Pembangunan Pulau Pinang (Penang's Own-State Development Bank) ditubuhkan di Pulau Pinang.

Bank pembangunan itu boleh ditubuhkan dengan syarat undang-undang berwajib digubal di DUN Pulau Pinang dan di Parlimen, seperti Enakmen Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017 yang baru diwujudkan sebelum ini.

Bayangkan bank pembangunan negeri ini ditubuhkan di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), yang dimilikpenuh oleh Kerajaan Negeri.

Bank pembangunan ini bukan sahaja mampu untuk menerbitkan kredit (termasuk mendapatkan rizab intra-bank) yang melebihi modal pokok RM1 bilion untuk menubuhkan sebuah bank.

Malah, bank pembangunan ini turut mempunyai kuasa untuk menerbitkan Bon Kerajaan atau Bon Bebas.

Bon Kerajaan adalah surat janji untuk membayarkan sejumlah yang tertentu (nilai muka) pada tarikh yang tertentu kepada pelabur (pemberi hutang) beserta bayaran faedah berkala.

Bon Kerajaan adalah bon paling selamat dan paling berisiko rendah, berbanding pelaburan membabitkan firma korporat yang lain. 

Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) hatta bank-bank konvensional negara tentu akan lebih berminat untuk membeli Bon Bebas yang diterbitkan melalui Penang's Own-State Development Bank.

Kerana, Bon Bebas ini risikonya lebih rendah dan 'selamat' berbanding pelaburan korporat dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang terbukti begitu spekulatif, kini.

Jika dahulu, KWSP umpamanya sanggup membeli Bon Bebas untuk Projek Lebuhraya Utara - Selatan bernilai RM5.9 bilion hatta menguasai 49 peratus atas syer PLUS.

Takkan KWSP pada masa hadapan tiada keghairahan serupa untuk membeli Bon Bebas yang akan diterbitkan oleh Kerajaan Negeri melalui Penang's Own-State Development Bank, untuk membiayai kos TMP kira-kira RM46 bilion kelak?

Bon Bebas atau Bon Kerajaan ini adalah pelaburan paling selamat dan risikonya paling rendah untuk pelabur menjana untung atas pinjaman modal di Pulau Pinang.

Dengan ertikata mudah, Kerajaan Negeri boleh tidak menambah angka Hutang Terkumpul Kerajaan Negeri (termasuk Jaminan Hutang Oleh Kerajaan Negeri), jika RM46 bilion projek pembangunan bersepadu TMP ini disusun sebagai 'hutang korporat' dalam rekod kewangan negeri.

Kerajaan Negeri boleh menjana modal pembangunan TMP sejumlah RM46 bilion ini, dan pada masa yang sama Tunggakan Hutang Terkumpul Kerajaan Negeri Kepada Kerajaan Pusat mampu dikekalkan pada tahap terendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, dengan angka sedia ada sejumlah RM69.36 juta sahaja.


Faedah lain?

Faedah terbesar adalah pentadbiran Guan Eng mampu melaksanakan projek TMP RM46 bilion ini tanpa menambah liabiliti hutang langsung Kerajaan Negeri.

Faedah kedua, kewangan Kerajaan Negeri akan berada pada tahap yang lebih sihat kerana tidak menghadapi birokrasi kewangan yang lebih ketat.

Demi kepentingan rakyat, Penang's Own-State Development Bank boleh memanjang tempoh pembayaran balik nilai muka pinjaman, di samping nilai faedah atas pinjaman faedah yang lebih rendah kerana TMP ini adalah projek infrastruktur awam Pulau Pinang.

Kadar bayaran nilai mula untuk tempoh 99 tahun adalah lebih kecil berbanding tempoh 66 tahun umpamanya.

Nilai faedah atas pinjaman pada kadar 1 peratus adalah lebih rendah, berbanding kadaran 2 peratus.

Dan paling penting, Kerajaan Negeri tidak perlu membayar dalam jumlah yang lebih besar daripada keseluruhan RM46 projek TMP itu, memadai bayar 'principal' serta 'interest' terendah demi menjaga kepentingan pemegang syer korporat dalam Penang's Own-State Development Bank sahaja.

Faedah ketiga, hasil faedah yang dikutip oleh Penang's Own-State Development Bank sekaligus akan menjana lebihan kewangan kepada PDC sendiri selaku pemilik 100% bank negeri berkenaan.

Faedah keempat, kos upah buruh dan bahan mentah mungkin lebih rendah berbanding melantik "kontraktor spekulatif" seperti sekarang, jika Kerajaan Negeri melalui PDC melantik kontraktor sebenar "membancuh simen" walaupun dari China.

Faedah kelima, projek infrastruktur TMP dengan belanja produktif langsung oleh Kerajaan Negeri melalui penubuhan "syarikat RM2" 100% milik penuh PDC (bukan konsortium atau firma hartanah swasta) ini akan meninggalkan kesan berganda (multiplier effect) daripada aspek ekonomi dan sosial.

Daripada aspek ekonomi, saiz ekonomi akan berkembang apabila Kerajaan Negeri berbelanja lebih. Hasil Kerajaan juga akan meningkat melalui kutipan cukai korporat dll nanti.

Bilangan peluang pekerja mahir serta buruh pembinaan membabitkan warganegara juga akan bertambah kerana projek TMP ini pasti memerlukan lebih ramai guna tenaga.

Apabila lebih ramai warganegara dan buruh mempunyai kerjaya dalam sektor ini, sekaligus kuasa membeli dan kuasa produktiviti dalam aktiviti ekonomi Pulau Pinang akan turut meningkat.

Selain itu, permintaan pada simen, bata, besi, kejenteraan dll turut akan meningkat, demi memenuhi keperluan projek TMP ini.

Pendapatan isi rumah secara primitif juga akan turut bertambah, di mana mereka akan membeli makanan, pakaian dll kerana ada kuasa membeli yang lebih baik.

Kesan berganda daripada aspek sosial pula boleh dilihat pada tahap hidup rakyat yang terbabit dalam pelaksanaan projek TMP ini, di mana anak-anak mereka mampu menikmati pendidikan yang lebih baik, keselesaan kediaman, kepuasan serta kesempurnaan berkeluarga kerana masing-masing ada kuasa berbelanja yang lebih baik.

Semua faedah lain ini juga boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia di Pulau Pinang, sekiranya hasrat menjana RM46 bilion untuk membiayai TMP ini dioleh secara birokrasi kewangan perbankan menjadi 'hutang korporat' negeri.

Setuju?


_________________
  • ZAINULFAQAR YAACOB menulis artikel ini sekadar untuk projek wacana kecil-kecilannya secara peribadi atas nama DEKPOS atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial di kampung halamannya dekat Pulau Pinang. Berkicau di twitter @zainulfaqar dan seringkali muncul di instagram @zainulfaqar juga. Beliau akan menconteng di facebook.com/zainulfaqary andai terkenang arwah isteri muda cantik jelita Siti Hajjar Hassan; atau terusik dek anak comel #InsyirahSolehah. Hubungi di talian 0194241583 atau emel y.zainulfaqar@gmail.com. Artikel ini ditulis pada musim perayaan Aidilfitri, dalam bas perjalanan Kuala Lumpur ke Muar, Johor pada 27 Jun 2017 kira-kira jam 9.04 malam. Ini, lanjutan artikel terdahulu - Cabaran Kerajaan Secara Langsung Pinjam Modal Pelaburan Asing (31 Mei 2017).